ekspresi

Melancong hanya dalam gambar

Oleh Agensi

Seorang jurugambar menyunting gambar ibunya untuk diletakkan dalam setiap gambar percutiannya selepas wanita itu terlalu uzur untuk bersama-samanya pergi bercuti.

Chub Nokkaew, 48, menyentuh hati pengguna media sosial selepas dia menggunakan perisian Photoshop untuk meletakkan ibunya yang tidak pernah keluar negara dalam gambar percutiannya.

Lelaki yang tinggal di Bangkok, Thailand itu berkata, dia menyesal kerana tidak pernah berpeluang membawa ibunya, Nang Lom, 85, bercuti.

Katanya, kesihatan ibunya yang tidak mengizinkan menyebabkan dia tidak boleh membawa ibunya berjalan jauh.

Ibunya yang mula kehilangan pendengaran dan penglihatan serta mengalami kesukaran untuk berjalan kini hanya terperuk di kampungnya di wilayah Phetchaburi.

Chub memberitahu, dia merindui ibunya setiap kali dia berada di luar negara menyebabkan dia menyunting gambar ibunya di lokasi menarik yang dilawatinya.

Suntingan yang dibuat oleh Chub sangat teliti sehingga kelihatan ibunya seperti sama-sama melawat lokasi yang dilawatinya dari Menara Eiffel di Paris hingga ke jambatan di Venice serta di Cape Town dan Tokyo.

Chub yang memiliki sebuah studio di Bangkok itu memberitahu, gambar itu dicipta untuk mengingatkan semua orang untuk membawa ibu mereka bercuti ketika Hari Ibu.

“Ketika muda dan ibu masih kuat bekerja serta mampu bercuti tetapi saya pula sibuk bekerja untuk membina kehidupan yang stabil untuk kesenangan kami berdua.

“Pada Hari Ibu, saya hanya membawanya ke kuil kerana itu saja yang kami mampu.

“Saya menyesal dan sedih setiap kali terkenang perkara itu. Saya berharap dapat memutar kembali masa dan mengubah semuanya supaya ibu boleh melihat tempat yang menarik ini,” katanya.

Ujarnya, setiap kali dia melancong ke luar negara pasti dia berasa sedih kerana ibunya tiada bersama untuk melihat tempat menarik yang dilawatinya.

“Saya berharap orang ramai yang melihat gambar ini akan merancang untuk membawa ibu mereka melancong ke tempat istimewa sebagai menghargai jasanya,” jelasnya.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 1:24am
d