ekspresi

Kembara guna caravan

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Siapa sangka, bermula sekadar van pasar malam, pasangan suami isteri Rodiah Rahmat dan Salleh Ismail sanggup membuat ‘transformasi’ menjadikannya sebuah caravan untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Semua disebabkan minat mendalam terhadap aktiviti luar mereka sekeluarga termasuk empat anaknya. Mula serius sejak dua tahun lalu, kini caravan mereka dilengkapi dapur, kelengkapan mandian, set televisyen, tempat duduk ditukar kepada kerusi baring dan sebagainya.

Menurut Rodiah, suami serta empat anaknya banyak memberi dorongan terhadap hobi barunya. Asalnya hanya suami serta anak-anak yang meminati aktiviti berkenaan.

“Lama-kelamaan saya turut ‘berjangkit’ dengan aktiviti mereka. Setakat ini kami hanya mempunyai satu caravan, namun kami merancang untuk membeli sebuah caravan lebih selesa tahun depan. Setakat ini kami banyak membuat aktiviti dalam Malaysia sahaja.

“Itu belum menjelajah seluruh negara. Buat masa ini kami banyak beriadah di kawasan pantai dan sungai.

“Antara tempat sudah dijelajah ialah Pantai Kemasik, Terengganu; Sungai Congkak, Ulu Langat; Janda Baik; Kuala Linggi; Port Dickson dan tahun depan kami merancang untuk ke Thailand,” katanya.

Mengenai perbezaan caravan dengan van biasa, Rodiah berkata, caravan mempunyai hampir semua kelengkapan asas seperti di dalam rumah termasuk tandas.

“Ia juga boleh diibarat­kan sebagai ‘hotel bergerak’. Manakala van pula hanya kenderaan biasa dan memiliki keluasan terhad apatah lagi jika memiliki keluarga besar,” katanya.

Meskipun masih baru di Malaysia, caravan mempunyai peminat tersendiri khususnya kepada mereka yang ‘kaki jalan’.

Rodiah menjelaskan, antara faktor menyebabkan caravan kurang diminati di negara ini ialah cuaca serta tiada tempat meletak kenderaan caravan serta kos yang mahal.

“Berbeza di New Zealand, negara itu menyediakan tempat parkir khas untuk caravan. Mereka turut menyediakan tapak di kawasan rekreasi khusus untuk caravan serta kemudahan lain.

“Disebabkan kos yang mahal juga membuat­kan kami menjadi ‘kreatif’ dengan mereka sendiri caravan kami.

“Selain itu, aktiviti begini juga mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kami terutama selepas seharian bekerja dan anak-anak pula bersekolah.

“Waktu inilah digunakan sebaik-baiknya untuk bertukar pendapat dan bercerita antara kami sekeluarga,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 12:25am
d