ekspresi

Tram diyakini lebih 100 tahun

Oleh Aniza Zainudin

Berusia 113 tahun, sistem pengangkutan klasik, tram di Hong Kong masih lagi beroperasi secara aktif, malah antara pengangkutan awam popular yang terus digunakan penduduk tempatan dan ternyata ia berjaya menarik perhatian pelancong.

Menyusuri persisiran pantai utara Hong Kong, dari stesen Kennedy Town ke Shau Kei Wan dengan landasan tambahan sepanjang tiga kilometer melalui Happy Valley, tram adalah pilihan terbaik untuk menerokai keunikan Hong Kong daripada perspektif berbeza.

Dalam kunjungan kali kedua ke Hong Kong atas tanggungjawab kerja, penulis tidak melepaskan peluang untuk mencuba keunikan sistem pengangkutan awam tertua dan termurah di kota beli-belah popular dunia ini.

Hanya bermodalkan tambang HK$2.30 (kira-kira RM1.20) bagi satu perjalanan tak kira jarak perhentian, pengembara bajet tentu tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kepesatan Hong Kong dengan kos jauh lebih rendah berbanding Mass Rapid Transit (MRT).

Daripada jauh, kenderaan yang ‘berbadan’ langsing ini berjaya menarik mata pengunjung dengan lorekan cat pelbagai warna yang memaparkan iklan di seluruh badannya.

Belum sempat jemu memerhatikan rentak kehidupan di hentian Percival Street, tram yang menuju ke stesen Pottinger Street sudah tiba kerana ia beroperasi dengan kadar kekerapan yang tinggi.

Berbeza dengan bas, sistem tram menjadikan bahagian belakang sebagai pintu masuk, manakala pintu keluar pula terletak di bahagian hadapan bersebelahan pemandu, sekali gus memudahkan proses pembayaran tambang ketika turun di stesen yang dituju.

Memiliki landasan sendiri merintangi jalan raya, tram dua tingkat ini masih mengekalkan ciri tradisional termasuk saiz tingkap besar, ruang tempat duduk terhad di tingkat bawah dan tanpa fasiliti pendingin hawa.

Sebaik menaiki tram berwarna hijau gelap, pantas kaki memanjat tangga sempit menuju ke tingkat atas untuk menyaksikan keunikan struktur binaan dan kesibukan masyarakat tempatan dengan aktiviti harian mereka lebih jelas.

Meskipun mengekalkan kerusi sandar berasaskan papan dengan jendela bercermin besar di bahagian depan, belakang dan tepi, sistem pengangkutan tram memiliki nilai sentimental bagi warga Hong Kong, malah ia tersenarai antara tram legenda oleh majalah National Geographic.

Ingin mencipta keseronokan tanpa gangguan, penulis sengaja memilih perjalanan menaiki tram pada luar waktu puncak bagi mengelak kesesakan dalam kenderaan ikonik berkenaan.

Menerusi cara ini, penulis memiliki kebebasan untuk bertukar-tukar tempat duduk sambil melihat sisi berbeza pulau Hong Kong. Bergerak pada kelajuan 20 kilometer sejam, pengangkutan awam berusia ini tidak sesuai bagi mereka yang mengejar waktu.

Meskipun begitu, pihak pengendali, HK Tramways, mempunyai perancangan untuk menjadikan operasi perjalanan lebih cepat, lancar dan selamat bagi memenuhi keperluan penduduk yang berjumlah 1.3 juta orang.

Eskalator luar terpanjang

Berhasrat melihat satu lagi tarikan pelancongan Hong Kong, The Central - Mid-Levels Escalator, penulis berhenti di stesen Pottinger Street dan berjalan secara santai kira-kira 10 minit untuk tiba ke lokasi berkenaan.

Sistem eskalator luar tertutup terpanjang di dunia ini beroperasi sejak Oktober 1993 dengan kos binaan HK$245 juta terdiri daripada 20 eskalator dan tiga laluan bergerak (travelator).

Mempunyai panjang lebih 800 meter dan laluan mendaki 135 meter, kemudahan yang dinamakan ‘Hillside Escalator Link’ ini dibina bagi mengurangkan kesesakan trafik di antara daerah Central dan Mid-Levels.

Pembukaan kemudahan ini memberi kelebihan kepada penduduk tempatan dan digunakan lebih 55,000 orang setiap hari. Lebih menarik, sistem eskalator ini berjaya menghidupkan semula kawasan yang menjadi laluannya.

Sebagai daerah pasar tertua Hong Kong, Central menjadi tumpuan pelancong kerana ia terkenal dengan pelbagai barangan antik dan dipenuhi bangunan bersejarah. Laluan bermula dari Queen’s Road dan berakhir di Conduit Road memerlukan masa antara 20 hingga 25 minit perjalanan lengkap.

Sistem eskalator luar tertutup hanya bergerak satu hala pada masa tertentu, iaitu laluan menuruni bukit Mid-Levels menuju ke Central bermula seawal jam 6 pagi hingga 10 pagi bersesuaian dengan keperluan penduduk keluar bekerja. Laluan mendaki bukit dari Central ke Mid-Levels pula bermula pada jam 10 pagi hingga ke tengah malam.

Penulis juga tidak melepaskan peluang mencuba The Central - Mid Levels Escalator menuju ke arah Mid-Levels tetapi hanya separuh jalan dan perlu turun menggunakan tangga bersebelahan sistem eskalator luar tertutup itu.

Untuk pulang ke Causeway Bay, sekali lagi penulis memilih untuk menaiki tram di stesen

Bank Street terletak berdekatan Statue Square, kira-kira jam 1 tengah hari. Kali ini, penulis perlu berasak-asak di dalam tram yang padat dengan penumpang, majoritinya kakitangan kerajaan dan swasta yang keluar untuk makan tengah hari.

Itulah peluang merasai sendiri cebisan kecil daripada corak kehidupan masyarakat maju yang mementingkan kesihatan ini.

Situasi ini membuktikan sistem pengangkutan awam tertua di pulau itu masih diperlukan, malah kedudukannya di tengah kota raya dilihat strategik dan dapat mengurangkan kos sara hidup yang sememangnya membebankan bagi rakyat tempatan.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 3:18am
d