ekspresi

Teruja ke lokasi Bajrangi Bhaijaan

Oleh Hidir Ali Razali

Mengaitkan filem Bollywood, seringkali kita disajikan dengan panorama indah di pergunungan hinggakan jiwa meruntun dialun nyanyi dan tari. Sukar menindakkan cuaca sejuk serta salji menutupi pergunungan di Jammu dan Kashmir, antara lokasi menarik pilihan sutradara filem Hindi terutamanya di kawasan Baisaran di negeri Pahalgam dan di Sonamarg.

Lebih sinonim disebut ‘mini Switzerland’ oleh masyarakat setempat, Baisaran menjadi destinasi pertama penulis jelajahi sebaik menjejak kaki ke Pahalgam. Kunjungan ke sana adalah perancangan isteri (Khairunnisa Mohd Zaini) sempena ulang tahun penulis ke-34 tahun, dan turut disertai sahabat kami pasangan suami isteri, Raja Yusri Raja Yunus dan Zarina Che Bakar.

Cuaca di Baisaran sememangnya sejuk, untuk ke kawasan pergunungan itu, kami menaiki kuda yang dipantau oleh pemandu pelancong. Selesai Baisaran kami pulang ke hotel untuk berehat dan keesokannya kami dibawa ke Aru Valley iaitu kawasan pergunungan persis Baisaran, malah air sungai seolah-olah mengiringi perjalanan kami.

Selepas Aru Valley, kami ke Betab Valley iaitu kawasan pergunungan yang mempunyai muara, penulis diberitahu oleh masyarakat tempatan, di sinilah aktor Datuk Shah Rukh Khan menjalani penggambaran filem Jab Tak Hai Jaan yang diterbitkan pada 2012. Hari ketiga kami bertolak semula dari Pahalgam ke Srinagar dan menginap di atas bot di Dal Lake.

Dal Lake adalah satu destinasi sangat popular di Kashmir, di mana setiap pelancong wajib dibawa melawat dan bermalam di atas bot yang dipanggil Houseboat di Dal Lake. Pada petang harinya kami dibawa melawat ke Mughal Garden dan Peri Mahal iaitu sebuah kubu lama zaman pemerintahan Monghul yang kini dipenuhi dengan taman bunga nan indah.

Sesudah itu kami dibawa melawat ke masjid popular di Srinagar iaitu Hazratbal Shrine. Masjid ini dipercayai oleh masyarakat di sini turun-temurun menyimpan sehelai rambut junjungan besar nabi kita, Muhammad Rasulullah SAW yang pernah dimiliki oleh seorang ulama yang dianggap sebagai wali Allah pada zaman dahulu.

Pada keesokan harinya, kami dibawa pula ke satu kawasan pergunungan bersalji yang dikenali sebagai Sonamarg. Sejujurnya inilah lokasi yang dinanti penulis untuk dilawati. Di sinilah lokasi penggambaran filem Hindi ‘pecah panggung’ berjudul Bajrangi Bhaijaan arahan Kabir Khan, lakonan Salman Khan, Kareena Kapoor serta pelakon kanak-kanak, Harshaali Malhotra (Munni).

Melalui cerita masyarakat setempat, pelakon serta tenaga produksi filem Bajrangi Bhaijaan berkampung di kawasan ini selama tiga bulan bagi menjayakan babak akhir filem berkenaan, iaitu adegan Bajrangi (Salman Khan) sebagai warga negara India menyelamatkan seorang Munni, budak perempuan dari Pakistan. Pergunungan bersalji itu dikenali sebagai Thajiwas Glacier.

Penulis bersama isteri serta dua rakan mengatur langkah ke India pada Jumaat, jam 7 malam 25 Ogos dengan penerbangan Air Asia X dari KLIA2, Sepang, Selangor, langsung ke Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi, India, mengambil masa lima jam perjalanan. Tiba di New Delhi pada jam 10 malam dan waktu di India lewat dua jam dari negara kita.

Sebaik tiba, kami disambut dengan kalungan bunga oleh ejen kepada agensi pelancongan yang kami gunakan. Disebabkan penerbangan kami ke Kashmir pada jam 6 pagi, terpaksalah menunggu selama enam jam di lapangan terbang itu. Kami berempat mencari satu sudut untuk melepaskan penat sementara menunggu penerbangan seterusnya.

Dengan beralaskan beg barangan untuk dijadikan bantal sambil berbaring, ternyata fenomena begitu biasa kerana dalam kalangan warga tempatan tidur beralaskan lantai adalah lumrah di lapangan terbang itu. Dari New Delhi ke Kashmir menaiki pesawat mengambil masa sejam. Disebabkan penerbangan kami pada jam 6 pagi, hari sudah mulai cerah.

Istimewanya jam 7 pagi, sudah memasuki ruang udara Kashmir dan kebetulan penulis duduk di tepi tingkap dapatlah melihat keindahan pergunungan yang cantik sukar diterjemah dengan kata-kata. Tiba sahaja di lapangan terbang Srinagar, kami dijemput oleh ejen agensi pelancongan di sana. Di sini kawalan sangat ketat ketika melalui laluan imigresen.

Anggota tentera ditugaskan untuk memeriksa semua pelancong yang tiba. Dari lapangan terbang Srinagar kami terus bertolak dengan menaiki van ke tempat kami menginap di Pahalgam yang memakan masa empat jam perjalanan darat, dengan pemandangan indah. Tiba di hotel kami disambut oleh pengurus hotel berkenaan. Di Kashmir hampir 99% beragama Islam, jadi tiada masalah untuk kami solat dan berinteraksi dengan lebih mesra. Soal makanan juga tidak perlu risau kerana semua tukang masak beragama Islam.

Sesudah merasai pengalaman berharga dengan panorama indah di Baisaran dan Sonamag, sehari menjelang Hari Kebangsaan negara kita, kami bertolak semula ke New Delhi dari Srinagar. Sebaik tiba lapangan terbang New Delhi, kami dibawa oleh ejen kami di sana ke Agra menaiki van. Perjalanan dari New Delhi ke Agra memakan masa selama enam jam.

Inilah buat kali pertamanya dalam hidup penulis dan isteri merai Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos di rantau orang. Mujurlah pemandu pelancong kami mempunyai ‘potable wifi’ jadi tidaklah berasa bosan di dalam perjalanan dan sempat jugalah saya memuat naik ucapan selamat menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-60 buat Malaysia di Facebook.

Kami tiba di Taj Hotel pada jam 3 pagi. Kami diberitahu oleh pemandu pelancong supaya keluar awal kerana ingin ke Taj Mahal pada waktu pagi sewaktu matahari naik. Ini kerana suasana Taj Mahal sangat indah pada waktu itu. Seawal jam 6 pagi, penulis sudah bangun dan menunggu di lobi hotel. Di sini jam 6 pagi sudah terang seperti jam 8 pagi waktu Malaysia.

Apabila sampai sahaja di Taj Mahal, terpegun penulis dengan keindahannya. Struktur senibinanya sangat teliti dan kemas. Di dalam Taj Mahal ini tidak mempunyai lampu, tetapi apabila kawasan ruang dalamnya terkena cahaya matahari ianya akan mengeluarkan cahaya pantulan. Namun cahaya pantulan itu bukanlah cahaya terang semata-mata, tetapi cahaya berwarna-warni. Ini kerana di dalam batu marmar ruangan dalam Taj Mahal itu telah tertanam batu kristal yang berwarna biru, hijau, merah dan oren.

Inilah pengalaman dan pengetahuan baru bagi penulis dan sememangnya patut dan wajarlah Taj Mahal dikenali sebagai antara tujuh benda ajaib di dunia. Di ruang bawah Taj Mahal terletaknya tempat persemadian Shah Jehan dan isteri kesayangannya Mumtaz Mahal.

Penulis menjadi tumpuan ketika itu kerana mengenakan baju Melayu lengkap bersamping dan songkok. Penulis berpakaian sedemikian kerana pada hari itulah umat Islam di tanah air tercinta sedang bertakbir menyambut Aidiladha. Umat Islam di India merainya lewat sehari. Dapat jugalah menghabiskan kenangan berbaju Melayu di Taj Mahal dengan bangganya.

Selepas ke Taj Mahal pada keesokan harinya pula penulis ke Jaipur. Di Jaipur, kami melawat ke Amir Fort di Amber Hill sebuah kubu perang zaman pemerintahan Akhbar datuk kepada Shah Jehan. Sejujurnya bagi penulis, negara India ini sangat boleh dilawati. Banyak lokasi menarik dan bersejarah lebih-lebih lagi Taj Mahal.

Bagi penggemar filem Hindi seperti penulis, Kashmir adalah destinasinya. Namun andai mahu dibandingkan Malaysia dengan India, negara kita jauh ke depan berbanding India terutama daripada segi kebersihan, apa pun tak kenal maka tak cinta bagi penulis India terutama Kashmir adalah destinasi menarik untuk dikunjungi.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 4:43am
d