ekspresi

Solekan bunga segar

Oleh Agensi

Ini bukan untuk mereka yang mempunyai masalah alahan.

Seperti kebanyakan bintang kecantikan media sosial hari ini, Ellie Costello, 19, belajar sendiri kemahiran bersolek yang hasilnya begitu mengagumkan.

Malah, remaja yang berasal dari London ini mencipta trend tersendiri dengan melitupi matanya menggunakan bunga sebenar - sesuatu yang pasti ditiru dunia peragaan sedikit masa lagi.

Ellie, artis kosmetik jenama MAC, menggunakan nama samaran - makeupisart_x di Instagram dan mempunyai lebih 10,000 pengikut.

Dia mula memuat naik gambar hasil kerjanya pada Januari 2015, dan memang jelas ia menunjukkan dia mempunyai kemahiran menggunakan berus solekan.

Ellie pernah beberapa kali cuba kaedah estetik dengan melukis wajahnya menjadi karakter filem seram dan buku komik atau hanya melitupi muka, leher dan tubuhnya menggunakan warna serta reka bentuk cantik.

Dia memulakan eksperimennya Januari lalu dengan menggabungkan bunga yang dilekatkan pada mukanya dan mengikut kesesuaian solekannya.

Dua minggu lalu, Ellie mula menumpukan bunga kecil dalam bentuk corak di sekitar matanya dan kemudian mencampurkannya dengan serbuk kilat, celak dan pembayang mata.

Rekaan itu sangat unik, gabungan kecantikan dan keberanian. Bunga itu diambil Ellie dari tamannya sendiri.

Dia yang turut menggunakan kelopak bunga untuk dijadikan bulu mata palsu, berkata: “Terasa seperti gadis bunga sebenar dengan kelopak bunga menjadi bulu mata.”

Dia biasanya menggunakan bunga jenis Gipsofila atau dikenali sebagai Baby Breath, yang menurutnya bunga kegemarannya.

Pengikut Ellie yang kagum dengan hasil karyanya menyifatkannya sebagai hebat dan menakjubkan. Seorang peminat menulis: “Hasil kerja anda sangat luar biasa!”

Disiarkan pada: May 14, 2017 @ 12:22am
d