ekspresi

Teppan Roti John eksklusif

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Hobi suka mencuba sesuatu yang baru membawa Nafisah Hani Mohammed Isa@Nazli, 35, meneroka dunia perniagaan makanan roti John iaitu The Teppan Roti John Carik Western di Sri Kembangan,Selangor.

Memulakan perniagaan setahun lalu, Nafisah berkata, segalanya bermula apabila dia dan rakan-rakannya mahu makan roti John dan mereka mencuba di gerai dan kedai berbeza tetapi semua menu mempunyai rasa dan bahan asas sama.

“Bermula dari situ, dapat idea menjalankan perniagaan roti John tetapi dengan resipi dan cara tersendiri. Hampir setahun membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D), saya beranikan diri membuka The Teppan Roti John Carik Western.

“Apa yang membezakan The Teppan Roti John Carik Western dengan roti John lain kami menggunakan 100 peratus daging dari Australia, sos buatan serta mayonis buatan sendiri,” katanya ketika ditemui di kedainya, baru-baru ini.

Menurut Nafisah, The Teppan Roti John Carik Western hanya menggunakan bahan segar serta mengutamakan cara penyediaan bersih bagi menjamin kualiti makanan.

“Kami perap semalaman daging bersama sos buatan sendiri sebelum memulakan perniagaan keesokan hari. Ia bertujuan memberikan rasa istimewa kepada pelanggan.

“Di sini kami mempunyai lima jenis roti John seperti original, cheese, Hawaiian, super mario, coco remix dan yang paling mendapat sambutan ialah coco remix kerana ia dihasilkan dengan daging salai, cendawan, keju, nanas, sos istimewa dan mayonis.

Bagi meluaskan rangkaian perniagaannya, Nafisah berhasrat menjadikan perniagaan The Teppan Roti John Carik Western sebagai francais di sekitar Lembah Klang.

“Kami terima banyak permintaan dan komen positif daripada pelanggan yang berminat menjalankan perniagaan francais ini. Insya-Allah, jika diizinkan lepas Aidilfitri kami akan buka lima kedai di sekitar Lembah Klang.

“Saya juga terharu dan terkejut dengan sambutan pelanggan kerana ada yang sanggup datang dari Melaka, Pulau Pinang serta Pahang semata-mata mahu menikmati The Teppan Roti John Carik Western,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2017 @ 10:10am
d