ekspresi

Selera Malaysia taraf antarabangsa

Oleh Aniza Zainudin

Pernah menjelajah ke seluruh dunia, Takashi Kikutani menganggap Malaysia antara negara terbaik pernah dikunjungi.

Menyifatkan Malaysia syurga makanan, lelaki berasal dari negara matahari terbit ini tertarik pada aneka sajian istimewa, unik dan bersifat antarabangsa yang ada di Malaysia.

Tidak jemu menikmati menu berlainan setiap hari, Takashi tetap memilih roti canai dan teh sejuk sebagai kegemarannya.

1. Kali pertama anda menjejakkan kaki di Malaysia dan tujuannya?

Pada 2006, saya dan isteri bercuti di Singapura sebelum memasuki Malaysia menerusi Johor, kemudian ke Melaka dan Kuala Lumpur.

Kunjungan kali pertama membuatkan saya tertarik pada masyarakat Malaysia. Berikutan itu, saya menyimpan perancangan untuk kembali ke sini untuk mencari pengalaman kerja.

Akhirnya pada Oktober 2016, saya menerima tawaran kerja sebagai guru bahasa Jepun dan pastinya ia peluang keemasan yang saya tunggu selama ini.

Biarpun terpaksa berjauhan sementara dengan isteri, saya bertuah kerana dia sentiasa menyokong keputusan saya. Isteri bakal mengunjungi saya Aidilfitri nanti dan kemungkinan kami akan melancong ke beberapa destinasi menarik di sini.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum berada di sini?

Di sini, cuaca sentiasa panas dan ia sesuatu yang sangat saya sukai mengenai Malaysia.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Saya masih baru di sini, jadi pasti ada beberapa cabaran seperti masalah berkomunikasi dan tiada penyaman udara di beberapa tempat.

Begitupun, saya bertuah apabila kebanyakan pelajar Malaysia cuba berkomunikasi dengan saya menggunakan bahasa Jepun. Sedikit sebanyak ia memudahkan urusan saya.

Oleh kerana cuaca di sini sentiasa panas, saya berharap lebih banyak penyaman udara disediakan.

4. Memori menarik sepanjang berada di Malaysia?

Malaysia adalah syurga makanan dan memberi saya peluang untuk mencuba pelbagai jenis makanan.

Saya jenis orang yang suka mencuba sesuatu yang baru, jadi setiap kali menjamu selera, saya pasti memesan sesuatu yang berlainan.

Selain itu, saya tertarik dengan budi bahasa masyarakat Malaysia terutama warga emas yang sentiasa bersopan-santun ketika berurusan.

5. Destinasi pilihan anda?

Masjid Negara.

6. Sajian tempatan pilihan anda?

Tentulah roti canai dan teh sejuk yang menjadi menu sarapan saya.

7. Malaysia di mata anda?

Malaysia kaya dengan keindahan alam dan kehijauan yang menakjubkan.

Disiarkan pada: June 10, 2017 @ 11:02pm
d