ekspresi

Cabut gigi guna playar

Oleh Agensi

Ramai masih takut setiap kali berjumpa doktor gigi walaupun sudah tahun 2017, tetapi gambar era Victoria ini mendedahkan bagaimana ngerinya prosedur merawat gigi pada zaman itu.

Sama seperti hari ini, kerosakan gigi sesuatu yang tidak menyenangkan. Tetapi pada tahun 1800-an dan awal 1900-an, mencabut gigi satu-satunya rawatan yang ada.

Kebanyakan mereka mendapatkan rawatan pergigian daripada tukang gunting rambut atau tukang besi, yang turut bertugas sebagai pakar bedah.

‘Pakar bedah’ amatur itu menggunakan playar atau forsep bagi mencabut gigi rosak tanpa menggunakan sebarang anestetik untuk mengurangkan kesakitan.

Malangnya, puluhan ribu orang mati selepas menjalani prosedur seperti itu akibat jangkitan kuman dan komplikasi lain.

Pada abad ke-19, perubatan gigi amat menyeramkan di Britain sehinggalah Akta Doktor Gigi diluluskan pada 1878, yang mengehadkan gelaran ‘doktor gigi’ dan ‘pakar bedah pergigian’ hanya kepada pengamal berdaftar.

Imej sejak abad ke-19 dan awal ke-20 ini menunjukkan kegerunan bidang pergigian era Victoria serta betapa bahaya dan menyeksakan untuk mendapat rawatan doktor gigi.

Dalam satu imej diambil pada 1855, seorang pesakit dilihat merenung ketakutan ke arah kamera sambil berpaut pada lengan doktor gigi ketika giginya dicabut menggunakan playar.

Gambar lain diambil pada 1892 pula menunjukkan seorang pembantu terpaksa membantu menahan seorang pesakit daripada melawan doktor yang cuba mencabut giginya.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:02am
d