ekspresi

Tingkat kesedaran Orang Asli

Oleh Nurul Husna Mahmud

Lebih 40 sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), berkampung di Sungai Melut dan Bukit Tadom, Sepang bagi merapatkan hubungan antara siswa serta masyarakat Orang Asli.

Sukarelawan yang dipilih secara rawak dari institusi pengajian tempatan teruja mengenali penduduk kampung, selain didedahkan mengenai kerja kemasyarakatan atau sumbangan yang boleh dilakukan pelajar.

Antara aktiviti mereka adalah menceriakan bangunan sekolah dan tabika, gotong-royong serta forum siswa bersama penduduk kampung terbabit. Dalam program itu juga, penduduk bekerjasama dengan agensi kerajaan antaranya Klinik Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bomba bagi memeriahkan slot sepanjang dua hari program berlangsung.

Dorongan kepada Orang Asli

Sukarelawan, Nor Izwan Azmil berkata, program mendekati masyarakat kampung Sungai Melut sedikit sebanyak membuka matanya mengenai peranan siswa dalam memperkasakan masyarakat terutama dalam aspek pendidikan.

Katanya, siswa antara contoh bagi rakan sebaya mahupun ibu bapa Orang Asli bagi mengetahui sejauh mana anak mereka boleh pergi dalam pendidikan dan mengecapi masa depan lebih baik.

“Masyarakat Orang Asli sebenarnya mempunyai potensi untuk maju seiring dengan masyarakat lain di Malaysia. Mereka ini perlukan ‘tolakan’ atau dorongan menerusi program sebegini agar pandangan mereka lebih terbuka mengenai pentingnya pendidikan.

“Masih ramai anak Orang Asli kurang kesedaran mengenai pentingnya penguasaan ilmu dan atas faktor itu, kami sukarelawan YSS ambil kesempatan untuk menarik perhatian golongan ibu bapa dan anak agar lebih mencintai ilmu.

“Bukan tiada yang berjaya tetapi jumlah golongan ini mampu bersaing dengan masyarakat luar dalam bidang profesional masih terhad dan berharap lebih ramai masyarakat ini dapat menjadi sebahagian kumpulan siswa bersaing di universiti tempatan mahupun luar negara,” katanya.

Agensi meriahkan program

Demi menarik perhatian lebih 70 keluarga berkenaan, Izwan berkata, dia turut mengambil kira penyertaan agensi tertentu bagi memeriahkan program dua hari bersama penduduk kampung.

“Program kami padat bermula dengan pemeriksaan gigi dan Pap Smear bagi wanita Orang Asli, kemudiaan pameran serta ceramah mengenai Pencegahan Jenayah dan Keselamatan dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kuala Langat.

“Kami turut dibantu Pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang memberi penerangan mengenai tugasan, peralatan di dalam jentera bomba dan latihan memadam api.

“Pada sebelah malam diadakan Bicara Siswa yang memberi penekanan mengenai kepentingan belajar dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kepada anak serta ibu bapa masyarakat Orang Asli.

“Menariknya dalam program berkenaan terdapat aktiviti berkumpulan dijalankan agar penyampaian lebih berkesan,” katanya.

Program berkenaan mencatat 200 kehadiran ibu bapa dan anak Orang Asli sekitar kampung Sungai Melut dan Bukit Tadom.

Sokong aktiviti kebajikan

Sementara itu, wakil Klinik Pergigian Salak, Sepang, Dr Faridah Hanim Latif berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti komuniti dijalankan, baik agensi mahupun badan bukan kerajaan.

“Kami mengalu-alukan jemputan seperti ini kerana memberi pendedahan kepentingan kesihatan terutama gigi yang sering diabaikan masyarakat Orang Asli.

“Apabila pihak tertentu mengadakan program komuniti, kami berpeluang mendekati termasuklah melakukan pemeriksaan dan rawatan, selain saringan kanser oral dalam usaha meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat di negara ini seiring dengan misi kementerian sendiri,” katanya.

Beliau berharap ada lagi kerjasama dalam membantu kumpulan sasaran memperoleh kualiti hidup lebih baik seperti masyarakat luar.

Dalam program berkenaan, Dr Faridah bersama lapan kakitangan Klinik Pergigian Salak Sepang turut mengadakan sesi ceramah mengenai penjagaan gigi.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 1:22am
d