ekspresi

Kampung tenggelam

Oleh Al Jazeera

Kenaikan paras laut memaksa sebahagian penduduk di empat kampung di daerah Bekasi, Jawa Barat, Indonesia, berpindah.

Bagi yang memilih untuk terus menetap, mereka terpaksa mengharungi kehidupan yang amat rumit.

Kampung Pantai Bahagia yang terletak kira-kira satu kilometer dari pantai adalah yang paling teruk terjejas akibat peningkatan paras laut.

Hampir 80 peratus penduduknya terjejas dengan keadaan itu.

Paras laut meningkat lebih tinggi setiap tahun. Rumah mereka akan dinaiki air setiap kali air pasang.

Beberapa puluh tahun lalu, ribuan keluarga mendiami empat perkampungan nelayan terbabit.

Kini, hanya beberapa ratus keluarga yang tinggal kerana mereka tidak mempunyai tempat lain untuk dituju. Sebelum ini, mereka hidup selesa dengan menternak udang dan menangkap ikan.

Bagaimanapun, kehidupan seperti itu sudah berlalu.

Sejak paras laut mula naik dan membanjiri kolam mereka pada 2005, penduduk terpaksa mencari kerja lain.

Perkampungan itu hanya sebahagian kecil daripada kawasan Pantai Bekasi yang berpenduduk sesak itu, yang terpaksa bergelut dengan kesan perubahan iklim.

Pakar meramalkan, menjelang 2050, kira-kira 42 juta keluarga yang tinggal di tepi pantai diancam banjir dan kira-kira 1,500 pulau kecil di Indonesia berkemungkinan tenggelam.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 2:43am
d