ekspresi

Hemah berbelanja kenangan berharga

Oleh Nor Aziah Sharif

Augsburg di Bavaria adalah bandar ketiga terbesar dan antara tertua Jerman yang masih mengekal ciri tradisional dalam kemodenan kerana negara itu memang terulung dalam sektor kejuruteraan.

Kepelbagaian seni bina Augsburg termasuk bangunan pentadbiran dan perniagaan berciri lama sejak kurun ke-11 seperti Dewan Perbandaran Augsburger dengan Dewan Golden yang menempatkan dinasti perbankan terkaya di Jerman dan kompleks perumahan awam.

Inilah yang penulis perhatikan dalam kembara santai di bandar Augsburg. Penulis menyusuri jalan di keliling rumah tradisional Jerman berciri Eropah dengan tali air atau anak sungai mengelilingi rumah atau pangsapuri penduduk. Ketenangan kawasan perumahan ini senada dengan cuaca dingin dan suhu rendah pada musim luruh.

Ketika lawatan penulis ke bandar ini, Augsburg mengalami musim luruh dengan cuaca mendung dan suhu rendah yang menjadikan keadaan sangat sejuk. Kehidupan harian warganya masih utuh dengan gaya Eropah. Penduduk Jerman sangat menjaga penampilan mereka dalam berpakaian daripada kasut hingga pemilihan busana seharian sama ada lelaki mahupun perempuan.

Walaupun ada rumah moden, mereka masih mengekalkan bahan binaan lama. Bangunan bergabung dengan persekitaran yang bersih dan udara nyaman menjadikan bandar di Jerman sebagai destinasi indah kepada pengunjung.

Bagaimanapun bandar ini bukan pilihan warga asing untuk bekerja dan bermastautin kecuali pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di universiti kerana Augsburg terkenal sebagai bandar akademik.

Antara lokasi wajib dikunjungi setiap kali meninjau negara orang adalah pasar menjual pelbagai hasil pertanian tempatan. Susun atur buah-buahan pelbagai warna sangat menarik dan geram melihat kesegaran hasil ladang tempatan pada harga murah.

Begitu juga sayuran pelbagai warna yang sangat segar apabila dinikmati. Sebagai orang yang mengamalkan pengambilan sayur mentah dan penggemar buah-buahan, situasi ini sangat dihargai. Setentunya buah dan sayur yang segar lebih banyak khasiatnya.

Penulis sekeluarga sejak dulu memang menitikberatkan soal pengambilan sayur dan buah demi kesihatan. Kesihatan yang baik dan tubuh cergas menjadi aset. Kekayaan harta dan wang ringgit lebih bermakna jika dilengkapi dengan aset kesihatan.

Ketika suami dan anak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid di Augsburg, penulis menunggu mereka dengan menikmati minuman petang di kedai kek terkenal di bandar ini. Entah macam mana penulis tidak lagi mengambil kira perbezaan matawang negara yang dilawati dan membandingkannya dengan nilai ringgit.

Pada kunjungan kali ini penulis sudah mampu melepaskan diri daripada terlalu terikat pada tukaran nilai wang kerana andai asyik memikirkannya, semua benda akan terasa mahal. Sejak awal perancangan lagi, kami sekeluarga memang buat persediaan mental bahawa semuanya dalam kiraan euro dan jangan dibandingkan dengan ringgit.

Maka, barulah hidangan kek enak bersama kopi atau coklat panas pada petang itu boleh dinikmati dengan tenang.

Bagaimanapun bagi penulis, makanan di restoran di sini tidaklah mahal kerana apabila dikira balik, kebanyakan makanan di sini dijual pada harga lebih kurang dengan restoran di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur.

Konsep minimalis

Berbeza dengan percutian sebelum ini, kali ini penulis tidak lagi teruja untuk berbeli-belah. Sejak terbuka dengan gaya hidup minimalis, penulis tidak lagi mahu menghimpun barangan yang dibeli kerana mahukan kenangan.

Kali ini perbelanjaan lebih tertumpu pada perkara yang boleh memberi pengalaman, mencuba makanan tempatan dan menikmati keindahan tempat yang dilawati di Jerman. Satu-satunya barang yang membuatkan penulis teruja ialah gunting dapur. Ya, gunting untuk kegunaan di dapur bagi mengambil alih tugas gunting sedia ada yang sudah uzur dan tumpul.

Hari ini, Augsburg bukan saja destinasi popular untuk pelancong bandar dan kebudayaan, juga jadi tumpuan sebagai lokasi pameran perniagaan dan persidangan serta bandar universiti.

Jiran landskap hijau kepada bandar Bavaria-Swabia ke arah Munich ialah Landkreis sebagai daerah pentadbiran Aichach-Friedberg manakala ke arah Stuggart sebagai daerah pentadbiran Augsburg.

Selepas puas berjalan di bandar ini pada siang hari, penulis dan keluarga menghadiri majlis graduasi anak keempat, Muhammad Affandi yang tamat belajar di Hochschule Augsburg selama tiga setengah tahun.

Bagi meraikan kejayaan Affandi, kami (penulis, suami dan anak bongsu, Muhammad Ashraf, pelajar tahun satu di Mannheim Hoschule, Jerman berserta dua rakan universiti Affandi) hadir bagi memeriahkan majlis graduasi yang diadakan buat kali ketiga bagi graduan mereka. Sebelum ini universiti yang tidak mengenakan yuran pengajian hanya mengadakan majlis jamuan makan malam.

Majlis graduasi ini diadakan di Kongress Am Park Augsburg. Tidak ada bayaran dikenakan kepada graduan walaupun majlis graduasi berlangsung di dewan konsert yang dibina dengan binaan konkrit pada 1970-an.

Sepanjang berada dalam majlis graduasi itu, penulis tersenyum. Pertama, syukur kerana anak menamatkan pengajian dan kedua, seronok berada dalam majlis dengan konsep minimalis, sesuai dengan tema perjalanan dan percutian penulis sekeluarga!

Dewan ini menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara penting di Augsburg seperti pertunjukan seni, fesyen, konsert orkestra, persembahan nyanyian dan pameran seni kreatif. Dewan ini menyediakan 1,500 ruang kecil untuk pelbagai aktiviti.

Selesai upacara penting tujuan pemergian ke Jerman, Affandi membawa kami ke bandar pergunungan Alps seperti di Austria, Itali dan Switzerland serta tidak ketinggalan Perancis.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 9:16am
d