ekspresi

Kriket pelajar istimewa

Oleh Aniza Zainudin

Bagi menghasilkan hantaran bola sempurna, tangan pembaling perlu lurus ketika melontarkan bola kriket kepada pemukul.

Mata bagi sesebuah kumpulan diperoleh apabila pemukul berjaya melengkapkan larian dari satu hujung ke hujung lain.

Permainan dilakukan dalam padang berbentuk bujur dan di tengahnya ada sebuah petak berukuran 20.11 meter (m) x 3.04m untuk kegunaan membaling, memukul dan membuat larian. Ia memerlukan 11 pemain bagi setiap pasukan.

Berhasrat memartabatkan kriket dalam kalangan generasi muda, Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dengan kerjasama Special Olympics Malaysia (SOM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda, Sentul, Kuala Lumpur menganjurkan program latihan kriket kepada 30 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Timbalan Presiden MCA, Nordin Abdullah berkata, program latihan kriket bersama pelajar istimewa PPKI ini julung kali diadakan di Malaysia dan SMK Batu Muda menjadi sekolah pertama bagi program berkenaan.

“Setakat ini, MCA bekerjasama dengan 600 sekolah di seluruh tanah air bagi sukan kriket, namun ini kali pertama membabitkan pelajar PPKI. Malah, sukan ini turut dijadikan satu lagi sukan tambahan kepada SOM.

“Menariknya, Malaysia negara kedua yang membawa sukan ini kepada pelajar istimewa selepas India.

“Justeru, kita berharap sukan ini dapat diperkembangkan ke negara ASEAN lain, seterusnya membolehkan kita menganjurkan kejohanan kriket untuk orang kurang upaya peringkat ASEAN.

“Program lapan minggu diadakan setiap Khamis ini membabitkan enam pemain kriket negara Mohd Shafiq Shariff, Ahmad Asby Tan Aris, Syazrul Ezat Idros, Mohd Shukri Abdul Rahim, Emylia Eliani Md Rahim dan Yusrina Yaakob sebagai jurulatih,” katanya ketika ditemui.

Menurut Nordin, bakat yang dikenal pasti dalam kalangan pelajar istimewa ini akan ditempatkan dan bersaing untuk Special Olympics World Summer Games di Abu Dhabi, 2019.

Pemilihan atlet muda ini berkongsi pengalaman dan kemahiran dilihat sebagai inisiatif membina peribadi cemerlang mereka dalam melahirkan generasi penyayang kepada komuniti.

Pengetua SMK Batu Muda, Tuan Hasnah Raja Hassan berkata, pihak sekolah mengalu-alukan pihak luar yang ingin menjalin kerjasama menganjurkan program sukan bersama pelajar PPKI.

Beliau turut berharap menerusi program sedemikian, potensi pelajar istimewa dapat dicungkil, seterusnya mencipta nama ke peringkat lebih tinggi.

Turut hadir dalam majlis perasmian, Pengerusi SOM, Nur Azida Daud dan Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul, Juahor Mondakir.

Pelajar bermasalah pembelajaran, Nur Iman Izzad Md Noor, 18, berkata kriket berbeza dengan sukan yang diceburinya sama ada bola sepak mahupun golf.

Pernah beraksi di Kejohanan Golf bersama SOM di Macau pada 2014, remaja ini mengakui tertarik untuk mencuba lapangan sukan berbeza terutama kriket.

“Apabila guru memaklumkan pihak sekolah akan bekerjasama dengan MCA dan SOM menganjurkan siri program latihan kriket bersama atlit kebangsaan, saya teruja untuk menyertainya.

“Sebelum ini, saya pernah menyaksikan perlawanan kriket di televisyen namun tidak tahu bagaimana ia mengumpul mata dan teknik permainannya.

“Apa yang saya tahu, sukan ini antara yang popular di India. Sekiranya berpeluang dan mempunyai bakat dalam kriket, saya harap dapat mencatat pencapaian sendiri,” katanya yang menerima sokongan penuh daripada keluarga dan guru.

Sementara itu, rakannya, Nur Aslina Afiqah Abdul Karim, 17, turut memasang niat untuk mencuba kriket yang menjadi antara sukan tertua dunia itu sekali gus menambah aktiviti kecergasan di sekolah.

Aktif dalam sukan melontar peluru, merejam lembing dan lempar cakera, Nur Aslina Afiqah berpendapat sukan kriket nampak lebih tenang dan tersusun untuk bermain.

Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Batu Muda ditubuhkan sejak Januari 2009 membabitkan pelajar bermasalah pembelajaran daripada pelbagai kategori kelainan upaya dengan bilangan 80 pelajar, lapan kelas dan 11 guru.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 9:18am
d