ekspresi

Aktiviti ceria jelajah Langkawi

Oleh Hamzah Osman

Keindahan pantai dan kehijauan alam sekitar menjadi aset penting sehingga berjaya menarik 270 peserta menyertai Program Kayuhan Fun & Ride Jelajah Langkawi sejauh 70 kilometer, baru-baru ini.

Malah, keseluruhan peserta menyertai program julung kali anjuran bersama Badan Kebajikan dan Sukan Pembantu Perubatan serta Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah ini berjaya tiba di garisan penamat.

Bermula di Dataran Pekan Rabu, Kuah, tepat jam 7.30 pagi, peserta yang kebanyakan­nya datang dari seluruh Semenanjung dilepaskan Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mohd Lutpiyudin Azidin. Turut hadir, Pengerusi Program, Dr Muhammad Shauqi Abdul Kadir.

Antara laluan yang ditempuh peserta ialah Jalan Kuah-Padang Matsirat dan Jalan Pantai Chenang-Kuala Melaka, seterusnya semua peserta terpaksa memerah keringat mendaki laluan berbukit sejauh enam kilometer sebelum tiba di Telaga Harbour Park (THP).

Dari THP peserta terus berkonvoi menuju Kompleks Kraf di Teluk Yu, diikuti Galeria Perdana di Kampung Kilim, Taman Hidupan Liar Langkawi di Kampung Belanga Pechah sebelum menamatkan kayuhan di Dataran Lagenda di Kuah pada jam 12 tengah hari.

Muhammad Shauqi berkata, selain membantu mempromosi tempat menarik di Langkawi, program itu juga bermatlamat membudayakan cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat umur.

“Rata-rata peserta berpuas hati dapat meluang­kan masa berkayuh beramai-ramai, sekali gus menjadi pendekatan terbaik untuk merapatkan silaturrahim. Malah, kami berharap penganjuran kayuhan ini dapat meng­galakkan orang ramai membabitkan diri serta meneruskan aktiviti menjurus gaya hidup sihat,” katanya.

Ketua Unit Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan di HSB itu juga berkata, pihaknya berterima kasih atas penyertaan peminat dari luar Langkawi yang datang bagi menjayakan kayuhan itu.

“Kami berbanyak-banyak terima kasih atas sokongan peserta termasuk dari Kelantan, Melaka, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang yang membuktikan aktiviti ini mampu me­nyatukan masyarakat. Ini kerana aktiviti ini melahirkan insan yang bukan saja sihat pada aspek fizikal, malah sihat dan cergas pada aspek mental,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan program itu, Mohd Lutpiyudin berharap program kayuhan itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai acara tahunan.

Katanya, hasrat itu tidak mustahil terlaksana berikutan sambutan peserta amat menggalakkan seiring objektif amalan gaya hidup sihat.

Peserta daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Riders, Siti Asura Abd Ghani berkata, penyertaannya dalam program ini timbul secara spontan selepas mengambil kira pendapat ahli kelab.

“Saya bersama 20 ahli MBMB Riders berpuas hati apabila kayuhan ini dibuat secara santai tanpa mengambil kira siapa pemenang bagi membolehkan peserta ‘menikmati’ pemandangan indah sekitar Langkawi. Penganjur juga mengadakan sesi cabutan bertuah dengan menawarkan hadiah berbentuk hampar dan ia memberi kepuasan kepada kami,” katanya.

Rumazi Othman 43, dari Pulau Pinang, berkata walaupun bukan pertandingan, semua peserta memberi komitmen dan saingan sengit untuk menyudahkan kayuhan sejauh 70 kilometer sehingga garisan penamat.

“Laluan kayuhan sememangnya mencabar kerana selain menyusuri pantai, kami juga melalui kawasan berbukit, namun semua peserta dapat melepasi cabaran itu dengan baik dan berjaya sampai ke garisan penamat dengan selamat,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 3:47am
d