ekspresi

Kolinio diplomat semula jadi

Oleh Aniza Zainudin

Mewakili kerajaan Fiji di Malaysia menjadi tanggungjawab besar buat Kolinio Gata Takali dalam memastikan hubungan baik antara dua kerajaan berjalan lancar.

Sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Fiji pada 10 Oktober lalu, Kolinio bersama pasukannya berjaya menghasilkan dokumentari mengenai pembabitan tentera Fiji di Tanah Melayu, sekali gus menggambarkan ikatan persahabatan baik antara dua kerajaan.

Menyifatkan berjauhan daripada keluarga di tanah air sebagai satu-satunya kekurangan di Malaysia, selebihnya beliau menikmati kehidupan baru yang menyeronokkan di Malaysia.

1. Kali pertama anda menjejakkan kaki ke Malaysia dan tujuannya?

Saya berada di Malaysia sejak Julai tahun lalu, menggalas amanat negara di Malaysia sebagai Pesuruhjaya Tinggi Fiji di Malaysia. Sebelum ini, saya bertugas dalam sektor pendidikan di Fiji hampir 32 tahun, termasuk peranan sebagai guru, pengetua, pegawai pendidikan divisyen dan bersara dengan jawatan terakhir Pengarah Pendidikan Sekolah Rendah, Kementerian Pendidikan, Warisan dan Seni Fiji pada Mac 2016.

Dua bulan selepas itu, saya ditawarkan jawatan sekarang, seterusnya ditugaskan di Malaysia. Kedatangan saya turut disertai isteri, manakala empat anak dan tujuh cucu masih di Fiji.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum ke sini?

Saya mengenali Malaysia menerusi subjek Geografi dan Sejarah ketika di bangku persekolahan terutama mengenai getah dan perlombongan bijih timah. Kerjasama antara Malaysia dan Fiji sudah lama kerana askar Fiji pernah berkhidmat di Batu Pahat, Johor ketika zaman darurat dari 1952 hingga 1956.

Jadi, sedikit sebanyak saya mengetahui sejarah antara dua negara ini. Justeru, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Fiji ke-47 pada 10 Oktober, kami turut menyediakan dokumentari bertajuk, ‘Back to Batu Pahat’ menceritakan sejarah pembabitan askar Fiji di Tanah Melayu ketika itu.

Selain itu, Malaysia turut menaja dan menganjurkan program pembangunan khas sama ada membabitkan cukai, asas tani dan sebagainya buat pegawai kerajaan Fiji setiap tahun.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Bagi saya, guru adalah pegawai diplomatik semula jadi. Ini kerana guru perlu berurusan dengan pelbagai pihak sama ada pelajar, ibu bapa, pihak pengurusan sekolah dan juga kementerian.

Bayangkan, Fiji memiliki lebih 300 pulau dilengkapi 732 sekolah rendah dan 1,046 prasekolah, justeru pengalaman dalam sektor pendidikan banyak membantu saya dalam tugasan hari ini.

Tidak banyak cabaran buat saya sepanjang berada di sini kecuali perasaan rindu terhadap keluarga di tanah air, namun kecanggihan dunia teknologi dapat mendekatkan kami.

Oleh kerana cuaca panas di Malaysia hampir sama seperti Fiji, tidak sukar untuk saya menyesuaikan diri. Begitu juga dengan makanan di sini.

Menariknya, saya boleh menikmati buah-buahan tropika sepanjang tahun berbanding musim tertentu di Fiji.

4. Pengalaman menarik yang anda ingin kongsikan?

Kebanyakan penduduk di sini mesra dan mudah untuk saya menyesuaikan diri. Mungkin permulaannya sukar, tetapi jika kita lebih terbuka, mereka boleh menerima dan menghormati kita.

5. Destinasi tempatan pilihan anda?

Perak, Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan paling dekat di hati, Sibu, Sarawak.

6. Sajian tempatan kegemaran anda?

Saya suka cara rakyat Malaysia menyediakan sajian ikan salmon panggang. Ia sangat unik dan menepati selera saya.

7. Malaysia pada mata anda?

Kehidupan saya di Malaysia sangat menyeronokkan kecuali kerinduan saya terhadap keluarga di sana.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 3:44am
d