ekspresi

Berkayak mudik 140km

Oleh Nurul Husna Mahmud

Kali pertama mendengar perkataan Perak River Endurance membayang­kan cabaran menyusuri Sungai Perak bagi jarak jauh. Namun tidak terfikir pula ia sejauh 140 kilometer apabila peserta perlu mendayung sepanjang Sungai Perak.

Malah berbanding sebarang cabaran endurance di darat yang statik, pasti penganjurnya, Indera Sakti Event serta Persatuan Kanu Malaysia tak menang tangan memastikan pelepasan pertandingan kayak berpasangan di sungai berarus kuat ini yang bermula dari Tasik Raban Lenggong dan penamatnya di tapak bersejarah Pasir Salak dalam tempoh tiga hari perlumbaan berlangsung.

Buat Pengarah program Perak River Endurance, Maimoon Hussein, kejohanan kayak maraton ini antara acara terbesar pernah dianjurkan di Malaysia dan usaha itu penting dalam perkembangan sukan air ekstrem terbabit.

Katanya, tahun ini sudah masuk tahun kedua, semestinya komuniti sukan itu menantikan acara terbabit diadakan sekali lagi kerana laluan sepanjang Sungai Perak antara trek air menarik kerana ekologi serta sejarahnya.

“Bagi kami, penganjur daripada Indera Sakti Event bersama Persatuan Kanu Malaysia, acara besar seperti ini semestinya penting tidak saja bagi membantu perkemba­ngan sukan kanu sendiri malah impak kepada masyarakat sekitar sungai menerusi ekopelancongan.

“Sebenarnya, laluan peserta ini mempunyai sejarah penting membabitkan negeri Perak iaitu laluan diraja yang mana banyak makam raja serta pahlawan lama di tebing Sungai Perak.

“Terutama sekali pada laluan peringkat dua dan tiga, dari Kuala Kangsar ke Parit dan Pasir Salak membabitkan jarak 45 kilometer, membuatkan ia cabaran dinantikan peserta.

“Sambutan kami terima menggalakkan apabila 170 peserta dari Johor, Terengganu, Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan pastinya Perak,” katanya.

Kata Maimoon, acara ini awalnya mempunyai tujuh kategori tetapi terpaksa menggugurkan satu kategori iaitu paralimpik kerana peserta menarik diri pada saat akhir. Untuk kategori khas itu, jarak dipertandingkan lebih pendek iaitu 5 kilometer sahaja.

Sentiasa memastikan keselamatan peserta dalam keadaan terbaik, sekratriat Perak River Endurance mendapat kerjasama Polis Marin, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kru teknikal daripada Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).

Bagi acara yang bakal berlangsung di Johor membabitkan laluan Selat Tebrau, Puteri Harbor ke Sungai Melayu, Maimoon menjangkakan 300 peserta tempatan dan antarabangsa akan menyertai pertandingan Iskandar Puteri Kayak Challenge pada 16 hingga 17 September depan.

Pengurus pasukan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Nor Hasliana Zakaria, gembira dengan prestasi pasukannya iaitu dua daripada empat pendayung mewakili kategori agensi mengungguli kedudukan teratas.

“Berdasarkan pengalaman pendayung dipilih bekas atlet kanu kebangsaan, semestinya peluang menang itu cerah. Malah ramai kenalan ketika SUKMA menyertai acara ini.

“Kami menyokong perkembangan sukan ini berharap mengharumkan nama MBJB dalam disiplin sukan ini. Untuk kami menjadi sebahagian komuniti sukan kayak ini, acara Perak River Endurance dinanti saban tahun kerana ia acara paling ekstrem membabitkan dayungan jarak jauh,” katanya.

Pendayung Majlis Sukan Negeri Johor, Nadiah Abd Karim, pula menyifatkan laluan Perak River Endurance sangat mencabar. Malah ia platform baik berlatih berkayak terutama buat atlet kanu sepertinya.

“Saya tidak fokus untuk menang sebaliknya melihat acara maraton Sungai Perak ini sebagai medan mempertingkatkan skil prestasi. Malah kami atlet Johor tidak banyak pilihan sungai untuk acara ini melainkan latihan di laut.

“Sekurang kurangnya ia memberi kami ilmu baru malah teknik berbeza mengenai kanu. Pada aspek lain, ketahanan menempuh perjalanan panjang dalam satu perlumbaan kekuatan mental.

“Nampak kami peserta hanya duduk dan santai mendayung mengikut arus, sebenarnya ia tidak semudah disangka. Laluan sungai berubah-ubah mengikut bentuk muka bumi selain perubahan arus mengikut kedalaman dan kawasan. Sebagai peserta, kami kena faham dan fokus agar beroleh kelebihan dalam pertandingan ini,” katanya.

Bagi peserta Lelaki Terbuka, Ahmad Mulyadi, tidak dinafikan perjalanan panjang membuatkan acara ini memenatkan. Tetapi sudah menjadi adat dalam pertandingan, ada semangat serta dorongan untuk menang.

“Saya bersyukur kerana pasangan sentiasa memberi motivasi sepanjang bertanding. Kami mengatur strategi menjarakkan kedudukan daripada kelompok besar untuk berada pada kedudukan baik.

“Ia berhasil apabila peringkat pertama kami pada kedudukan kedua. Pentingnya tidak boleh putus asa selain latihan mencukupi serta kesihatan pada tahap terbaik untuk menamatkan 140 kilometer terbabit,” katanya yang berharap dapat menyertai acara Iskandar Puteri Kayak Challenge nanti.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 4:23am
d