ekspresi

Jauh lebih berisiko

Oleh Nurul Husna Mahmud

Berbanding sukan papan luncur lain, aktiviti meluncur papan panjang atau Long Board jauh lebih berisiko kerana permukaan jalan bertar tajam selain dimainkan di laluan berliku.

Malah ketika kunjungan ke lokasi komuniti sukan berkenaan di Taman Botani, Kuala Lumpur, kedengaran bunyi seretan panjang setiap kali pemainnya menuruni bukit mengundang rasa ngilu sesiapa saja berada berhampiran lokasi itu.

Bunyi terhasil disebabkan peluncur papan Long Board mengenakan sarung tangan khas mempunyai gabus menahan geseran ketika membrek di penghujung cerun laluan bukit di taman rekreasi berkenaan.

Biarpun kedengaran mudah iaitu menuruni bukit, namun mengawal serta ‘mendarat’ atau istilah sering dipakai ‘landing safe’ sukar andainya tidak didedahkan dengan teknik yang betul.

Menurut wakil penganjur Lim Shen Hao, aktiviti dipanggil ‘Jamming Weekend Long Boarder’ iaitu perjumpaan santai setiap Ahad minggu ketiga, bertujuan mengumpul peminat sukan berkenaan selain mengembangkan kegiatan itu dalam kalangan peminat sukan ekstrem tempatan terutama sukan papan selaju.

“Selain saya, dua rakan dari Cherry Bomb Board Co, Naqib Idris dan Omar Baharum mahu mempopularkan sukan Long Board dengan saluran lebih sihat iaitu berkongsi pengetahuan dengan mereka yang lebih berpengalaman.

“Biasanya kita akan terangkan mengenai spesifikasi papan untuk rutin tertentu selain cara mengawal dengan betul ketika menuruni bukit terutama selekoh.

“Mengenai sukan ini, risikonya membabitkan kelajuan memerlukan mereka menguasai teknik betul selain peralatan sesuai bagi mengurangkan risiko kecederaan.

“Berbanding sukan papan selaju, disebabkan dimainkan di atas tar tajam serta laluan berbukit ia boleh mengundang kecederaan. Tetapi kami dari Cherry Bomb berkongsi teknik mengawal selamat membuatkan sukan ini menarik untuk disertai peminat sukan lasak,” katanya.

Sementara itu, Naqib menyifatkan sukan ini jauh lebih mahal apabila papan Long Board perlu diimport.

“Waktu saya mula sertai sukan ini kira-kira lima tahun dulu, hendak beli papan Long Board hampir RM1,000 untuk set penuh termasuk trak dan papan. Malah saluran untuk beli juga terhad membuatkan harga untuk sukan ini mahal.

“Papan Long Board lebih lebar dan tebal berbanding papan skate lain. Penting kerana ia perlu lebih stabil ketika menuruni dan selekoh. Mengenai gaya bebas dan ‘trick’ papan juga bergantung kepada papan mereka pakai,” katanya.

Mengenai pengalaman sepanjang terbabit dalam sukan Long Board, sukan ini mempunyai keistimewaan buat mereka yang sukakan cabaran seperti kelajuan dan ekstrem.

“Sukan Long Board sering dimain di jalan tar mahupun bukit. Lagi cerun bukit kami naik, lagi ‘thrill’ cabaran menanti kami. Lebih seronok andai bukit itu mempunyai selekoh kerana lagi tajam bermaksud lagi tinggi kawalan diperlukan pemain.

“Sebenarnya Malaysia banyak lokasi menarik dianjurkan pertandingan Long Board, antara paling menarik ialah Panorama yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini. Di sini banyak jagoan membabitkan disiplin ‘downhill’ dan ‘slide jam’ turun padang menunjukkan skil masing-masing.

“Downhill membabitkan kepantasan serta kawalan peserta menuruni bukit sementara ‘slide jam’ menguji tahap penguasaan ‘trick’ serta kawalan papan. Kita ada jaguh mempunyai potensi besar malah ada yang bertanding di luar,” katanya.

Sementara itu Omar antara penggiat tegar sukan Long Board menyifatkan pengalaman ketika menuntut di luar negara menyumbang kepada pembabitan secara langsung dalam sukan papan itu.

“Saya mengenali sukan papan Long Board ketika belajar di London. Boleh dikatakan komuniti papan Long Board besar seperti kelab basikal di Malaysia. Faktor bentuk muka bumi dan jalan di sana berbukit menyebabkan sukan ini popular di sana.

“Apabila pulang ke Malaysia pada 2013 saya mula mencari komuniti sukan ini sebelum bertemu dengan Lim dan Naqib. Sejak itu kami berbincang termasuk mewujudkan jenama lokal khusus untuk papan Long Board mudah diakses di Malaysia.

“Ketika ini ada dua jenis papan iaitu satu lebih kecil untuk ‘trick’ dan lebar untuk downslide. Track dan roda juga berbeza iaitu lebih lebar kerana sukan ini mementingkan stabiliti.

“Mengenai ‘port’ kami berkumpul selain Taman Botani, Bukit Tunku mahupun kawasan perumahan berbukit menjadi pilihan untuk kami meluncur. Namun perlu pastikan peralatan keselamatan seperti topi, sarung tangan khas digunakan untuk menahan atau brek serta alas lutut mahupun siku.

“Mengenai trick biasanya ada pelbagai rutin dalam aktiviti Long Board ini. Antaranya ialah ‘Cross Step’, ‘180 Step’, ‘ Peter Pan’ dan semuanya perlu latihan menjadikan peluncur papan selaju itu mahir,” katanya.

Tambah Omar bukan saja berkumpul bersama komuniti tempatan, adakalanya pertemuan dengan komuniti luar iaitu pemain Long Board dari Filipina dan Thailand mahupun Indonesia banyak membantu meningkatkan skil pemain tempatan.

Harapannya semoga komuniti ini lebih berkembang selain mendapat sokongan agensi tertentu baik korporat mahupun kementerian sukan sendiri dalam membantu meningkatkan kualiti sukan alternatif termasuk dari segi fasiliti.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 2:42am
d