ekspresi

Pelbagai menu ketam

Oleh Zaitie Satibi

Ketam adalah antara makanan laut yang sangat digemari ramai, apatah lagi spesies bercangkerang ini boleh divariasikan menjadi lauk yang enak untuk dimakan bersama nasi, mi, pasta, sup atau diratah begitu saja.

Bagi penggemar ketam, anda boleh mencuba pelbagai sajian berasaskan ketam di Crabby Crab, Seksyen 7, Shah Alam. Antara menu ketam yang meletup seperti burger ketam kulit lembut, sup ketam dan bihun goreng ketam.

Pemiliknya, Mohd Ramdhanny­ Musram berkata, keistimewaan ketam ia boleh dimasak dalam pelbagai jenis masakan dan disesuaikan dengan apa jua jenis hidangan. Justeru penggemar makanan laut pasti tidak akan menolak sebarang sajian ketam kerana tidak mahu terlepas merasai isinya yang lembut dan enak.

“Saya sendiri penggemar ketam, namun kesukaran mendapatkan variasi hidangan ketam di bawah satu bumbung mencetuskan ilham kepada saya untuk membuka restoran yang menawarkan pelbagai menu berasaskan ketam.

“Bagi menyediakan pelbagai sajian ketam, saya menggunakan lebih 40 kilogram ketam seminggu yang dihantar segar oleh pembekal tempatan. Selain burger ketam kulit lembut yang dihidang bersama kentang goreng, sup ketam yang memiliki rasa manis hasil rebusan 40 ekor ketam antara sajian yang mendapat permintaan ting­gi pelanggan,” katanya.

Sementara itu hidangan lain yang boleh dinikmati ialah piza ketam, pasta ketam, ketam telur masin, ketam mentega bawang putih, ketam masak cili, ketam bersama sos istimewa gasolina dan anak ketam (baby crab) bersama sos istimewa.

Ketam yang lazim digunakan dalam masakan adalah ketam nipah, ketam bunga dan ketam berkulit lembut.

Restoran berkenaan juga menghidangkan pelbagai makanan laut lain seperti ikan, udang, sotong, kerang dan kepah yang dijual mengikut saiz hidangan kecil, sederhana dan besar.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 12:34am
d