ekspresi

Remaja teroka laut dalam

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Selam skuba antara aktiviti mencabar yang mempunyai kelainan serta keistimewaan tersendiri. Ia bukan saja dilihat santai sambil menikmati keindahan laut dalam, juga boleh dijadikan aktiviti riadah yang mencabar dan mengujakan.

Rata-rata mereka yang gemar menyelam skuba akan mengambil lesen bagi membolehkan mereka ‘mencuci mata’ sambil meneroka keindahan laut dalam yang penuh dengan warna-warni. Juga, sangat sukar menggambarkan kepuasan dan ketenangan minda yang dialami ketika meneroka keindahan alam di bawah permukaan air.

Bagi yang baru berjinak-jinak dengan dunia selam skuba ini pasti sangat teruja apabila berpeluang meneroka ‘alam laut’ yang penuh dengan rahsianya yang tersendiri.

Pengalaman sama dirasai sembilan remaja berusia 11 hingga 18 tahun yang mengambil lesen Junior Open Water Diver (OWD) sempena program Bubble Camp 2017, anjuran Damai Tioman Resort, Kampung Genting, Pulau Tioman, Pahang, baru-baru ini.

Mereka berpeluang menjalani latihan menyelam pada kedalaman tiga hingga lima meter ketika aktiviti ‘boat dive’ sebagai syarat mendapatkan lesen berkenaan yang dikeluarkan Persatuan Profesional Jurulatih Selam Skuba (PADI)

Bagi Siti Nurhaliza M Saidin, sejak berusia empat tahun lagi dia sudah mula ‘berjinak’ dengan aktiviti air kerana bapanya penyelam skuba.

“Tiada apa yang menakutkan ketika ‘bermain’ dengan pantai dan laut kerana bapa sentiasa ada bersama dan kini Pulau Tioman adalah sebahagian daripada kehidupan saya.

“Saya teruja apabila diberi peluang mengambil lesen Junior OWD kerana ia antara minat utama saya sejak kecil.

“Seronok dapat menyelam sehingga satu tahap saya berasakan seperti sedang ‘tidur lena’ kerana suasananya sangat tenang dan mendamaikan,” katanya.

Rakannya, Noor Salina Jalal, 15, turut teruja kerana dapat mengambil lesen berkenaan walaupun kehidupan sehariannya sentiasa memandang laut yang terbentang luas di Kampung Tekek.

“Sebagai ‘anak pulau’ saya juga berkeinginan untuk meneroka dasar laut dan peluang itu berjaya diperoleh sempena program Bubble Camp kali ini apabila nama saya tersenarai sebagai peserta kursus selam skuba.

“Cikgu (jurulatih) memberi penerangan dengan jelas mengenai aktiviti ini ketika di dalam kelas dan saya sentiasa berfikiran positif dan menanam sikap berani dan penuh yakin untuk melakukan selaman ketika kelas praktikal,” katanya.

Bagi pelajar SMK Paya Besar Kuantan, Darwishah Nordin, 14, menyelam adalah pengalaman yang berharga dan sama sekali tidak pernah terfikir berpeluang melakukannya pada usia muda.

Menurutnya, dia memang teruja dapat menyelam, menyentuh pasir di dasar laut dan melihat pelbagai spesies ikan berwarna-warni.

“Tiga tahun lalu saya datang sebagai peserta Bubble Camp dan hanya berpeluang menggunakan tangki oksigen untuk aktiviti ‘water confident’ sahaja.

“Sungguh seronok dapat menyelam walaupun ketika latihan terakhir ‘boat dive’ dada saya berasa sakit,” katanya yang berminat dengan aktiviti sukan lasak.

Sharifah Nur Khadijah Syed Nasir, 15, pula berkata, keyakinan diri dan minat dengan aktiviti lasak mendorongnya mengambil lesen Junior OWD.

“Ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja kerana tidak mudah untuk kita mengambil lesen selam skuba kerana banyak faktor diambil kira termasuk berat badan, tahap keyakinan diri, minat dan disiplin diri dalam mematuhi setiap undang-undang dan syarat yang ditetapkan.

“Setiap peserta perlu menghadiri kelas teori terlebih dahulu untuk mengetahui dan memahami asas selam skuba, peralatan yang diperlukan dan pelbagai kaedah yang diperlukan ketika melakukan latihan menyelam,” kata pelajar SMK Mersing, Johor ini.

Berbeza pula dengan peserta paling muda, Ahmad Aidid Hakimi Ahmad Zakki, 11, yang mengambil lesen semata-mata untuk melihat hidupan dalam laut.

Susuk tubuhnya yang kecil tidak menghalang Ahmad Aidid memikul tangki oksigen lengkap dengan sut yang anggaran beratnya 15 kilogram kerana mahu membuktikan keupayaan dirinya.

“Saya belajar menyelam ini pun sebab saya nak tengok ikan dan terumbu karang dalam laut je (sahaja) sebab ianya berwarna-warni dan sangat cantik.

“Selama ni (ini) hanya lihat orang menyelam dalam TV dan saya nak tahu juga bagaimana rasanya boleh berenang sambil ‘mengejar’ ikan,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki, 18, pula berkata masalah pendengaran yang dihadapi sejak setahun lalu tidak menghalangnya mengambil lesen bersama adiknya, Ahmad Aidid.

“Ketika dalam air, memang saya berdepan dengan kesakitan di bahagian dalam telinga tetapi saya tetap gigih untuk mengambil lesen kerana amat meminati aktiviti selam skuba yang memberi ruang kepada kita ‘mengenali’ dunia hidupan marin.

“Bagi saya, jika sudah minat ditambah pula dorongan daripada ibu bapa, Ahmad Zakki Jilan dan Azlinariah Abdullah, masalah (pendengaran) bukan lagi menjadi isu besar. Insya-Allah, dengan rawatan susulan di hospital, masalah ini dapat diatasi,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar biologi marin.

Sementara itu, jurulatih selam skuba, Muhammad Al Yufizli Mazelan, 32, berkata setiap peserta yang menyertai kursus itu tidak mempunyai ilmu serta pengalaman di laut dalam dan untuk itu mereka diberi latihan serta pembelajaran bermula dari awal.

Menurutnya, tempoh empat hari tiga malam untuk mempelajari asas selam skuba bukan waktu yang panjang tetapi dengan sikap dan disiplin yang diterapkan, peserta berjaya memberi tumpuan penuh sepanjang berada di kelas teori dan praktikal seperti ketika aktiviti ‘water confident’ di permukaan air.

“Semua peserta menunjukkan minat mendalam dan sentiasa fokus mengenai apa yang dipelajari dan mengemukakan soalan jika ada yang kurang faham mengenai sesuatu perkara.

“Jelas mereka teruja untuk melakukan aktiviti selam skuba kerana tidak semua remaja sebaya mereka berani melakukannya dan saya lihat, mereka bersungguh-sungguh menjalani latihan bagi mendapatkan lesen Junior OWD ini,” katanya.

Beliau berkata, peserta kursus dilatih untuk berdikari dan tidak perlu terlalu mengharapkan bantuan orang lain dalam melakukan kerja seharian melalui aktiviti yang disediakan.

“Keyakinan diri, minat dan berani mesti seiring bagi setiap individu yang ingin ‘berkawan’ dengan laut, kalau tidak susah kerana bimbang mereka ‘menggelabah’ ketika di dalam air,” katanya.

PROFIL:

Nama: Ahmad Aidid Hakimi Ahmad Zakki

Lahir: 10 Ogos 2006

Pendidikan: SK Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur

Cita-cita: Doktor

Nama: Darwishah Nordin

Lahir: 20 Jun 2003

Pendidikan: SMK Paya Besar, Kuantan, Pahang

Cita-cita: Veterinar

Nama: Siti Nurhaliza M Saidin

Lahir: 16 Oktober 2002

Pendidikan: SMK Tekek, Pulau Tioman, Pahang

Cita-cita: Jurutera

Nama: Sharifah Nur Khadijah Syed Nasir

Lahir: 28 Ogos 2002

Pendidikan: SMK Mersing, Johor

Cita-cita: Polis

Nama: Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki

Lahir: 31 Oktober, 1999

Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia

Cita-cita: Pakar Biologi Marin

Nama: Noor Salina Jalal

Lahir: 25 Mac 2002

Pendidikan: SMK Tekek, Pulau Tioman, Pahang

Cita-cita: Pendandan

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 1:11pm
d