ekspresi

Berasa selamat di bumi kanggaru

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Tanyalah sesiapa sahaja yang pernah ke negara kelahiran kanggaru, ungkapan ‘hello!’ dan ‘good day’ sentiasa meniti di bibir penduduknya yang ramah supaya pengunjung ke negara itu berasa selesa dan selamat.

Malah, perjalanan penulis bersama rakan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Perth yang mengambil masa selama lima jam terasa berbaloi sebaik mata dijamu dengan pemandangan indah dan disambut cuaca baik sepanjang percutian ala kembara selama enam hari di Perth, Australia Barat (WA), baru-baru ini.

Tertarik sungguh dengan budaya dan disiplin tinggi dalam kalangan penduduk yang sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya tanpa tol berikutan denda dikenakan tinggi sehingga mencecah AU$300 (RM959) bagi kesalahan memandu melebihi had laju dibenarkan.

Kami menaiki bas ke Adelaide Street berhampiran bandar Perth yang mengambil masa kira-kira 25 minit bagi menguruskan tempat tinggal di Hay Street. Walaupun terletak di tengah bandar raya, ia hanya meriah seawal jam 6 pagi hingga 5 petang dan 8.30 malam bagi restoran.

Ia berikutan penduduknya menjadikan malam sebagai waktu rehat bersama keluarga serta bangun seawal pagi ke tempat kerja dengan bersemangat, malah difahamkan kadar bayaran bagi kerja lebih masa yang tinggi menyebabkan majikan kurang gemar meneruskan operasi selepas waktu pejabat.

Tanggal 25 April adalah Hari Australian and New Zealand Army Corps (ANZAC), tarikh penting dalam kalendar Australia dan New Zealand iaitu hari memperingati dan menghormati anggota tentera yang terkorban di Gallipoli, Turki dalam Perang Dunia Pertama.

Justeru kebanyakan jalan raya di sekitar bandar ditutup bagi memberi laluan kepada acara perbarisan, malah pusat beli-belah turut tidak beroperasi pada hari cuti umum itu.

Kami mulakan perjalanan ke Caversham Wild Life di Whiteman dan tidak perlu risau menggunakan pengangkutan awam kerana pemandunya amat membantu dengan memberitahu pelancong sekiranya sudah sampai ke destinasi, selain bas mesra keluarga, mesra orang kurang upaya (OKU) serta tiba tepat pada waktunya.

Tidak lengkap kunjungan ke Australia jika tidak melihat kanggaru, koala dan wombat dan sedikit tip, pengunjung dicadangkan supaya datang awal pagi bagi memberi makan kanggaru yang sedang lapar selain tidak terlepas persembahan beberapa haiwan lain.

Malah penulis berasa puas dapat bergambar dan memegang kanggaru yang jinak serta melihat keadaan anak kanggaru di dalam kantung ibunya.

Cuaca dingin musim luruh memudahkan perjalanan kami ke Crawley Edge Boatshed atau Blue Boat House di Swan River iaitu antara lokasi popular bagi aktiviti fotografi dan bertuahnya kami dapat melihat ribuan burung hijrah ketika melalui tasik terbabit sebelum singgah di ‘Taman Alice in Wonderland’ iaitu John Oldham Park yang tidak jauh dari Swan River bagi menikmati panorama petang.

Disebabkan keadaan sudah bergelap pada jam 5.30 petang, kami tidak sempat menaiki menara di Jacob Ladder, berhampiran taman terbabit bagi melihat pemandangan sebahagian Perth. Menjadi kebiasaan penduduk membawa keluarga beriadah berbanding ke pusat beli-belah pada hujung minggu dan cuti umum.

Justeru tidak hairanlah jika terdapat beberapa taman besar di tengah bandar Perth seperti Victoria Park dan Kings Park And Botanical Garden dan aktiviti malam kami diisi dengan berkunjung ke Elizabeth Quay yang menjanjikan pemandangan cantik pada waktu malam dan pengunjung boleh menaiki bot bagi menyusuri sungai.

Di Elizabeth Quay terdapat Bell Tower yang juga menjadi simbol ikonik bandar Perth dan di dua lokasi itu menjadi tempat riadah penduduk serta antara lokasi wajib pengunjung selain terdapat kemudahan bas awam dan kereta api.

Hari ketiga di Perth, kami menaiki kereta api selama sejam dari Perth Underground ke stesen Mandurah sebelum menaiki bas ke Mandurah Ocean Marina, Fathom Turn, dan sebaik tiba, perasaan amat teruja apabila berpeluang melihat ikan lumba-lumba bermain di tepi jeti.

Pengunjung boleh menaiki bot atau sewa dan pandu sendiri bot dengan kadar bayaran serta jenis bot tertentu selain boleh berkunjung ke Reading Cinema, kedai cenderamata dan restoran yang terdapat di sekitarnya.

Selesai ke Mandurah, kami ke Watertown Brand Outlet dan bagi yang beragama Islam, terdapat surau di lokasi tumpuan umum dan tidak perlu risau jika rindu dengan masakan di Malaysia kerana terdapat beberapa restoran masakan Melayu milik rakyat Malaysia di sekitar bandar. Di restoran tempatan, usah lepaskan peluang merasa keenakan pastri ‘apple strudel’ Corica di Aberdeen Street, Northbridge.

Hari keempat paling dinanti kerana kami sudah menempah lawatan satu hari ke Pinnacles Dessert di Nambung National Park yang popular dengan kawasan berbatu keemasan, kawasan bukit pasir Lancellin dan Moore River iaitu lokasi pertemuan air tasik dan laut.

Namun untuk ke lokasi lawatan itu, pengunjung perlu menyewa kenderaan atau menempah lawatan menerusi pemandu pelancong berikutan ia terletak lebih dua jam perjalanan dari bandar yang menjanjikan pemandangan mengagumkan.

Pinnacles adalah antara keajaiban Australia apabila buminya kering dipenuhi hamparan batu menegak sungguh memukau mata walaupun keadaan cuaca di kawasan itu sedikit terik dan selepas puas bergambar, kami teruskan perjalanan ke Lancellin yang mengambil masa selama sejam bagi mencuba aktiviti luncur pasir.

Masuk adalah percuma, tetapi kadar sewa papan luncur dikenakan AU$10 (RM31.90) dan perlu diingatkan supaya pengunjung berhati-hati di kawasan berkenaan serta membawa cermin mata atau penutup mulut berikutan pasirnya yang sangat halus dan berterbangan setiap kali ditiup angin.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Al-Majid di Hepburn Ave, Padbury serta ke Hillary Boat Harbour bagi melihat panorama matahari terbenam sebelum pulang ke bandar dan dicadangkan supaya pengunjung membawa sendiri bekalan makanan supaya tidak menghabiskan masa bagi mencari restoran makanan halal.

Kami kemudian singgah ke pasar malam mat salih, Twilight Hawkers Market di pusat bandar yang bermula pada jam 4.30 petang hingga 9 malam setiap Jumaat antara Oktober hingga April sahaja dan di situ terdapat hidangan Malaysia, Singapura, Mexico, Salvador, Jerman, Maghribi dan lain-lain lagi.

Boleh juga bersiar-siar di Murray Street, Hay Street, London Court dan sekitarnya bagi melihat gaya hidup masyarakat di sini, namun perlu diberi perhatian terhadap tanda larangan merokok kerana setiap kesalahan akan dikenakan denda tinggi.

Hari terakhir berikutnya ke Freemantle dengan menaiki bas dan kesempatan itu kami berkunjung ke Penjara Fremantle seluas enam hektar terdiri daripada sel penjara, rumah gerbang, perimeter dinding, pondok dan terowong yang dibina menggunakan tenaga buruh banduan antara 1851 dan 1859.

Fremantle lebih meriah setiap Jumaat hingga Ahad, malah disarankan datang awal supaya pengunjung dapat bersiar-siar atau menikmati makanan laut terkenal, Kailis Fish Market Cafe atau membeli cenderamata di pasar E-Shed.

Tip sepanjang pengembaraan ini kami peroleh menerusi laman Facebook, Tips Cuti-cuti Perth kelolaan Azlin Ahmad Zabidin, yang sudah lama menetap di sana selepas berkahwin dengan warganegara Australia dan katanya, laman terbabit diwujudkan sebagai platform bagi bertukar pendapat, maklumat dan pengetahuan mengenai gaya hidup, tempat menarik, undang-undang dan etika di negara terbabit.

“Pada Mac lalu, akhbar tempatan melaporkan bahawa pengunjung paling ramai ke WA adalah terdiri daripada Malaysia diikuti Singapura, Amerika dan China,” katanya ketika dihubungi.

“Banyak lagi tempat boleh dilawati seperti Albany, Bell Rapid Park, John Forest , Kwinana Beach, Rockingham Coaster Road, Bunbury dan lain-lain destinasi yang menjadi buruan ‘kaki foto’ selain berpeluang mengutip buah di ladang buah-buahan,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 2:51am
d