ekspresi

Bukit Zig Zag paling getir

Oleh Nurul Husna Mahmud

Pendakian curam serta selekoh tajam membuatkan satu pos semak pada Kejohanan Batu Pahat MTB Jamboree Johor iaitu bukit Zig Zag paling diingati peserta.

Kemudian cabaran diteruskan dengan lumpur berselut di laluan tanah gambut pada kilometer (km) ke-30 menambahkan lagi tahap kesukaran mereka yang menyertai perlumbaan berkenaan.

Dalam cabaran merentasi jarak 40km membabitkan lokasi sekitar kawasan Sri Medan di Batu Pahat itu, bukan saja disertai peserta sekitar Johor malah dari Singapura.

Menurut Pengarah Batu Pahat MTB Jamboree 2017, Mariam Kamal, penganjuran pertama ini mendapat sambutan sungguh luar dugaan apabila terpaksa membuka penyertaan tambahan pada saat akhir mendekati tarikh perlumbaan terbabit.

“Sebenarnya kami hanya membuka penyertaan 500 pelumba tetapi terdapat permintaan terutama dalam kalangan kelab basikal sekitar Johor untuk mengambil bahagian, kami selitkan lagi 200 tempat.

“Bagi kelab mengambil bahagian, Batu Pahat sendiri mempunyai komuniti serta kelab basikal. Mereka banyak memberi kerjasama terutama kelab RNR yang menghantar 66 ahli bagi memeriahkan perlumbaan ini.

“Selain itu dengan sembilan kategori berasingan menawarkan hadiah, semestinya kami jangka terdapat permintaan daripada peminat sukan basikal lasak untuk menyertai acara ini.

“Antara sembilan kategori dipertandingkan ialah Lelaki Junior (20 tahun ke bawah), Lelaki Terbuka (21 hingga 35 tahun), Lelaki Master (36 hingga 45 tahun), Lelaki Veteren (46 - 54 tahun), Wanita Terbuka (35 tahun ke bawah), Super Mama (36 tahun ke atas), Fatbike, Heavyweight (90kg ke atas) dan Otai Berbisa (55 tahun ke atas),” katanya.

Kata Mariam, pemilihan Batu Pahat sebagai lokasi penganjuran julung kali pihaknya kerana terdapat permintaan bagi komuniti basikal lasak sekitar bandar berkenaan.

“Pasukan saya memilih Batu Pahat kerana sudah lama tiada penganjuran acara basikal di sini. Setidak-tidaknya peminat basikal dapat mencuba trek baru.

“Selain itu saya selaku ahli kelab basikal berharap dapat meramaikan komuniti ini terutamanya wanita 36 tahun dan ke atas mengenai sukan ini selain menekankan pentingnya mengamalkan hidup aktif demi kesihatan diri,” katanya.

Dalam acara bermula dari Pasar Minggu Parit Warijo menyaksikan 70 peratus membabitkan laluan ‘off-road’ dan selebihnya jalan raya.

Pemenang kategori Wanita Terbuka, Nurkhairunnisatul Aina Mohd Fadzli berkata, dia berpuas hati dengan trek perlumbaan kerana menguji kelajuan dan kemahiran teknikal peserta.

“Ketika perlumbaan hujan lebat membuatkan trek lebih licin berbanding biasa. Mujurlah ketika trek landai saya kuatkan kayuhan membolehkan saya mendahului pesaing kuat.

“Mengenai persiapan pula, disebabkan saya ketika ini masih menuntut di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor dalam bidang Diploma Sains Sukan, saya kena bijak bahagikan masa.

“Namun saya cuba terapkan pembelajaran dalam bidang sukan baik dari segi disiplin mahupun pemakanan antaranya dengan bantuan pengambilan khasiat tambahan diambil selain rutin latihan konsisten membolehkan stamina kekal sepanjang kayuhan,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 4:57am
d