ekspresi

Redah hutan sebar hidayah

Oleh Mohamad Hussin

Penat lelah mengharungi perjalanan beratus kilometer dari Klang, Selangor, ternyata berbaloi melihatkan keletah kanak-kanak Orang Asli di Kampung Yum Pos Yum di Sungai Siput, Perak, yang seronok menyambut kedatangan peserta konvoi.

Program Ziarah Dakwah Kebajikan ke Perkampungan Orang Asli itu anjuran Biro Muallaf Masjid Sirajuddin Al Anuar, Batu Belah 4X4 dan Batu Belah Perihatin, Klang, Selangor.

Peserta konvoi bergerak dari Masjid Sirajuddin Al-Anuar kira-kira jam 11.30 malam dan singgah di Masjid Felda Lasah, Sungai Siput, untuk menunaikan solat Subuh dan berehat sementara menunggu siang.

Mereka kemudian bergerak ke perkampungan Orang Asli merangkumi lima kampung iaitu Kampung Yum (55 keluarga), Kampung Mangyis (42 keluarga), Kampung Beswok (65 keluarga), Kampung Pendeq (4 keluarga) dan Kampung Kotat (42 keluarga).

Penaung program yang juga nazir Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Mohd Yusuff Ibrahim berkata, hampir 90 peratus masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Temiar itu memeluk Islam dan mereka perlu diberi bimbingan serta sokongan moral.

“Kami berasa terpanggil membantu mereka mendalami ilmu agama, selain mendekatkan diri dengan masyarakat Orang Asli supaya kelompok ini tidak terasa dipinggirkan,” katanya ketika ditemui sempena program berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir Presiden Kelab Batu Belah 4x4, Ahmad Shukri Nordin; Pengerusi Batu Belah Perihatin, Hanizam Ahnee dan Pengerusi Biro Muallaf Masjid Sirajuddin Al Anuar, Mohd Hisam Sumohd Noh.

Mohd Yusuff berkata, moga hasrat murni dan kerjasama ini menanamkan rasa kesyukuran serta menyedarkan masyarakat tanggungjawab membantu sesama insan.

“Ia juga mendedahkan masyarakat kepada sikap kesukarelawanan dalam memberi bantuan kemanusiaan dan berkongsi ilmu serta pengalaman bagi membentuk sahsiah diri.

“Pelbagai program diatur bagi mendekati masyarakat untuk berbakti selain berpeluang merasai realiti kehidupan, hubungan sesama insan dan memastikan suasana demikian tidak luput pada masa depan,” katanya.

Kata Mohd Yusuff, pihaknya dalam perancangan memilih lima remaja Orang Asli untuk melanjutkan pengajian agama di Maahad Tahfiz Az-Zikr kelolaan Masjid Batu Belah di Klang.

Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, 20 kenderaan pacuan empat roda (4x4) diguna bagi membawa lebih 70 sukarelawan ke kawasan perkampungan Orang Asli berkenaan.

Beliau berkata, ia termasuk enam sukarelawan perubatan yang menyediakan kelengkapan untuk pemeriksaan kesihatan percuma bagi penduduk terbabit.

“Selain itu, aktiviti lain sepanjang program tiga hari dua malam itu ialah kelas fardu ain, solat berjemaah, modul kanak-kanak, sukaneka, aktiviti sungai, zumba, pengagihan pek keperluan asas dan pertandingan ratu cantik.

“Gotong-royong memasak nasi ambeng diadakan, manakala pada sebelah malam, sukarelawan dihiburkan dengan persembahan Cak Rayak yakni tarian tradisional masyarakat Orang Asli.

“Sukarelawan tidak melepaskan peluang mempamerkan ‘bakat’ mengikut gerak tarinya, malah sebahagian besar daripada mereka sangat teruja kerana kali pertama melihat dan menyertai tarian seumpama ini.

“Selepas itu, tayangan filem pada skrin besar atau wayang pacak memeriahkan program,” katanya yang sudah mengadakan program dakwah bagi siri keempat.

Hanizam pula berkata, pihaknya menyediakan 250 pek barangan keperluan asas mengandungi beras, gula, minyak masak, berus gigi, ubat gigi dan sabun mandi bernilai RM50 setiap satu.

“Kami juga mempunyai dana wakaf yang disumbangkan ahli kariah masjid untuk membeli motosikal bernilai RM4,600 yang diserahkan kepada tok batin bagi menjalankan aktiviti dakwah di situ.

Tok batin Kampung Yum, Pandak Liong, 46, berkata, dia berterima kasih kepada penganjur yang sudi datang memberi bantuan dan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan untuk pembinaan masjid di Kampung Beswok boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam (12010010005057) atas nama Masjid Sirajuddin Al Anuar.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 1:19pm
d