ekspresi

Tingkat kemahiran peserta

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Sukar namun mengujakan. Itu perasaan dialami saat menempuh halangan dalam kejohanan basikal lasak Community College MTB Challenge 2017 (CC MTB Challenge) di Kolej Komuniti Hulu Selangor baru-baru ini.

Perlumbaan yang diadakan seminggu sebelum umat Islam berpuasa itu memberikan halangan yang pastinya membuatkan peminat sukan basikal teruja untuk membuktikan kebolehan meredah halangan tanpa masalah.

Tambah menarik, halangan itu membuatkan peserta terpaksa menolak basikal akibat tidak mampu meneruskan kayuhan. Biarpun sukar, rata-rata berpuas hati kerana halangan serta cabaran memberikan pengalaman bermakna dan menambah kemahiran mereka dalam aspek kawalan berbasikal.

Dipecahkan ke kategori Terbuka Lelaki, kategori Pelajar IPTA/IPTS, Veteran, Junior, Staf IPTA/IPTS dan Terbuka Wanita, perlumbaan bermula seawal jam 8 pagi.

Pada awal perlumbaan persaingan sengit dapat dilihat apabila peserta mengambil peluang memecut di atas jalan raya.

Namun, sebaik memasuki laluan ‘off-road’ di ladang kelapa sawit, perlumbaan tambah rancak apabila masing-masing cuba menunjukkan kemampuan meredah halangan yang ada.

Namun, sedikit demi sedikit kerancakan bertukar perlahan apabila ada peserta mula terkesan dengan cabaran yang ada.

Ketua Teknikal CC MTB Challenge Hafiz A Rahman berkata, menerusi kejohanan itu peserta perlu melengkapkan kayuhan sejauh 36.3 kilometer (km) membabitkan 10km laluan berturap manakala selebihnya 26.3km adalah laluan lasak ‘off road’.

Katanya, peserta dibawa ‘menjelajah’ ke kawasan hutan Batang Kali, ladang kelapa sawit, kawasan kebun durian serta beberapa denai yang menjanjikan cabaran berbeza.

“Setiap kawasan mempunyai cabaran yang berbeza dan bukan saja memerlukan kudrat sebaliknya memerlukan kawalan teknik berbasikal yang bagus.

“Antara cabaran ini termasuk mendaki kawasan berbukit yang diletakkan palang kayu selain laluan sempit curam yang ditahan dengan batang kayu.

“Harapan kita agar setiap peserta merasai pengalaman menempuh halangan ini dan menjadi medan belajar teknik kawalan berbeza dan sebagai panduan ketika menempuh halangan pada masa depan.

“Biarpun laluan lasak ‘off-road’ ini memberikan halangan serta cabaran, sebenarnya kita lebih memberi penekanan keselamatan ketika peserta berlumba di jalan raya.

“Ini kerana ada laluan ini sarat dengan kenderaan yang bergerak laju dan amat berbahaya kepada peserta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti Wan Mohamad Nasir Wan Abdul Rahman berkata, kayuhan berkenaan mula diperkenalkan sejak 2013 lagi dan sebelum itu lebih dikenali sebagai KKHS MTB Jamboree.

Katanya, tujuan utama bagi mencungkil bakat baru dalam sukan itu khususnya dalam kalangan pelajar Kolej Komuniti Hulu Selangor.

“Sehingga kini sambutan diterima memang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Kolej Komuniti dan peserta luar.

“Harapan kita agar sukan ini terus berkembang dan menjadi salah satu aktiviti menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, CC MTB Challenge juga bagi mempromosikan Hulu Selangor sebagai destinasi sukan berbasikal dan dalam masa yang menyerlahkan potensi produk pelancongan alam semula jadi yang ada.

“Hulu Selangor terkenal dengan khazanah hutan serta geografinya yang unik bukan saja sesuai untuk pelbagai aktiviti luar sebaliknya menjanjikan pemandangan alam yang memukau.

“Jadi, harapan kami dengan penganjuran sukan seperti ini, ia dapat mewujudkan perasaan kecintaan dalam kalangan peserta mengenai kepentingan menjaga khazanah alam yang ada,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 4:24am
d