ekspresi

Basikal eratkan keluarga

Oleh Nurul Husna Mahmud

Basikal klasik tidak ubah seperti ‘kapsul masa’ buat Achmad Daniel Omar kerana satu ketika dulu basikal adalah pengangkutan utama khususnya sekitar 1950-an.

Kata anak muda berusia 22 tahun dari Melaka Tengah ini, selain elemen nostalgia, pembabitan keluarganya dalam aktiviti mengayuh basikal klasik menyebabkan minatnya terhadap hobi itu terus subur sehingga ke hari ini.

Biarpun ada ketika dia menghadapi detik sukar sewaktu berkonvoi dengan basikal tua itu, dia tidak serik sebaliknya aktif mengikut setiap program kayuhan dianjurkan komuniti basikal terbabit.

“Sejak kecil saya memang suka berbasikal, ia dapat hilangkan tekanan dan membantu menguatkan stamina. Namun lebih seronok apabila hobi ini dapat dikongsi bersama keluarga.

“Dalam aktiviti ini ibu, Rukiah Sungip, 55, dan abang, Azrin Syah Omar, 29, turut sama mengayuh apabila ada acara basikal klasik.

“Saya tidak kekok berkongsi cerita mengenai basikal klasik ini dengan ibu dan abang yang menjadikan hubungan kami bertambah erat kerana mereka memahami perasaan saya yang seronok setiap kali dapat ‘makan angin’ dengan basikal berkenaan.

“Saya masih ingat pengalaman bersama ibu dan abang menyertai konvoi sempena sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri di Melaka tiga tahun lalu, masing-masing mengenakan pakaian seragam popular ketika era 1960-an hingga 1970-an.

“Dalam acara itu saya dan abang mengenakan pakaian seragam polis zaman 1970-an manakala ibu pula mengenakan pakaian jururawat seperti karakter Cik Salmah dalam filem P Ramlee Seniman Bujang Lapok.

“Saya tidak pula berasa malu sebaliknya seronok dan gembira dapat mengambil bahagian,” katanya.

Sementara itu abangnya, Azrin pula berkata, rasa penat ketika berkayuh hilang apabila dilakukan secara berkumpulan apatah lagi bersama keluarga.

“Pada saya apabila dapat dilakukan bersama saudara sendiri banyak kenangan dapat kami imbau termasuk masa kecil bersama datuk dan nenek.

“Apabila kami berdepan keadaan susah seperti basikal adik pancit di Banda Hilir, kami terpaksa berbonceng sehingga Batu Berendam. Saya tidak rasa aktiviti menunda basikal adik itu satu perkara susah kerana kami arif dengan masalah terbabit. Apa yang penting ialah terus mendorong satu sama lain,” katanya.

Berkongsi pengalaman mengenai pembabitan dia serta adiknya dalam pelbagai acara konvoi basikal klasik itu, bukan saja aktif di Melaka tetapi serata Malaysia.

“Sebenarnya setiap negeri mempunyai komuniti mahupun persatuan basikal klasik. Kami pernah sertai acara berbasikal di Pulau Pinang, Pahang malah di Bandung dan Pekan Baru Indonesia. Bagi saya aktiviti basikal ini sesuai disertai seisi keluarga,” katanya yang berkongsi pengalaman mengenakan ketika menyertai kayuhan di Bandung, Indonesia.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 1:48am
d