ekspresi

Sokong pemuzik klasik muda

Oleh Nurul Husna Mahmud

Persatuan Chopin Malaysia antara satu rangkaian daripada 60 negara lain memaparkan nilai estetika budaya Belanda yang mendapat naungan Ratu Belanda Beatrix.

Persatuan di Malaysia ini ditubuhkan wakil kedutaan, Dr. Zygmut Langer dan Pensyarah Muzik Piano, Profesor Snezana Panovska bagi tujuan mempertingkatkan pembangunan kerjasama budaya antara Belanda serta Malaysia menerusi karya komposer muzik klasik tersohor Fryderyk Chopin.

Malah, persatuan berkenaan bergerak menerusi kutipan yuran ahli yang berperanan penting dalam perkembangan bakat muda dalam persembahan muzik klasik.

Terbaru, persatuan itu baru saja menganjurkan pertandingan tarian balet dan instrumen peringkat kebangsaan bagi mencungkil bakat pemuzik serta penari muda.

Seorang pemain piano cilik, Law Zi Yue berkata, ini percubaan sulungnya dalam pertandingan permainan instrumen.

“Saya tidak pernah menyertai sebarang pertandingan piano dan saya baru saja mempelajari instrumen itu tahun lalu.

“Sebaik dimaklumkan guru muzik mengenai pertandingan duet antara guru dan murid, saya beranikan diri mencuba.

“Ibu yang sebenarnya menyokong pembabitan saya. Meskipun gementar saya berasa teruja dan gembira dapat membuat persembahan depan khalayak ramai.

“Tambah pula permainan piano ini menyeronokkan, tentu saja ini pengalaman tidak boleh dilupakan kerana dapat beraksi dengan guru,” katanya.

Menurut Snezana yang juga Pengasas Persatuan Chopin, pihaknya mengalu-alukan penyertaan pihak korporat mahupun penggiat untuk menyumbang idea, tenaga mahupun bentuk dana dalam perkembangan muzik klasik dalam kalangan generasi muda.

“Sejak September 2002, kami sudah berdaftar secara rasmi di Malaysia. Secara tidak langsung ini membentuk platform dengan rangkaian Persatuan Chopin seluruh dunia yang berteduh bawah Persekutuan Persatuan Chopin.

“Kami teruja mencungkil pemuzik dan penari genre klasik berbakat di Malaysia, selain mempromosikan pertukaran antarabangsa serta antara budaya melalui aktiviti berkaitan muzik,” katanya.

Sementara itu Pengerusinya Puan Seri Salina Shah berkata, meskipun berdepan kekangan terutama dana atau tajaan menyokong usaha pihaknya dalam penganjuran berskala besar, pihaknya masih optimis dengan usaha mencungkil bakat muda tempatan.

“Malaysia mempunyai bakat muda untuk pergi jauh di persada dunia meskipun dalam genre muzik klasik.

“Saya sendiri teruja dengan potensi dan bakat dimiliki pelajar serta kesungguhan ibu bapa sanggup menyokong minat anak.

“Tetapi itu masih tidak memadai kerana bagi saya, perlunya penganjuran pertandingan sebegini untuk melonjakkan prestasi dan kualiti skil mereka.

“Malah, Persatuan Chopin Malaysia berhasrat menganjurkan pertandingan peringkat Asia dan bagi saya, ini peluang serta saat penting buat bakat muda terus gemilang di arena antarabangsa.

“Jadi saya berharap sokongan agensi dan korporat berkaitan berkolaborasi dengan pihak persatuan dapat membantu penggiat muda dalam profesionalisme muzik berkembang mekar,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2017 @ 10:26am
d