ekspresi

Limosin luar biasa

Oleh Agensi

Limosin luar biasa dipaparkan di sini pasti menjanjikan anda pengalaman umpama raja atau ratu jalan raya. Ada antaranya dibina khas untuk presiden dan sultan, manakala ada juga hasil buatan sendiri.

Antara kemasan limosin ini ialah televisyen, bar, tempat pendaratan helikopter, tab mandian air panas dan puluhan tayar. Berikut antara beberapa limosin paling mahal dan tidak masuk akal di dunia.

Batmobile

Seorang penggemar Batman mencipta kenderaan digunakan adiwira itu selepas ia muncul dalam siri Batman arahan Tim Burton yang ditayang dari 1989 hingga 1992.

Kenderaan hitam itu dibina pada 2012 dan dilengkapi peralatan yang digunakan Batman termasuk pelancar peluru berpandu, dan dilaporkan menelan kos AS$4.2 juta (RM18 juta) untuk menukar kereta berkenaan menjadi limosin.

American Dream

American Dream adalah rekaan seorang pengumpul dan pereka kereta, Jay Ohrberg.

Kereta putih dihiasi bendera patriotik itu disebut-sebut sebagai limosin terpanjang di dunia berukuran 30 meter dan mempunyai 26 tayar.

Ciri-ciri kemewahan yang ada padanya termasuk tab mandian panas, dek matahari, kolam renang, katil bersaiz king dan tempat pendaratan helikopter.

‘Hotel bergerak’ itu dianggarkan bernilai AS$4 juta (RM17 juta).

Mini Limo

Mini Cooper ala limosin ini dilaporkan ditempah khas seorang selebriti Kazakhstan.

Kenderaan yang berharga sekitar AS$1.35 juta (RM5.8 juta) itu turut dilengkapi televisyen termasuk hiasan yang dibuat menggunakan sejuta kristal Swarovski.

Tayar limosin itu turut mempunyai kristal di tengahnya, manakala tingkapnya disalut emas.

Midnight Rider

Midnight Rider secara rasminya limosin paling berat di dunia menurut Rekod Dunia Guinness pada 2011 dan juga mungkin yang terbesar.

Limosin sepanjang 21.3 meter dan setinggi 4 meter itu mempunyai 22 tayar serta seberat 22.7 tan, selain mampu memuatkan 40 penumpang.

Pemiliknya, Pamela Bartholomew Machado, dari California berkata: “Ini limosin paling hebat di dunia, dengan keluasan 42.7 meter persegi dan satu-satunya seumpama itu.

“Ia umpama kelab malam bergerak walaupun diklasifikasikan sebagai limosin.”

Limosin itu dibina menggunakan badan treler dan dianggarkan bernilai AS$2.5 juta (RM10.7 juta).

Jet Limo

Ini bukan bas mahupun pesawat, sebaliknya jet limosin.

Seorang penggemar pesawat mengubah suai bas Mercedes menjadi limo menggunakan rangka badan Boeing 727.

Kenderaan sepanjang 16.2 meter itu mempunyai kapasiti untuk 50 orang, selain turut mempunyai ciri-ciri seperti dalam pesawat termasuk televisyen dan bar.

Jet limo ini boleh disewa dengan harga AS$100,000 (RM426,000) sebulan atau dibeli pada harga AS$1 juta (RM4.3 juta).

Tank Limo

Syarikat Tanks Alot yang berpangkalan di United Kingdom mempunyai kereta kebal untuk disewa pada harga sekitar AS$5,000 (RM21,300) sehari.

Kenderaan berperisai itu semakin popular di majlis perkahwinan dan parti hari jadi.

Memandangkan ia pernah digunakan tentera, bahagian dalam kereta kebal itu agak praktikal. Dua baris tempat duduk dan tingkap ditambah untuk membolehkan cahaya masuk ke dalam kabin utama.

Mercedes-Benz S-600 Pullman Guard

Mercedes-Benz membawa Mayback ke tahap yang baru menjadi versi limosin seberat 5.5 yang digelar S-600 Pullman Guard.

Maybach adalah syarikat dimiliki Mercedes-Benz yang mengkhususkan limosin mewah, namun terpaksa ditarik kerana tidak dapat bersaing dengan Rolls Royce serta Bentley.

Bagaimanapun, limosin S-600 Pullman sepanjang 6.4 meter ini dilengkapi perisai yang mampu menahan tembakan dan bahan letupan kecil serta tingkap kalis pecah.

Lantainya juga berperisai bagi melindungi penumpangnya daripada letupan bom.

Ia boleh didapati dengan harga di bawah AS$1.6 juta (RM6.9 juta).

The Beast

The Beast yang ditugaskan pada 2009 untuk membawa presiden Amerika Syarikat dianggap kereta kebal terhebat dunia. Ada 12 kereta jenis Cadillac itu dengan satu daripadanya membawa presiden yang dikenali sebagai Cadillac One. Biasanya kenderaan jenis ini berharga kira-kira AS$300,000 (RM1.3 juta), tetapi kerajaan membelanjakan lebih AS$3 juta (RM12.8 juta) untuk memastikan keselamatan presiden.

Rolls Royce Phantom

Rolls Royce Phantom ini antara yang menjadi kegilaan dalam kalangan selebriti.

Oasis Limousines di United Kingdom menawarkan kenderaan mahal ini untuk disewa, supaya semua orang dapat berasa menjadi seperti bintang untuk sehari.

Kenderaan ini dijual dengan harga sekitar AS$770,000 (RM3.3 juta) tetapi berbeza-beza bergantung kepada kehendak pelanggan.

Ultra Kustom Coach

Limosin sepanjang 22 meter ini dibina oleh Ultra Kustom Coach dan bernilai AS$1.8 juta (RM7.7 juta). Ia direka untuk menampung 38 penumpang dan bahagian tengahnya mampu turut membelok ketika kereta melalui selekoh. Limosin itu ditempah khas Sheik Hamad Bin Hamdan Al-Nahyan dari Emiriah Arab Bersatu untuk kegunaannya di Amerika Syarikat.

El Dorado Cadillac

El Dorado Cadillac 1982 berwarna biru langit ini melalui beberapa kerja pengubahsuaian.

Sepasukan jurutera menukar kereta ini menjadi kenderaan mewah 18 tayar dilengkapi dua televisyen berwarna, tiga telefon, perakam video, dek matahari dan spa.

Untuk mengubah suai limosin sepanjang 21.9 meter ini, mereka memotong separuh sebuah kereta dan memanjangkannya menggunakan kira-kira 3,175 kilogram keluli. Kos penukaran itu mencecah sekitar AS$125,000 (RM533,000).

Limosin itu terlalu panjang dan tidak boleh dipandu di jalan raya kerana ia tidak mampu membelok di selekoh.

Rolls Royce Sultan Brunei

Sultan Brunei Hassanal Bolkiah didakwa memiliki koleksi kereta terbanyak dunia yang bernilai lebih AS$4 bilion (RM17.05 bilion).

Beliau dianggarkan mempunyai lebih 7,000 kenderaan berprestasi tinggi tetapi satu yang paling luar biasa adalah limosin Rolls Royce Silver Spur yang ditempah khas.

Kenderaan itu disaluti emas 24 karat dan bernilai AS$14 juta (RM60 juta). Penutup roda dan bahagian lain pada kereta itu turut dihiasi dengan hiasan bersalut emas.

Tempat duduk belakang yang terbuka dipasangkan kanopi untuk melindungi penumpangnya daripada panas terik.

Apabila anak lelakinya, Putera Al-Muhtadee Billah berkahwin pada 2004, dia dan pasangannya berarak menaiki kenderaan itu ke seluruh bandar.

Perarakan itu diikuti 103 limosin lain dan diiringi pancaragam.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 2:49am
d