ekspresi

Shameem keliling semenanjung

Oleh Nurul Husna Mahmud

Pensyarah Universiti Antarabangsa Manipal Nilai, Negeri Sembilan, Shaikh Sahenawaz Sarwa Shameem atau lebih dikenali dengan SSS Shameem mempunyai cara tersendiri untuk mengenali Malaysia.

Menurut pemuda yang berasal dari daerah Bhadrak, Odisha, India itu, dia berpeluang melihat sendiri keindahan dan keunikan Malaysia ketika melakukan kayuhan solo sejauh 2,200 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung dalam melaksanakan Misi Memerangi Penyakit Polio Global 2018 baru-baru ini.

1. Bila kali pertama anda tiba di Malaysia?

Kali pertama Julai tahun lalu apabila saya ditukarkan dari kampus Manipal di India ke Jabatan Kejuruteraan dan Sains Komputer Universiti Antarabangsa Manipal Nilai, Negeri Sembilan untuk mengajar di sini.

Sebenarnya Malaysia adalah negara asing yang pertama saya kunjungi. Jadi saya teruja hinggakan bulan pertama tiba, saya meninjau beberapa lokasi sekitar sebelum membuat perancangan untuk kayuhan Misi Memerangi Penyakit Polio Global 2018 baru-baru ini.

2. Bagaimana kehidupan anda di sini, sukar atau tidak?

Saya sangat selesa dan gembira. Awalnya tidak dinafikan saya gementar kerana ini kali pertama saya ke negara asing.

Saya lakukan banyak pencarian menerusi Google selain menerima maklumat positif daripada rakan yang pernah berkunjung mahupun mengajar di Malaysia. Saya jadi lega.

Selain itu, saya kagum dengan sikap rakyatnya yang sangat mudah didekati. Bayangkan setiap kali saya membuat kayuhan ke luar bandar seperti Kuala Pilah, ada saja kanak-kanak yang melambai tangan dan menyapa mesra.

3. Apakah pandangan anda mengenai Malaysia?

Sebenarnya saya sangat menyukai Malaysia. Perbandingan yang boleh saya beri tentu sekali mengenai pengalaman ketika berbasikal di sini.

Sebenarnya sebelum ini saya pernah membuat dua kayuhan solo di negara sendiri. Satu daripadanya membabitkan laluan Kanyakumari ke Kashmir selama 23 hari.

Di sana saya bergelut dengan cuaca sejuk, jalan licin dan tidak elok. Berbeza situasinya di sini apabila rakyat negara ini boleh berbangga dengan keadaan jalan yang baik selain rasa selamat kerana sikap pemandu di sini amat bertimbang rasa.

Tiada satu pun pengalaman mengerikan saya hadapi ketika dalam misi selama 15 hari itu, sebaliknya pemandu tempatan sangat bertimbang rasa termasuk kerap memberi laluan kepada saya untuk menggunakan jalan. Semestinya saya berharap dapat tinggal lebih lama di sini.

4. Apakah cabaran anda hadapi ketika tinggal di sini?

Tiada masalah besar melainkan sedikit isu membabitkan makanan. Saya pengamal vegetarian. Berbanding diet utama penduduk di sini ialah daging, saya sukar menemui sajian vegetarian yang sesuai dengan selera sendiri. Ini hanya rungutan kecil saya ketika tinggal di sini.

5. Apakah lokasi anda dapati menarik untuk kunjungi di Malaysia?

Melaka dan Pulau Pinang. Meskipun saya sering ke Melaka kerana Manipal ada kampus cawangan di Bukit Baru tetapi tidak pernah rasa jemu.

Saya teruja dengan seni bina sejarah masih terpelihara seperti juga di Pulau Pinang.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 10:46am
d