ekspresi

Sebar mesej cintai alam

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Selaras hasrat menyemai serta menyebar mesej kecintaan terhadap alam sekitar, seramai 1,200 peminat sukan berbasikal berkayuh dalam program Race For A Better Planet (RFBP) Klang Valley 2017 di Sunway GEO Avenue, Petaling Jaya.

Dianjurkan Sunway Property, kayuhan bermula jam 7 pagi itu dipecahkan kepada dua kategori iaitu Fun Ride dan Power Ride membabit­kan jarak kayuhan lima kilometer (5km) dan 16km.

Biarpun berkonsepkan kayuhan santai, program sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia itu berjaya mengumpulkan kumpulan peminat sukan berbasikal pelbagai kategori seperti Mountain Bike, Fat Bike dan Road Bike.

Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur membuktikan rakyat negara ini sedar kepentingan menjaga alam sekitar selain menyokong penuh usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar seiring dengan pembangunan serta kemajuan dicapai.

Siri ketiga programSunway Property

Penyelaras Projek RFBP Klang Valley 2017, Tengku Rais Putra Tengku Mustaffar berkata, RFBP Klang Valley adalah siri ketiga program kayuhan anjuran Sunway Property yang turut diadakan di tiga lokasi berbeza.

Katanya, sebelum ini RFBP 2017 siri pertama diadakan di Johor dan Pulau Pinang secara serentak, manakala siri kedua pula di Johor.

“Kita berterima kasih atas sokongan peserta kerana ia menjadi bukti bahawa dalam keseronokan menjalankan aktiviti berbasikal, mereka tidak lupa akan kepentingan menjaga alam sekitar.Malah, penyertaan peminat sukan berbasikal ini menjadi bukti bahawa masyarakat di negara ini mampu bersatu padu tanpa mengira kaum dan peringkat umur menyokong usaha menjaga alam sekitar,” katanya.

Menurut Tengku Rais, menerusi RFBP juga, sebanyak RM50,000 dana berjaya dikutip hasil sumbangan peserta, orang ramai dan penaja terdiri daripada syarikat swasat turut diserahkan kepada Malaysian Environmental NGO (MENGO) bagi digunakan untuk menyokong program pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar.

Sepanjang program itu berlangsung, turut diadakan pelbagai aktiviti sampingan seperti bengkel serta persembahan, bazar selain cabutan bertuah sebagai menghargai sokongan yang diberikan oleh peserta.

Sementara itu peserta, Daniel Rashid Abd Razak, 36, berkata, dia memuji usaha murni bagi menyebar kecintaan terhadap alam sekitar yang diadakan menerusi aktiviti berbasikal itu.

Dia yang berkayuh bersama isteri dan anaknya yang berusia lapan tahun mengakui seronok kerana dapat beriadah bersama keluarga dalam aktiviti sihat itu.

“Bagi saya penganjuran ini langkah tepat kerana aktiviti berbasikal memang dekat dengan alam sekitar dan mening­katkan tahap kesihatan seseorang.

“Paling utama kita dapat lihat adalah peserta tanpa mengira peringkat umur sama-sama saling menyokong usaha penjagaan alam sekitar ini dan berharap ia juga mampu mendidik generasi muda untuk menjaga alam sekitar,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 2:28am
d