ekspresi

Seminggu korek rahsia Ankara

Oleh Muhd Izawan Baharin

“Ankara ni pusat pentadbiran kerajaan, bukan macam Istanbul. Tak banyak tempat pelancongan menarik,” demikian jelas seorang rakan media kepada penulis ketika kami menunggu penerbangan ke Istanbul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Penulis bersama enam lagi rakan media Malaysia ke Ankara selama seminggu bagi membuat liputan sambutan ulang tahun pertama kejayaan menggagalkan rampasan kuasa di Turki pada 15 Julai 2016.

Ada benar kata-kata rakan itu kerana kita sememangnya sudah biasa dengan Istanbul yang terkenal dengan tempat bersejarah Empayar Uthmaniyah malah lawatan ke bandar raya itu juga kerap dimasukkan dalam pakej umrah. Dengan jadual tugasan padat sepanjang seminggu, penulis berasakan peluang untuk melihat tempat menarik di Ankara tipis.

Alhamdulillah, dengan bantuan seorang rakan media daripada stesen televisyen yang pernah ke Ankara sebelum ini, penulis berkesempatan singgah sebentar di kawasan bernama Hamamonu.

Bangunan di Hamamonu mengekalkan seni bina kurun ke-19 dan menjadi antara lokasi tumpuan berikutan terdapat sebuah istana lama di situ. Namun penulis terkilan kerana tiba lewat dan kawasan itu sudah ditutup sebelum jam 9 malam.

Kesibukan tugasan menghalang penulis daripada melawat lokasi menarik lain. Apatah lagi penulis ke sana atas urusan kerja, bukannya melancong tetapi tempoh seminggu banyak juga mengajar penulis mengenai karakter dan budaya masyarakat.

Di Ankara, untuk mencari makanan yang sesuai dengan selera Malaysia seperti masakan pedas memang sukar, situasi ini mungkin berbeza di Istanbul kerana restoran masakan Asia memang banyak.

Jadi di Ankara, boleh dikatakan setiap hari penulis dan rakan dijamu dengan salad, masakan berasaskan terung, sup labu atau roti sehingga membuat tekak ‘mengidam’ makanan pedas.

Peluang bertemu dengan Duta Besar Malaysia ke Turki, Abd Razak Abdul Wahab bukan saja membantu penulis mengenali karakter dan budaya masyarakat Turki sedikit sebanyak, malah mengubati rindu pada makanan Malaysia.

Mengenai makanan, Abd Razak mengakui restoran menyediakan makanan sesuai dengan selera orang Asia sukar ditemui di Ankara malah berkongsi pengalamannya ketika memenuhi jemputan iftar pada Ramadan lalu.

“Memang kerap saya dijamu makanan berasaskan terung dan salad, sampai saya boleh jangka apa hidangan berbuka puasa pada keesokannya,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia di Turki dianggarkan hanya seramai 280 orang dengan 265 adalah pelajar.

“Ramai daripada mereka berada di Istanbul dan pelajar kita di sini mengikuti jurusan pengajian seperti perubatan, pergigian, farmasi dan teknikal,” katanya.

Bagaimanapun jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke Turki terutama ke Istanbul memang ramai.

Abd Razak berkata, sepanjang 2016, seramai 50,000 rakyat Malaysia datang ke Turki dan sebahagian besar adalah jemaah umrah.

Sesuatu yang menarik perihal rakyat Turki, kata Abd Razak, ialah jati diri mereka yang tinggi dan kebanggaan terhadap pencapaian bangsa.

“Umpamanya bagi sektor pembinaan, mereka lebih suka mengambil tenaga kerja tempatan malah golongan ekspatriat juga agak kurang. Tenaga kerja profesional juga diambil daripada orang tempatan,” katanya.

Sepanjang seminggu kami di sana memang sibuk tetapi masakan yang disediakan isteri Abd Razak ketika kami dijemput ke kediaman beliau membuatkan kami lupa sedang bekerja. Akhirnya dapat juga merasa sambal belacan.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 2:01am
d