ekspresi

Saingan aneka tunggangan

Oleh Nurul Husna Mahmud

Penganjuran Out For Cycle Ride Endurance (OFCR) Vol.2 yang berlangsung baru-baru ini menggamit penyertaan lebih 300 peminat sukan berbasikal dari seluruh negara yang memeriahkan Dataran Taman Perdagangan Parit Yaani seawal jam 6 pagi.

Selain seluruh Johor, peserta datang dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan dan Singapura yang memeriahkan program kelima anjuran Kelab Berbasikal Xtreme Bikerz.

Menurut presiden kelab berbasikal Xtreme Bikerz, Nor Azlan Kimpol, penganjuran OFCR acara kedua selepas penganjuran pada 2015 diselang-selikan dengan penganjuran MTB Jamboree.

Cabaran kayuhan kali ini sejauh 101.6 kilometer melalui daerah Batu Pahat bermula dari Parit Yaani melalui laluan Parit Khalid, Sri Bengkal, Bindu, Tongkang Pecah, Parit Jalil, Parit Sulong, Kangkar Senangar, Parit Jayus, Sri Medan, Parit Lapis Simis dan berakhir semula di Parit Yaani.

Pelepasan peserta disempurnakan Ketua Balai Polis Yong Peng, Inspektor Parman Patta, Ahli Majlis Daerah Yong Peng, Jailani Awi dan Ketua Kampung Abd Razak Sulaiman sekitar jam 7.45 pagi. Serentak dengan itu tetamu kehormat turut merasmikan program sampingan antaranya senamrobik, 10,000 langkah dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

Menurut Azlan, istimewanya acara kali ini adalah kepelbagaian kategori atau jenis basikal yang menyertai penganjuran kali ini.

“Program kayuhan ini amat dinantikan peserta terutama masyarakat sekitar yang inginkan konsep cabaran kayuhan berbeza menggabungkan pelbagai penunggang basikal. Belum pernah ada mana-mana program kayuhan membabitkan jarak lebih 100 km dengan penyertaan hampir semua jenis basikal

“Antara yang boleh dilihat ialah basikal jalan (roadbike), basikal gunung (MTB), basikal lipat, tandem (dua penunggang dalam satu basikal) dan ‘touring’ (basikal melancong) pada kelajuan dan jarak yang sama.

“Meskipun ada perubahan lokasi program dua bulan sebelum tarikh penganjuran, ia tidak memberi masalah kerana setiap peserta dimaklumkan mengenai perubahan itu,” katanya.

Penaung Xtreme Bikerz, Rahmad Mohd Salleh berkata, program yang dirancang setiap tahun ini sentiasa memberikan kelainan dari segi konsep dan penganjuran.

Sejak ditubuhkan pada 2010, Xtreme Bikerz aktif menganjurkan pelbagai acara termasuk Save Palestine Charity Ride Jamboree 2013, Xtreme Bikerx Xtrail Jamboree 2014, OFCR Vol.1 2015, Kelip-Kelip Nite Ride 2016 dan yang terkini OFCR Vol.2 2017.

“Komitmen kru OFCR Vol.2 dalam kalangan ahli kelab yang berpengalaman menjadikan program kayuhan berjalan lancar dan mendapat pujian semua peserta.

“Kami berharap acara ini menyumbang kepada ekonomi setempat selain menaikkan nama Parit Yaani sebagai destinasi program berbasikal dalam kalendar tahunan.

“Kesudian penaja memeriahkan program di setiap hentian termasuk Redbull Malaysia yang setia membekalkan minuman tenaga kepada peserta menambahkan kemeriahan suasana sepanjang laluan.

“Kami merancang penganjuran lebih besar untuk OFCR Vol.3 tahun depan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk agensi seperti Kementerian Belia dan Sukan, Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 3:08am
d