ekspresi

Indahnya pelbagai budaya

Oleh Aniza Zainudin

Kemajuan teknologi dan terkenal sebagai hab pendidikan tinggi dalam kalangan negara Asia, membuatkan Behrang Parhizkar berhijrah ke Malaysia, 13 tahun lalu.

Mesra disapa Hani, lelaki berusia 37 tahun ini mengakui minat mendalam terhadap dunia teknologi membawanya ke Malaysia yang jauh ke hadapan berbanding negara Islam lain.

Selain memiliki syarikat teknologi sendiri, Chamrun Interactive, Behrang juga berkhidmat sebagai pensyarah dan pakar jururunding dalam bidang berkenaan di tanah berdaulat ini.

1. Kali pertama anda mengunjungi Malaysia dan tujuannya ?

Kedatangan pertama saya ke Malaysia pada Februari 2004 kerana melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat. Sebaik memiliki ijazah, saya membuat keputusan untuk terus berada di sini kerana ingin menyambung pengajian pada peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia selama tiga tahun.

Kemudian diikuti ijazah kedoktoran di University of Nottingham, kampus Malaysia. Jadi, sepanjang saya berada di Malaysia, saya hanya pulang ke tanah air beberapa kali setahun untuk menziarahi keluarga di sana. Tambahan pula, saya mengahwini wanita tempatan dan memiliki dua anak.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum datang ke sini?

Tidak banyak yang saya ketahui mengenai Malaysia kerana ketiadaan akses. Apa yang saya tahu Malaysia adalah negara Islam, berteknologi maju, rakyatnya pelbagai bangsa, agama serta budaya tetapi mereka hidup dengan harmoni. Ini menjadi keindahan luar biasa buat Malaysia.

3. Cabaran sepanjang berada di Malaysia?

Cuaca menjadi satu cabaran buat saya kerana persekitaran panas dan kelembapan udara tinggi. Selain itu, makanan juga masalah bagi saya tetapi lama-kelamaan saya cuba menyesuaikan diri.

Makanan pertama yang saya cuba adalah nasi goreng biasa bersama ayam dan telur.

Di Malaysia juga, saya mula mempelajari bahasa Inggeris.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Bagi saya, ini satu pengalaman yang kelakar. Enam bulan pertama, saya dipelawa rakan kolej untuk pulang ke kampung halamannya di Kuantan, Pahang. Menaiki bas pada waktu malam, kami tiba pada waktu pagi dan terus dibawa ke warung untuk bersarapan.

Oleh kerana perjalanan jauh, perut saya juga kelaparan malah perkataan ‘sarapan’ itu membuatkan saya terbayang-bayang pelbagai makanan enak untuk dijamu. Sebaik tiba di restoran, saya dihidangkan satu bungkus kertas berwarna coklat dan apabila membukanya, saya terkejut.

Nasi lemak sememangnya budaya sarapan di sini tetapi di negara saya, ia terlalu berat untuk dijamu pada waktu pagi. Ia pengalaman yang saya tidak boleh lupakan.

Tambahan pula, ketika itu saya masih menyesuaikan diri, jadi ia agak janggal buat saya.

5. Lokasi bercuti pilihan anda?

Pulau Pangkor dan Port Dickson adalah destinasi percutian pilihan buat saya sekeluarga.

6. Makanan tempatan kegemaran anda?

Durian adalah kegemaran saya. Saya sukakan bau dan rasanya yang sangat enak. Selain itu, saya juga menggemari pelbagai jenis kari.

Teh ais limau adalah minuman kesukaan saya. Di Iran, kami hanya menikmati teh panas dan tidak pernah ada teh ais disajikan.

7. Malaysia pada mata anda?

Malaysia adalah negara cantik dengan rakyat tempatan yang peramah dan mesra. Sepanjang berada di sini, saya tidak pernah berdepan dengan apa jua masalah.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 3:13am
d