ekspresi

Selami kekejaman Pol Pot

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Sebaik menjejakkan kaki ke bumi Kampuchea (nama lama bagi Kemboja) terdetik di fikiran penulis untuk memahami sosio budaya masyarakat di negara itu termasuk menyelami era kezaliman pemimpin tertinggi Khmer Rouge, Pol Pot.

Peluang bersama 77 sukarelawan berkunjung ke Kemboja pada 20 hingga 27 Mac lalu dimanfaatkan untuk melawat muzium pembunuhan beramai-ramai Tuol Sleng (Tuol Sleng Genocide Museum) sebagai aktiviti selingan untuk mengetahui sejarah negara itu.

Terletak di pusat bandar Phnom Penh, muzium itu turut dikenali sebagai penjara keselamatan 21 (S-21) sebelum itu, menjadi saksi penyeksaan dilakukan rejim Khmer Rouge sejak 17 April 1975 hingga 7 Januari 1979.

Pelawat muzium itu dikenakan bayaran RM13.50 (AS$3) untuk masuk dan bagi menyewa audio perakam turut dikenakan bayaran sama.

Beroperasi sebagai pusat tarikan pelancong sebaik rejim Khmer Rouge berkubur, muzium itu beroperasi dari jam 8 pagi menerima 500 hingga 2,000 pelancong dari dalam dan luar negara sehari dan pernah beberapa kali menjalani proses baik pulih.

Mempunyai empat bangunan utama yang pernah dijadikan bilik seksaan, penginapan, penjara dan bilik soal siasat penjara S-21 dikatakan pernah meyeksa 20,000 rakyat dari pelbagai latar belakang.

Pengalaman masuk ke dalam muzium itu memberi keinsafan buat penulis betapa beruntungnya rakyat Malaysia yang mengecapi keamanan serta bebas menjalani aktiviti harian.

Penulis turut menyewa perakam audio bagi mendengar dan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai S-21.

Melangkah ke bangunan A kawasan pertama dimasuki membuatkan penulis merasai keperitan seksaan yang pernah dihadapi generasi Kemboja dulu.

Katil besi dilengkapi kawat duri menjadi mainan pengawal penjara ke atas tahanan selain disebat menggunakan cemeti untuk mendapatkan maklumat membuatkan mereka yang tidak bersalah akan bercakap dan mengaku segala yang tidak dilakukan sebelum dibunuh.

Shukur Ismail, 43, seorang penduduk tempatan yang mengikuti rombongan penulis memaklumkan tentera Pol Pot akan memaksa rakyat yang ditangkap mengaku kesalahan mereka dan mendedahkan maklumat yang diinginkan.

Katanya, bentuk seksaan seperti pasung, sebat, jari dan kuku dicabut menggunakan playar serta disimbah air panas seolah-olah kebiasaan bagi tentera Khmer Rouge sehingga ada antara tahanan merayu supaya dibunuh kerana tidak sanggup menanggung seksaan.

Bangunan tiga tingkat itu turut mempamerkan gambar tahanan, baju yang dipakai mereka serta beberapa peralatan seksaan digunakan untuk tatapan generasi muda negara itu.

Shukur berkata, demi menjayakan sebuah revolusi yang membenci golongan cerdik pandai, golongan agama serta ulama Islam turut ditangkap dan dibunuh pada waktu itu yang turut dianggap zaman kegelapan rakyat Kampuchea.

“Saya bersyukur tidak melalui perkara seperti itu tetapi apabila mengenangkan ada saudara terdekat yang pernah diseksa di penjara ini membuatkan saya sedih,” katanya.

Penjara S-21 juga menyaksikan seramai 12 tahanan berjaya menyelamatkan diri dengan melarikan diri ketika seksaan dijalankan dan sehingga kini hanya dua daripada mereka masih hidup.

Berjalan menaiki tangga dan melewati setiap bilik seksaan pasti menyentuh hati setiap insan yang berpendapat kekejaman seperti itu sepatutnya tidak wujud di atas muka bumi ini apatah lagi ia dilakukan di kawasan bekas sekolah menengah.

Bagi menaikkan nostalgia kekejaman di kawasan penjara itu beberapa tengkorak tahanan turut dipamerkan selain kisah beberapa tahanan dan latar belakang mereka diceritakan.

Penjara S-21 yang pernah menarik perhatian pengkaji antarabangsa untuk melakukan kajian juga pernah diterbitkan dalam buku dan jurnal selain difilemkan.

Meluangkan masa hampir dua jam di persekitaran muzium itu kemudian menarik perhatian penulis untuk ke kedai buku bagi membeli bahan bacaan mengenai sejarah negara berkenaan dan penulis turut berpeluang berbual bersama seorang daripada tahanan yang terselamat iaitu Chum Mey.

Chum Mey turut berkongsi pengalamannya kehilangan isteri dan empat anak ketika perang gerila memuncak di perkampungannya di Phnom Penh sehingga dia tertangkap.

Pengalaman diseksa, dipukul dan dilayan seperti binatang sudah menjadi kebiasaan buatnya selama 12 hari sehingga dia terselamat apabila pegawai tahanan mengetahui dia mempunyai kepakaran dalam membaiki mesin taip.

“Disebabkan kepakaran itu saya berjaya ‘survive’ dan diambil ‘bekerja’ dengan mereka,” katanya yang kini berusia 87 tahun.

Menghabiskan masa dua jam di muzium itu ternyata satu tempoh pendek dirasakan penulis apatah lagi ada beberapa kawasan dilawati penulis dalam waktu yang singkat, namun pengalaman berada di bekas pusat tahanan paling kejam di dunia itu bagaikan memori indah dan tidak dapat dilupakan kerana ia mengajar erti keamanan dan belas kasihan sesama insan.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:03am
d