ekspresi

DRC rentap semangat

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Mencabar, tercabar dan dicabar. Itu tiga perkataan paling tepat bagi menggambarkan perlumbaan basikal lasak Dusun Rasau Challenge (DRC) 2017 yang berlangsung di Behrang Hulu, Perak minggu lalu.

Mana tidaknya, menerusi DRC, peserta tidak sekadar bergelut dengan keupayaan diri dalam aspek mental serta fizikal, sebaliknya terpaksa bersaing bersama peserta lain menerusi halangan yang cukup mencabar.

Boleh dikatakan, dalam perlumbaan ini, pengalaman saja tidak mencukupi, sebaliknya setiap pelumba perlu mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mengekalkan momentum selain perlu kekal fokus.

Dianjurkan oleh Perak Agro Corporation Sdn Bhd (PEGRO) iaitu anak syarikat milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dengan kerjasama X Camp Ipoh, DRC dipecahkan kepada dua konsep perlumbaan iaitu Jambori Cross-Country Marathon (XCM) sejauh 38 kilometer (km) dan perlumbaan Cross-Country Olympic (XCO) sejauh 6km.

Diadakan di Ladang Dusun Rasau Perdana, Behrang Hulu sebagai medan menguji kemampuan, perlumbaan dimulakan dengan kategori Jambori XCM dilepaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman sekitar jam 8 pagi.

Menerusi XCM, seramai 451 peserta bersaing menerusi enam kategori bagi menawan trek yang terdiri daripada laluan sempit, tanah merah, kerikil, berbukit, kawasan curam berbatu selain anak sungai yang cukup untuk mematahkan ego sesiapa saja.

Halangan mencabar di laluan berbukit itu mampu meleburkan semangat sesiapa saja yang kurang stamina, manakala sebaik menempuh kawasan anak sungai pilihan yang ada adalah dengan mengusung atau memikul basikal. Bagi yang tidak cukup ‘kental’, halangan itu pasti mengganggu rentak kayuhan seterusnya menjadikan mereka hilang fokus.

Sementara itu, dalam perlumbaan XCO, seramai 47 peserta berentap dalam empat kategori bagi membuktikan kemampuan dalam aspek kawalan dan pengendalian berbasikal.

Dalam perlumbaan XCO peserta perlu mencatatkan masa terpantas bagi menakluk trek sepanjang dua kilometer yang perlu diulang sebanyak tiga pusingan.

Menerusi perlumbaan ini, setiap trek memberikan tahap kesukaran berbeza terdiri daripada laluan mendaki serta menuruni berbukit yang curam, melintasi trek sempit di celah pokok, anak sungai dan laluan berbatu kerikil.

Biarpun jarak keseluruhan yang perlu ditempoh peserta adalah sehingga 6km, ia bukan sesuatu yang mudah berikutan halangan yang ada sudah cukup membuatkan peserta hilang semangat. Hanya yang bersemangat waja dan fokus saja mampu mempamerkan aksi terbaik.

Sementara itu, Pengarah Acara Dusun Rasau Challenge 2017, Amin Jay berkata, perlumbaan lasak yang julung kali diadakan itu bertujuan mempromosikan Ladang Dusun Rasau Perdana.

Katanya, keunikan muka bumi kawasan Ladang Dusun Rasau yang memberikan cabaran berbeza membolehkan peminat sukan basikal lasak menguji kemahiran masing-masing.

“Keunikan Ladang Dusun Rasau ini memang sesuai bagi peminat sukan basikal lasak selain aktiviti riadah kerana cabaran semula jadinya membolehkan peminat sukan berbasikal mengasah lagi teknik berbasikal mereka.

“Bagi saya, berkayuh secara santai atau berlumba, ia pasti akan memberikan pengalaman istimewa,” katanya.

Menurut Amin, selain itu penganjuran DRC juga sebagai langkah mempromosikan produk PEGRO yang dikeluarkan oleh PPPNP.

“Kami berharap perlumbaan basikal lasak ini akan dijadikan acara tahunan di Dusun Rasau dan sebagai cara memeriahkan lagi arena sukan basikal lasak tempatan,” katanya.

Dalam perlumbaan itu, sebanyak RM20,000 wang tunai ditawarkan selain cenderahati dan hadiah cabutan bertuah yang bernilai RM15,000.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 12:22am
d