ekspresi

Pulihara ekosistem paya pantai

Oleh Zaitie Satibi

Pokok bakau yang hidup di kawasan berpaya tepi pantai melindungi ekosistem hidupan akuatik kerana ia menjadi habitat bagi udang, ikan dan ketam termasuk haiwan lain seperti kera serta burung.

Kelebihan lainnya, pokok ini juga bertindak sebagai penampan semula jadi bagi mencegah hakisan kawasan pesisiran pantai akibat ombak, angin dan arus. Peranan pokok bakau dalam menjaga keseimbangan ekosistem dan menstabilkan kawasan pantai amat penting untuk dikekalkan serta dipelihara.

Menyedari betapa pentingnya hutan paya bakau kepada alam, Persatuan Alumni SMK Tengku Ampuan Jemaah (STAJ), Pelabuhan Klang, Selangor menganjurkan program menanam benih bakau di Pulau Ketam dalam usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memulihara kawasan paya di situ, baru-baru ini.

Program itu yang juga diadakan sempena sambutan ulang tahun jubli emas sekolah berkenaan disertai 250 bekas penuntut dan pelajar STAJ serta sukarelawan dan aktivis alam sekitar yang bergotong-royong menanam 300 benih bakau.

Lebih manis, aktiviti alam sekitar berkenaan diserikan dengan kehadiran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bersama-sama mengambil bahagian.

Tanggungjawab semua pihak

Pengarah Sambutan Jubli Emas STAJ, Mohd Izhar Hazim berkata, program tanam pokok bakau di Pulau Ketam dan membersihkan kawasan sekitarnya adalah sumbangan untuk masyarakat daripada pihaknya, selain menjalankan aktiviti membantu sekolah

dan pelajar.

Menanam anak pokok bakau secara tidak langsung memberi pendedahan kepada alumni dan pelajar mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar, flora serta fauna terutama hutan paya bakau.

Ini kerana, katanya, perkembangan teknologi yang pesat pada masa kini dan peningkatan aktiviti harian manusia menyebabkan pencemaran terhadap alam sekitar termasuk mengakibatkan gangguan kepada ekosistem di kawasan pesisiran pantai.

“Tugas menjaga alam sekitar seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak. Selain alumni, golongan pelajar digalakkan menyertai program itu bagi menanam sikap cintakan alam sekitar dalam kalangan mereka.

“Di samping itu, kami ingin menjadikan kawasan Pulau Ketam sebagai kawasan yang mempunyai ekosistem baik dan berupaya menarik lebih ramai pengunjung untuk menikmati keindahan alam sekitarnya,” katanya.

Pertahan khazanah semula jadi

Bagi alumni STAJ, Noly Hashim, 45, program menanam pokok bakau ini memberikan nilai tambah kepada aktiviti perhimpunan semula bekas pelajar sekolah berkenaan yang lazimnya mengadakan acara makan malam, bermain boling dan sesi nyanyian.

“Aktiviti sebegini dapat memupuk kesedaran masyarakat bagi memastikan khazanah semula jadi dan alam sekitar dapat dipelihara dan dipertahankan. Kami juga gembira dapat menyumbangkan sesuatu kepada alam sekitar.

“Jaga alam sekitar sebenarnya tidak susah, asalkan kita tidak membuat kerosakan terhadap bumi seperti membuang sampah. Saya juga akan menggalakkan anak-anak untuk sayangkan alam sekitar dan didik mereka cara untuk menjaganya,” katanya.

Katanya, program sedemikian wajar diadakan lagi pada masa hadapan dan pihak lain digalakkan untuk melakukan perkara serupa bagi memastikan generasi akan datang dapat mengenali hidupan serta tanaman yang ada di pantai.

Didik generasi muda

Seorang lagi alumni STAJ, Arifin Zulaini, 46, berkata, program berkenaan memberi peluang kepada semua peserta untuk merasai sendiri pengalaman menanam pokok bakau dan seterusnya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hutan paya bakau.

Katanya, aktiviti pembersihan juga dijalankan bagi memastikan sampah-sarap tidak menjejaskan pertumbuhan benih bakau yang baru ditanam.

“Kami bekerjasama dengan pelajar kerana program ini lebih untuk memberi pendidikan kepada generasi muda supaya menghargai hutan bakau yang mempunyai banyak kegunaan.

“Selain itu, mereka juga dapat belajar untuk menghormati dan memelihara ekosistem yang tercemar dan semakin terancam. Ini kerana, semua orang mempunyai peranan masing-masing untuk menjaga alam sekitar dan kesedaran memelihara bumi perlu disebarkan,” katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 5:43am
d