ekspresi

Semangat merdeka!

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Atas semangat patriotik serta menyemarakkan sambutan kemerdekaan ke-60 negara, seramai 300 peminat sukan basikal bergabung dalam program Kayuhan Merdeka 60 Kembera Desa Anak Tani (Kayuhan Merdeka) di Melaka, baru-baru ini.

Anjuran Merlimau Riders Club (MRC) dengan kerjasama Portfolia Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka, Majlis Perbandaran Jasin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kayuhan membabitkan jelajah kawasan pesisir pantai Melaka sejauh 77 kilometer (km) bermula di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai dan berakhir di RTC Kuala Linggi.

Berkonsepkan kayuhan santai, program secara terbuka itu menyaksikan pelbagai peminat sukan berbasikal seperti Mountain Bike (MTB),

Road Bike (RB), basikal lipat dan Touring Bike bergabung bagi menzahirkan sokongan.

Pelepasan kayuhan di RTC Sungai Rambai dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman hanya bermula dengan 200 peserta, namun sehingga penamat, jumlah itu bertambah menjadi 300 orang.

Ini kerana 100 lagi peserta hanya mula ikut serta apabila kumpulan jelajah berbasikal itu tiba di destinasi tertentu yang dilalui.

Antara laluan itu membabitkan Sungai Rambai, Merlimau, Umbai, Teluk Mas, Alai, Padang Temu, Bandar Hilir, Klebang, Dataran 1Malaysia, Pantai Puteri, Sungai Udang, Masjid Tanah, Pengkalan Balak dan Kuala Linggi.

Menariknya, kayuhan sepanjang laluan pesisir pantai menyajikan pemandangan menarik itu turut memberikan pengalaman kayuhan yang berbekas di hati peserta.

Ini kerana sepanjang kayuhan, peserta turut mengibarkan Jalur Gemilang sekali gus menyerlahkan matlamat utama mereka dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara.

Melihat Jalur Gemilang sudah mampu menyuntik kembali semangat patriotik dalam kalangan yang melihatnya, cukup dikatakan semangat individu membawanya berkobar-kobar hinggakan terlupa penat berkayuh sejauh 77km sebaik kehadiran mereka dilambai penduduk tempatan.

Malah, semangat peserta untuk membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang kayuhan dapat dilihat apabila mereka tidak menghiraukan hujan lebat yang melanda sebaik jelajah memasuki kawasan Merlimau sehingga ke Pantai Klebang.

Biarpun lencun kebasahan, kaki mereka terus berkayuh bagi memastikan jelajah sehingga ke RTC Kuala Linggi terlaksana.

Urus setia Kayuhan Merdeka Junaidi Atir berkata, penganjuran kayuhan itu adalah ilham Hasan sebagai usaha bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan negara ke-60.

Katanya, menerusi kayuhan itu, Jalur Gemilang dikibarkan serta diserahkan kepada ADUN Kuala Linggi, Datuk Ar Ismail Othman.

“Biarpun jarak 77km cukup jauh bagi program kayuhan santai, namun semangat peserta wajar dipuji.

“Ini dapat dibuktikan apabila jumlah peserta yang ikut berkayuh bagi mengibarkan Jalur Gemilang semakin bertambah di sepanjang jelajah dari Sungai Rambai hingga ke Kuala Linggi,” katanya.

Menurut Junaidi, selain menyemarak bulan kemerdekaan, penganjuran jelajah berbasikal itu diharap dapat menyuntik kembali semangat patriotik dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sebenarnya, harapan kita agar sepanjang jelajah sejauh 77km ini, ia dapat menyuntik semangat patriotik masyarakat tempatan yang dilihat pada masa kini semakin pudar.

“Jika dilihat, tidak ramai masyarakat meraikan bulan kemerdekaan negera dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Jadi, kita harap kayuhan ini secara tidak langsung menyuntik kembali semangat mereka,” katanya.

Biarpun bermula sekitar jam 9 pagi, matlamat kayuhan berjaya disempurnakan apabila semua peserta selamat tiba di RTC Kuala Linggi sekitar jam 1 tengahari.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 2:34am
d