ekspresi

Dunia tersembunyi

Oleh Aniza Zainudin

Membicarakan keistimewaan Gunung Irau, pastinya hutan lumut yang menyamai hutan Fangorn dalam filem Lord Of The Rings menjadi tarikan utama buat peminat sukan lasak, mendaki gunung.

Tersenarai sebagai gunung ke-15 tertinggi di Malaysia dengan ketinggian mencecah 2,110 meter, Gunung Irau menjadi tumpuan 25 pendaki yang menginginkan cabaran apabila memulakan pendakian pada waktu malam.

Penganjur ekspedisi juga pemandu arah, Muhamad Amirul Azaha berkata, pendakian waktu malam ini antara persediaan buat segelintir pendaki yang bakal menawan puncak Gunung Kinabalu, Ogos nanti.

“Sebelum memulakan pendakian di ‘starting point’ (titik permulaan) hutan lumut ini, pendaki diberikan taklimat dan melakukan latihan regangan.

“Oleh kerana pendakian ini bermula pada waktu malam, semua peserta dikehendaki memakai alat kelengkapan sempurna seperti lampu kepala, sarung tangan, jaket kalis angin serta ‘kayu bercahaya’ di pergelangan tangan dan digantung pada beg masing-masing.

“Suhu sejuk sekitar enam hingga 10 darjah Celsius diiringi gerimis, peserta turut dinasihatkan mengenakan pakaian bersesuaian, dan seterusnya memulakan pendakian pada jam 11 malam,” katanya.

Berdepan cabaran mendaki tangga kayu, laluan menurun dan mendaki, suhu menurun, trek berair dan berlumpur, kumpulan ini berjaya tiba di puncak Irau mini selepas tiga jam pendakian.

Kesempatan ini memberi peluang kepada pendaki untuk melepaskan lelah dan menghangatkan badan yang kian membeku apabila unggun api dinyalakan di samping hidangan teh panas.

Dua jam sudah cukup untuk berehat, kumpulan pendakian ini meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Irau dengan penuh semangat meskipun laluan semakin sukar apabila berlakunya tanah runtuh sebelum tiba ke puncak pada jam 6 pagi.

Bagi mengekalkan suhu badan, Muhammad Amirul berkata, pakaian tiga lapis yang disarung ke badan gagal mengekalkan kehangatan apabila suhu menurun ke aras enam darjah Celsius, justeru mereka membuat unggun api serta menyediakan hidangan panas seperti kopi, roti bakar dan mi segera.

Kepenatan mendaki seakan-akan hilang apabila menyaksikan keindahan alam semula jadi yang terbentang di puncak Gunung Irau malah pelbagai aksi ketika gambar dirakam menjadi bukti kejayaan semua peserta.

Selepas puas dan seronok menghabiskan masa selama lima jam di puncak Gunung Irau, kumpulan ini mula turun ke titik permulaan.

Walaupun laluan becak menjadi halangan, masing-masing teruja untuk tiba di titik semak hutan lumut yang sememangnya memberi pemandangan menakjubkan apabila kehijauan lumut menjadi tarikan utama untuk bergambar.

Sementara itu, pendaki wanita, Wan Nor Hizny Wan Yusoff, 38, mengakui Gunung Irau berbeza dengan gunung yang pernah didakinya kerana ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

“Laluan pendakian Gunung Irau sangat berbeza kerana treknya lebih banyak menurun dan berselut. Di sesetengah tempat, selutnya sangat dalam, justeru kita perlu berpijak pada kayu dan akar pokok untuk mengelakkan kaki tenggelam.

“Uniknya, untuk menuruni Gunung Irau, treknya lebih banyak mendaki dan agak meletihkan. Bagaimanapun pendakian kali pertama ke Gunung Irau ini memberi pengalaman yang sangat menarik.

“Tiada kata dapat menggambarkan keindahan hutan lumut malah kita juga tidak pernah menyangka Malaysia juga memiliki keunikan tersembunyi seperti ini,” katanya yang berhasrat menawan Gunung Kinabalu, Ogos nanti.

Bagi pendaki, Muhammad Azmir Azaha, 28, pendakian pada waktu malam jauh lebih sukar berbanding siang, malah ia pengalaman baru buat dirinya yang berjinak-jinak dengan sukan lasak ini sejak lima tahun lalu.

Dia juga menyifatkan cuaca sejuk melampau antara cabaran utama perlu diharungi bagi menyaksikan keindahan pemandangan yang terhampar di puncak gunung yang turut menjadi kejayaan peribadi.

Melakukan latihan persediaan sebelum pendakian, Muhammad Azmir mengakui tidak pernah mengetahui keistimewaan Gunung Irau, iaitu hutan lumut yang unik menyerupai lokasi penggambaran filem Lord Of The Rings.

Beberapa jam di hutan lumut, kumpulan pendaki ini meneruskan langkah ke Irau mini sambil menanti ketibaan peserta terakhir, dan seterusnya sampai ke titik permulaan pada jam 6 petang.

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 2:19am
d