ekspresi

Fabrik Kasih Aidilfitri

Oleh Zaitie Satibi

Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat 29 kanak-kanak yang menghuni Kompleks Pendidikan Anak Yatim Darul Kifayah, Kuala Lumpur, apabila menerima sumbangan baju raya menerusi program Fabrik Kasih anjuran stesen radio, iM4U fm dengan kerjasama Kumpulan Sunway, baru-baru ini.

Istimewanya, pemberian baju raya itu dijahit khas mengikut ukuran badan kanak-kanak berkenaan. Fabrik Kasih adalah inisiatif iM4U fm bertujuan menggalakkan pembabitan sukarelawan daripada pelajar rekaan fesyen Giat Mara dan Kolej Vokasional mengetengahkan kemahiran mereka.

Pelajar berkenaan membuat rekaan dan menjahit pakaian raya dengan bimbingan tiga pereka fesyen terkenal iaitu Tengku Syahmi, Zakwan Anuar serta Fuzana Mokhtaza. Baju raya disediakan mengikut tema diberikan pereka tempatan berkenaan.

Selain menyediakan pakaian raya, Kumpulan Sunway menerusi Sunway Property dan Sunway Construction juga membaik pulih mana-mana bahagian rosak di rumah kebajikan berkenaan seperti kipas, lampu atau paip yang tidak berfungsi.

Komited jalankan CSR

Penolong Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran Jenama dan Komunikasi Sunway, Bernard Paul Netto berkata, Fabrik Kasih adalah sebahagian program Sinar Harapan yang digerakkan pihaknya bagi mendekati golongan kurang bernasib baik dan menghasilkan sesuatu yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat terutamanya pada musim perayaan.

“Sepanjang tahun, Kumpulan Sunway membantu meringankan beban kira-kira 80,000 orang di seluruh negara ini dalam beberapa sambutan perayaan.

“Ini kerana, kami komited untuk menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diasaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan akan meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) supaya dapat memenuhi kehendak masyarakat selari dengan agenda yang digariskan dalam SDG,” katanya.

Katanya, dalam kerjasama kali kedua bersama iM4U ini pakaian raya diagihkan ke lapan pusat kebajikan lain termasuk pusat jagaan warga emas dan pusat autisme di Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

“Memakai baju baru adalah satu kegembiraan dalam menyambut perayaan. Tetapi, tidak semua orang berkemampuan untuk membeli baju baru. Oleh itu peranan kami menyumbang kepada pihak berkenaan supaya mereka dapat bersama-sama meraikan hari raya dalam suasana meriah,” katanya.

Gigih siapkan jahitan

Sukarelawan Kolej Vokasional Dato Undang Haji Muhammad Sharif, Nur Amirah Hazli, 18, berkata, program berkenaan selain membantu golongan memerlukan dan memberi ruang kepadanya menggunakan ilmu rekaan fesyen yang dipelajari.

“Saya dan rakan bertungkus-lumus menyiapkan baju raya kanak-kanak berkenaan bermula daripada proses mengambil ukuran badan, memotong kain dan menjahitnya. Malah, kami juga menjalankan sesi pemadanan baju yang sudah disiapkan terhadap kanak-kanak ini sebelum diserahkan kepada mereka.

“Walaupun banyak cabaran dihadapi untuk menyiapkan sebanyak 29 pakaian dalam tempoh sebulan, kami tetap gembira dapat membantu menjayakan program ini, di samping berpeluang bekerja bawah bimbingan pereka fesyen terkenal,” katanya.

Biarpun kali pertama menyertai aktiviti CSR, Nur Amirah dan rakannya, Nor Afifah Rohani, 18, tetap memberikan hasil terbaik mereka dalam menyelesaikan tugasan diberi.

Amal kemahiran bantu orang

Pelukis pelan di Sunway Construction, Alysha Abbas Mohamed Heikal, 20, berkata, dia gembira kerana diberi kesempatan untuk menyertai aktiviti CSR anjuran tempatnya bekerja kerana dapat menggunakan kemahiran dimiliki bagi membantu orang lain.

“Tugas saya dan rakan sekerja dalam program ini adalah memeriksa lampu, kipas serta peralatan elektrik lain di bilik asrama pusat kebajikan. Kami akan membaiki dan mengganti peralatan yang rosak supaya penghuninya dapat tinggal dengan lebih selesa.

“Selain pusat kebajikan di ibu negara, kami juga melakukan tugas yang sama di Perak dan Pulau Pinang. Dengan melakukan kerja amal ini di merata tempat, secara tidak langsung saya dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja,” katanya.

Katanya, dia juga berpeluang mengenali ramai sukarelawan lain sepanjang program berkenaan berjalan dan ia dapat meningkatkan keyakinan diri dalam pergaulan.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 4:24am
d