ekspresi

Irina tak jemu makan laksa

Oleh Aniza Zainudin

Dua tahun pertama berada di Malaysia, wanita berasal dari Moscow, Russia ini yakin dia menemui lokasi terbaik untuk memulakan kehidupan berkeluarga.

Menyertai program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) antara keputusan tepat pernah dilakukan Irina Stevens dalam menentukan masa depannya.

Selain tertarik dengan kehidupan penduduk tempatan, wanita ini juga berpendapat Malaysia memiliki banyak destinasi tarikan pelancong.

1. Kali pertama anda menjejakkan kaki ke Malaysia dan tujuannya?

Tuntutan kerjaya membawa saya datang ke Malaysia buat kali pertama pada 2007.

Saya seronok menikmati kehidupan di Malaysia kerana tertarik dengan keindahan alam semula jadi, iklim yang sederhana serta masyarakat tempatan yang mesra.

Selepas tamat kontrak selama dua tahun, saya pulang ke Russia. Sebaik pulang, ibu saya jatuh sakit dan membuatkan tanggungjawab saya lebih berat serta masa padat.

Kemudian, saya datang lagi ke Malaysia pada 2010 dengan menyertai program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kerana saya berpendapat Malaysia negara terbaik untuk membina keluarga serta membesarkan anak.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum berada di sini?

Apa yang saya tahu Malaysia antara negara Asia Tenggara dan memiliki suhu panas sepanjang tahun.

Apabila saya menandatangani surat tawaran ke Malaysia, saya yakin dan optimis untuk meneroka serta menimba pengalaman baru di tempat asing.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Pastinya perbezaan gaya hidup dan mentaliti antara dua budaya memberi sedikit cabaran buat saya.

Kehidupan di Malaysia jauh lebih relaks (tenang) dan tidak terlalu tertekan.

Oleh kerana saya memiliki ramai teman yang juga orang tempatan, saya tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi.

4. Memori menarik sepanjang berada di Malaysia?

Saya sangat gemar melancong dan Malaysia memberi banyak pilihan destinasi percutian untuk saya menikmati keseronokan.

Banyak lokasi yang boleh dikunjungi di Malaysia dan semuanya sangat menarik.

Kedudukan Malaysia yang strategik membolehkan saya bercuti di pelbagai pulau di sini, selain terbang ke negara jiran.

5. Destinasi pilihan anda?

Pulau Tioman kerana kecantikan pantai dan kejernihan lautnya.

6. Sajian tempatan pilihan anda?

Laksa! Setiap hari saya menjamu laksa.

Saya juga menggemari rendang daging lembu dan ayam.

7. Malaysia pada mata anda?

Saya cintakan Malaysia dan banyak perkara baru ingin saya pelajari.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 12:19am
d