ekspresi

Simpan sejarah Mormon

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Setiap kali membaca kisah pengembara wanita yang bercuti solo, timbul rasa kagum. Sering tertanya bagaimana mereka boleh nekad berkelana sendirian dan berpuas hati melakar kegembiraan pada laman sosial. Mungkin kerana penulis ini bermulut becok dan belum akrab dengan dunia maya itu, berasakan perlunya ada teman untuk meluahkan keterujaan melihat keindahan ciptaan Tuhan.

Peluang kecil untuk ‘berjalan’ sendiri ini terbuka tatkala menghadiri Konvensyen Nu Skin LIVE! 2017 di Salt Lake City, Utah di Amerika Syarikat. Walaupun pergi dalam kumpulan kecil, tetapi kerana minat berbeza, beberapa kali kami berpecah untuk menghayati bandar ini mengikut cara sendiri.

Salt Lake City, yang sering dipanggil Salt Lake atau SLC adalah ibu negeri dan bandar terpadat di Utah. Ia juga menjadi pusat kepada bandar metropolitan yang terdiri daripada SLC, Ogden dan Provo dengan anggaran penduduk hampir 1.2 juta (2014).

Sebagai ibu negeri yang didiami kira-kira 200,000 penduduk, SLC adalah bandar yang tenang dan damai. Menurut Kelly, pemandu kami selama empat hari di sana, antara berita besar di situ adalah kisah penjejak gunung yang sesat. Kes penjenayah yang melepaskan tembakan rambang pun ada, tetapi sangat jarang berlaku.

Jadi, tidak hairanlah jika ia menjadi pilihan khususnya golongan muda yang mahu lari daripada kesesakan bandar besar. Menurut kajian US News mengenai 100 bandar terbaik di Amerika Syarikat berdasarkan kualiti hidup dan peluang pekerjaan, SLC menduduki tempat ke-10 teratas sebagai bandar pilihan untuk didiami dan ke-88 sebagai lokasi persaraan.

SLC diasaskan oleh Brigham Young bersama pengikut Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (Mormon) pada 1847. Nama asal SLC ialah Great Salt Lake City kerana kedudukannya yang hampir dengan tasik garam, Great Salt Lake. Namun perkataan ‘great’ kemudiannya digugurkan secara rasmi pada 1868.

Bagi si kaki membeli, SLC mungkin bukan tempat yang dapat memenuhi selera anda. Namun buat pengembara santai yang mahu berehat atau pencinta aktiviti salji, inilah lokasi untuk dimasukkan ke dalam diari.

Negeri pergunungan ini memang indah, apatah lagi ketika kunjungan, musim luruh sudah sampai ke pertengahan dan daun mula bertukar warna. Tercapai juga impian untuk berada di tengah keajaiban yang selama ini dilihat menerusi gambar atau televisyen.

Suhu di SLC yang terletak di kaki Pergunungan Wasatch juga secara umumnya lebih rendah berbanding bandar lain di Amerika Syarikat. Pada musim panas, penduduk di sini suka bersantai di Liberty Park, taman seluas 80 ekar yang memberi ruang kepada pelbagai aktiviti. Masuk musim sejuk, SLC akan menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong dari negeri lain untuk mengasah kemahiran meluncur salji. Pada musim lain, bandar ini biasanya disibukkan dengan konvensyen atau konsert berskala besar.

BAWANG TULIP SEDEKAH

Antara mercu tanda utama SLC ialah Temple Square iaitu kompleks seluas empat hektar, yang menempatkan Salt Lake Temple (gereja Mormon), Salt Lake Tabernacle (ruang sembahyang penganut Mormon), Dewan Perhimpunan SLC, Monuman Seagull dan dua pusat pelawat.

Penulis juga memanfaatkan peluang bersiar-siar dalam kompleks yang berhias cantik ini. Leka juga memerhatikan seni bina lama yang dijaga rapi. Kompleks ini juga menjadi lokasi penduduk setempat berkumpul pada hujung minggu dan melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Dalam sibuk merakam gambar kenangan, terpandang bawang besar dan kecil bertabur di ruang yang biasanya ditanam pokok bunga. Hairan juga kerana di sebelahnya ada tanda nama pertubuhan atau badan tertentu.

Tidak sah kalau mulut wartawan ini tidak bertanya. Barulah tahu, rupa-rupanya bawang itu adalah benih pokok tulip yang disumbangkan oleh persatuan dan sekolah di SLC. Semua pihak mengambil bahagian dalam mencantikkan bandar dengan cara sendiri, supaya beban kewangan dapat dikongsi bersama. Alangkah baik jika perkara ini boleh dipraktikkan di tempat kita.

Di seberang jalan, adalah deretan kompleks perniagaan dan antara yang paling menarik dan terbaru ialah City Creek Centre. Seronok juga mencuci mata di gedung beli-belah yang moden dan berkonsep terbuka ini. Ia mempunyai laluan atas yang menghubungkan pang­sapuri, bangunan pejabat dan kedai jenama tempatan mahupun antarabangsa.

Sesuai dengan gaya hidup penduduknya yang santai, gedung ini dilengkapi taman dan ‘sungai’ kecil untuk pengunjung melepaskan penat. Sempat juga penulis duduk berangan di sofa empuk di jejantas berdinding kaca yang menghubungkan dua bangunan City Creek Centre. Kalau mahu meneruskan perjalanan membeli-belah boleh ke gedung Gateway atau mengambil teksi ke Factory Outlet Store bagi mendapatkan tawaran lebih baik.

Bagaimanapun, penulis lebih suka ‘hanyut’ di luar dan ketika inilah terjumpa bongkah jubin yang menceritakan sejarah ringkas mengenai SLC. Idea unik yang mesra pelancong untuk mengenali bandar itu dengan cepat.

KERETA API DAN CIK GUFFY

Pagi terakhir sebelum berangkat pulang, penulis sekali lagi mengambil peluang menikmati udara sejuk dan meninjau bandar SLC yang masih sepi. Tidak sukar untuk meneroka bandar ini kerana pembangunannya dirancang mengikut sistem grid bermula dari Gereja Mormon. Ia memudahkan pengunjung kerana jarak dikira berdasarkan blok bangunan dan kebarangkalian untuk ‘tersesat’ amat rendah.

Satu perkara menarik, Utah Transit Authority menyediakan laluan percuma di pusat bandar bagi bas dan kereta api bandar (TRAX). Di luar zon percuma ini, barulah dikenakan bayaran sebanyak AS$2.50 bagi satu perjalanan. Oleh kerana hotel dan lokasi tugasan terletak dalam zon percuma, memang puaslah penulis turun naik TRAX!

Pada pagi terakhir itu, sengaja penulis mengambil TRAX hingga ke stesen terakhir semata-mata mahu melihat pemandangan luar bandar. Dalam perjalanan pergi balik hampir dua jam (dengan tambang AS$5), macam-macam yang dapat diperhatikan. Banjaran gunung dengan puncak bersalut salji dan ragam penumpang pada pagi yang dingin.

Namun, paling istimewa adalah pertemuan dengan Cik Guffy yang duduk berdepan dengan penulis. Ramah dia bersembang dengan mana-mana penumpang yang menyapanya.

Apabila penulis meminta izin untuk merakam gambarnya, dia segera memberikan aksi menarik dan mula bercerita mengenai dirinya.

Katanya, sudah lama dia menjadi ‘duta’ sukarela SLC dengan memakai kostum watak Disney seperti Mickey Mouse sebelum beralih kepada Guffy.

Menurutnya, sebenarnya dia adalah individu autistik, yang sukar untuk bersosial dengan orang lain. Namun kerana mahu berdikari, dia berhijrah ke SLC untuk memulakan hidup baru termasuklah menjadi duta sukarela.

“Apabila menyarung­kan kostum Mickey atau Guffy, saya jadi orang lain. Anehnya di sebalik kostum ini, saya boleh bercampur dengan masyarakat tanpa masalah. Saya tahu, inilah cara terbaik untuk saya berbakti kepada masyarakat dengan menjadi sukarelawan penghibur dalam mana-mana majlis di SLC.

“Kerjaya sebagai sukarelawan kostum itu membawa saya ke merata tempat dan sehingga mendapat penghargaan daripada pengurusan Disneyland Tokyo. Hari ini saya menjadi Guffy untuk menghiburkan kanak-kanak dalam majlis anjuran Universiti Utah,” katanya sambil menghulurkan salam perpisahan.

Sebelum balik, sempat juga penulis singgah di Great Salt Lake untuk merasai sendiri angin masin dari tasik seluas 4,400 kilometer persegi. Terjumpa anak patung penguin yang comel dan ia mengingatkan penulis kepada Cik Guffy. Terasa malu apabila membandingkan diri penulis dengan Cik Guffy. Dalam kekurangannya, sudah banyak bakti yang dicurahkan kepada masyarakat sedangkan sumbangan penulis boleh dikira dengan jari. Itupun jika ada!

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 2:32pm
d