ekspresi

Setiap hidangan tepati standard

Oleh Aniza Zainudin

Menjejakkan kaki ke ruang penyediaan makanan bagi syarikat penerbangan terbaik dunia, antarabangsa, tempatan, pesawat peribadi mahupun sewaan dan menyaksikan proses operasi penyajian kira-kira 2,000 menu sehari antara pengalaman unik dan boleh dikatakan satu dalam sejuta.

Bersifat eksklusif, perkhidmatan penyajian makanan dalam pesawat terutama komersial jarang sekali diperkatakan media massa, malah sukar untuk mengenal pasti siapakah yang bertanggungjawab memperkasakan lagi industri pengangkutan udara awam berkenaan.

Sempena menyambut ulang tahun ke-30 jenama Brahim’s dan tahun ke-15 membekalkan perkhidmatan penyajian makanan bagi syarikat penerbangan, kini buat kali pertama Brahim’s Holding Berhad membuka pintu dapur penerbangan Brahim’s SATS Food Services Sdn Bhd (BSFS) kepada tatapan umum.

Berdiri teguh dalam industri makanan tanah air dan diiktiraf sebagai penyaji perkhidmatan katering syarikat penerbangan berstatus 100 peratus halal terbesar dunia, BSFS tidak hanya menyediakan hidangan buat penumpang Malaysia Airlines, bahkan 31 lagi syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Qatar Airways, All Nippon Airways (ANA), Emirates dan Cathay Pacific Airways yang merupakan empat daripada lima syarikat penerbangan terbaik di dunia (Kajian Skytrex 2017).

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata, keupayaan BSFS memenuhi kriteria dan standard tinggi empat jenama gergasi dunia berkenaan menjadi testimoni terbaik dalam mengukuhkan lagi kredibiliti syarikat.

“Beroperasi 24 jam, setiap hari kami menyediakan kira-kira 45,000 hingga 50,000 set makanan bagi 270 penerbangan. Kapasiti maksimum dapur kami boleh mengeluarkan lebih 60,000 set makanan.

“Sebagai pembekal khidmat utama dalam penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, saya yakin status halal makanan bagi 32 syarikat penerbangan yang memulakan penerbangan dari Malaysia adalah terjamin,” katanya ketika merasmikan lawatan media ke dapur penerbangan BSFS, di Kompleks MAS, Sepang, baru-baru ini.

Sebelum memasuki ruang penyediaan makanan yang terbahagi kepada tiga komponen utama, dapur panas (hot kitchen), dapur sejuk (cold kitchen) dan dapur pastri serta bakeri, kumpulan media dibahagi kepada dua, iaitu kumpulan wartawan diiringi Cef Zainuddin Md Isa, manakala kumpulan jurugambar diiringi Cef Eksekutif, Cef Graeme Laws Pullen.

Kumpulan wartawan dengan pakaian khas berwarna biru terang, sarung kasut, penutup kepala dan mulut diikuti rutin membasuh tangan untuk mengurangkan risiko bakteria, memulakan eksplorasi lawatan sambil belajar di dapur pastri dan bakeri. Media didedahkan kepada fasiliti digunakan bagi menyimpan bahan mentah seperti tepung gandum di ruang silo yang memuatkan kira-kira 17.5 tan.

Menitikberatkan kualiti makanan dihasilkan, Cef Zainuddin mengakui ‘senjata’ seperti penyepit makanan, sudu, garfu dan pisau yang tersemat di bahu dan pinggulnya digunakan untuk melakukan pemeriksaan kawalan mutu makanan secara rawak.

Beralih ke dapur sejuk, media turut menyaksikan bagaimana kakitangan BSFS menyediakan sajian pencuci mulut, sarapan, buahan dan sayuran dengan tangkas dan penuh dedikasi.

Setiap hidangan seharusnya menepati standard ditetapkan, malah dikatakan sekiranya terdapat kesilapan, mereka harus melakukan semula prosedur penyediaan bagi sajian berkenaan dan ini termaktub bagi semua menu dikeluarkan dari dapur moden berukuran 59,000 meter persegi itu.

Paparan digital di ruang ini menunjukkan pengeluaran makanan BSFS bagi tarikh 10 Januari 2018 adalah sebanyak 49,228 set. Biasanya bilangan meningkat pada setiap musim perayaan.

Menurut Cef Zainuddin, semua set makanan bagi sesebuah penerbangan akan disediakan dalam tempoh 16 jam sebelum pesawat menuju ke destinasi ditetapkan.

Bagi memastikan kesegaran dan kualiti makanan terjamin, proses pendinginan makanan dilakukan bagi semua jenis menu sama ada masakan panas mahupun sejuk dengan suhu antara sifar hingga 4.5 darjah Celsius.

Proses ini dilakukan empat jam sebelum penerbangan dan ia mampu mengekalkan suhu 10 darjah Celsius apabila ia berada dalam pesawat.

Bagi dapur panas pula, BSFS turut menyediakan variasi sajian mengikut keperluan dan permintaan pelanggan. Antaranya, makanan Barat, Asia, sajian vegetarian, makanan Cina dan sebagainya.

Berkongsi menu paling popular di BSFS, Cef Zainuddin mengakui hidangan nasi lemak paling banyak mendapat permintaan sekurang-kurangnya 6,000 unit sehari, diikuti sajian berasaskan daging lembu dan kambing.

Mengulas proses pembaharuan menu, Cef Zainuddin berkata, nisbah penukaran menu baru bergantung pada syarikat penerbangan kerana ada pelanggan yang memperkenalkan menu baru setiap minggu, secara bulanan mahupun tiga atau empat bulan sekali.

Cef Zainuddin berkata, BSFS memberikan perkhidmatan terbaik setanding dengan keupayaan dan kredibiliti sedia ada, justeru usaha untuk mengekalkan serta mengukuhkan kualiti dan standard menjadi tanggungjawab besar kepada mereka semua.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 3:15am
d