ekspresi

Tauke jamin kualiti sajian

Oleh Nurul Husna Mahmud

Buat pengunjung yang singgah menjamu selera di Restoran A&L berhampiran Klang, Selangor, pasti rambang mata dengan pilihan menunya.

Bayangkan pilihan lauk untuk nasi campur saja ada lebih 20 jenis selain makanan sampingan seperti laksa dan bihun sup bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Tambah mengujakan peminat hidangan kampung seperti asam pedas ikan pari, gulai tempoyak ikan patin mahupun gulai kawah, boleh memenuhi selera mereka dengan hidangan berkenaan seawal jam 10.30 pagi.

Tidak perlu khuatir dengan kualiti rasa dan persembahan, pemilik restoran berkenaan iaitu pasangan suami isteri, Mohd Zawawi Yusuf dan isteri, Laila Sani Abdullah sangat teliti dalam penyediaan semua hidangan dengan memilih sendiri bahan mentah di pasar.

Menurut Zawawi, restorannya dibuka seawal jam 7 pagi dengan menu sarapan merangkumi hidangan berat hinggalah kepada kudapan.

“Biasanya restoran kami menjadi pilihan pekerja sekitar kawasan ini untuk bersarapan kerana ada menu popular nasi lemak, mi dan bihun goreng selain kuih-muih tradisional.

“Kemudian diikuti waktu puncak pula iaitu tengah hari membabitkan hidangan nasi campur. Pelanggan kami bukan saja dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India turut datang makan di sini.

“Mereka menyukai hidangan seperti kari kepala ikan, gulai kawah, asam pedas dan tempoyak ikan patin. Istimewa untuk ikan patin, kami dapatkan bekalan dari Temerloh, Pahang. Tidak lupa hidangan set ayam penyet juga sangat popular dalam kalangan pelanggan.

“Ingin saya kongsikan mengenai hidangan di Restoran A&L ialah semua lauk-pauk di sini disediakan sendiri oleh isteri saya sejak empat tahun lalu. Malah rutin saya pula pergi ke pasar untuk memilih dan membeli bahan mentah.

“Kami hanya mahukan yang terbaik buat pelanggan yang datang kerana ada antara mereka setia dengan kami sejak enam tahun lalu,” katanya.

Sementara itu Laila berkata, sungguh puas apabila melihat pelanggan gembira menikmati air tangannya.

“Pada awal pembukaan restoran, tugas menyediakan lauk-pauk nasi campur semuanya dilakukan adik ipar dan apabila mereka membuat keputusan membuka restoran sendiri dua tahun lalu, saya memutuskan untuk mengambil alih tugas memasak sehingga sekarang.

“Dulu saya hanya tahu menyediakan ayam masak merah tetapi lama-kelamaan saya mula belajar dengan adik ipar penyediaan lauk lain seperti asam pedas dan gulai tempoyak. Sekarang bukan dua atau tiga sebaliknya saya mahir menyediakan lebih 20 lauk untuk sajian tengah hari.

“Hidangan gulai kawah pula ialah resipi ibu mentua. Saya belajar banyak petua memasak daging dengannya. Hidangan ini tidak selalu dapat dinikmati kerana bergantung pada harga dan stok daging. Jadi mungkin atas faktor ini ia menjadi antara menu paling laris setiap kali kami hidangkan di restoran,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 1:46am
d