ekspresi

Terpesona Awan Nano

Oleh Nordin Mokhtar

“Bila terkenang masa lalu rasa terharu, segalanya masih kekal dalam kenangan.”

Bertemu semula selepas beberapa tahun terpisah dan bersembang mengenang kenakalan zaman remaja membuatkan kami mengambil kata sepakat untuk mengimbau kembali zaman permotoran pada awal 1980-an dengan mengembara ke Port Dickson, Negeri Sembilan, beberapa bulan lalu.

Rupanya konvoi pertama itu membuatkan kami ketagih dan kali ini semua sepakat meneruskan minat dengan mengadakan ekspedisi Kuala Lumpur-Betong, di Thailand.

Hujan malam yang berterusan dan tidak menentu mengiringi perjalanan kami. Jam 10 malam berkumpul di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Rawang, Selangor. Pelepasan peserta dilakukan secara berperingkat mengikut kategori motosikal. Bagi motosikal 150cc ke bawah, mereka memulakan perjalanan pada jam 11 malam, diikuti motosikal 250cc ke atas pula jam 12 tengah malam, diiringi sebuah van dan dua pacuan empat roda.

Keseluruhan 22 motosikal berkumpul semula di stesen minyak selepas tol di Kuala Kangsar, Perak.

Pada jam 4 pagi perjalanan diteruskan menuju ke pekan Gerik untuk berhenti minum seketika, namun hujan lebat masih membasahi bumi. Lebih kurang jam 6.30 pagi kami tiba di Pengkalan Hulu untuk menunaikan solat Subuh dan mengisi minyak motosikal sebelum memasuki sempadan Thailand.

Tatkala kumpulan kami tiba di imigresen di pintu masuk ke Betong pada jam 7.30 pagi, wakil dari sekolah Tahfiz Salam Darul Quran, Kampung Salam sudah sedia menanti.

Sebenarnya perjalanan kami bukan sekadar untuk berseronok atau melepaskan rindu berkonvoi semata-mata tapi mahu menjadi pengembara masyarakat yang cuba memberikan khidmat walaupun secara kecil-kecilan.

Dalam pertemuan itu, kami menyerahkan barangan sumbangan seperti kasut, baju, al-Quran, sejadah dan kutipan derma kilat dalam kalangan rombongan dari Kelab Medan Tuanku, Kuala Lumpur yang diketuai Solan dan Badrulhisham kepada pihak masjid di Kampung Malar.

Selesai majlis penyerahan kami menuju ke Hotel Garden House untuk berehat. Aktiviti santai kumpulan diteruskan dengan menyewa skuter dengan bayaran RM30 sehari. Ya, kami menyewa skuter supaya motosikal yang diperah tenaganya dari Kuala Lumpur boleh ‘berehat’ sebelum dikerah kembali untuk perjalanan seterusnya.

Puas meronda melihat pemandangan pekan Betong, kami menuju ke restoran atas bukit milik anak jati Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Din yang tinggal di Shah Alam.

Pokok 1,000 tahun

Hari kedua, selepas solat Subuh, semua bersedia untuk menuju ke Bukit Awan, yang turut dikenali sebagai Awan Nano atau I-yerweng.

Memang cantik kerana itu kali pertama penulis dan sebahagian rakan menyaksikan panorama lapisan awan pertama. Lebih seronok, dalam cuaca pagi yang sejuk, kami disajikan dengan sup panas segar di lereng bukit sambil melihat awan nano.

Lokasi seterusnya terletak 70 kilometer dari situ, untuk melawat empangan terbesar di sini yang dikatakan keluasannya hingga ke Sungai Siput.

Dalam perjalanan balik ke hotel kami singgah pula di gerai tempatan yang menjual durian. Rugi jika tidak menikmati raja buah itu.

Bagi pengembara bermotosikal dalam kumpulan seperti kami, cabaran yang dihadapi ialah ketika mahu mengisi minyak motosikal.

Di sini, stesen minyak boleh dibilang dengan jari dan minyak petrol dijual dalam botol. Cuak juga hati hendak menggunakannya.

Selain itu, sepanjang perjalanan dari hotel ke Bukit Awan Nano dan empangan dikawal pihak tentera yang bersenjata lengkap. Satu pemandangan yang asing dan sesekali mendebarkan dada.

Walaupun letih dan mencabar, namun semangat untuk mengetahui sejarah sesebuah negara diteruskan lagi. Singgah seketika di kolam air panas dalam perjalanan ke destinasi Terowong Piyamit.

Satu ketika dulu terowong ini pernah digunakan Partai Komunis Malaya (PKM) sebelum tamat Perang Dunia Kedua. ada enam terowong semuanya dan terowong pertama sejauh 78 meter.

Di sekitar kawasan luar terdapat satu pokok yang dipanggil Piyamit Millennium Tree dikatakan ber usia lebih 1,000 tahun dan masih terpelihara dengan baik.

Pokok itu dikatakan sebesar sebuah rumah. Seharian di sini ahli rombongan pulang ke hotel dan tiba jam 7.30 malam. Tidak sukar untuk mendapatkan makanan halal di sini kerana banyak restoran yang menyediakannya.

Dalam perjalanan pulang, sebaik tiba di Kuala Kangsar, motosikal seorang peserta mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda dengan pacuan empat roda.

Perjalanan pergi dan balik kami diiringi hujan rahmat yang lebat. Meskipun tiba di Kuala Lumpur pada jam 11 malam dalam keadaan basah lencun, tapi semuanya tersenyum riang.

Matlamat kami adalah menimba pengalaman dan mengeratkan lagi hubungan yang kian lama terputus sambil beriadah. Ia pengalaman manis dan berharga terutama bagi penulis yang pertama kali menyertainya.

Kembara santai bersama teman itu menyedarkan penulis berkenaan satu perkara penting iaitu keamanan. Keamanan sesebuah negara harus dipertahankan supaya tiada kerisauan dan keraguan untuk ke mana saja tanpa ada sekatan daripada mana-mana pihak. Selain itu, nasihat kepada penunggang yang selalu konvoi supaya berhati-hati dan patuhi undang-undang jalan raya tidak kira di mana saja kita berada.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 1:51am
d