ekspresi

Menu pilihan 'set tower'

Oleh Nurul Husna Mahmud

Bistro Cafe 137 di Ampang Jaya bukanlah restoran keluarga yang tipikal apabila tampil berani dengan pilihan ‘set tower’ dalam seleksi menu sebagai tarikan istimewa buat pengunjung yang datang bersama keluarga mahupun kenalan.

Mana tidaknya dalam set berkenaan, pengunjung akan dihidangkan satu bekas air bersaiz tiga liter berbentuk silinder dipanggil ‘tower’ menerusi empat pilihan set menu antaranya makanan Barat, Thai dan burger.

Tidak lupa sajian pembuka selera buat mereka yang mahukan santapan lebih ringan untuk empat orang dewasa.

Lebih mengujakan, latar belakang pemandangan hijau buat pelanggan yang memilih ruang jamu terbuka.

Sementara itu ruang dalam pula memberi kesempatan pengunjung menyaksikan persembahan artis undangan pada waktu tertentu.

Menurut pemiliknya Normaliza Zainuddin, restoran itu diusahakan bersama suami, Manjit Shah mula beroperasi April tahun lalu menampilkan pelbagai variasi makanan kegemaran rakyat tempatan seperti Thailand, Barat dan tradisi antaranya laksa nyonya serta asam pedas pari.

“Di sini kami membawakan konsep restoran keluarga yang santai dan mempunyai pilihan lebih 50 menu termasuk air.

“Selain menu biasa, kami tampilkan kelainan menerusi ‘set tower’ .

“Ketika ini set itu menjadi kegemaran pelanggan yang datang dalam kumpulan.

“Menerusi pilihan ini, kami mulakan hidangan dengan ‘starter tower’ yang mengandungi nuget ayam, kepak ayam serta kentang goreng. Bagi ‘Thai tower’ pula set hidangan tipikal iaitu nasi untuk empat orang serta senarai masakan boleh dipilih mengikut selera mereka.

“Dalam set makanan Barat, pelanggan boleh memilih empat menu daripada senarai sajian makanan Barat seperti pasta, hidangan gril dan ‘chicken chop’. Terakhir ialah ‘burger delight tower’ untuk peminat hidangan segera itu.

“Meskipun harganya berpatutan, kami tidak berkompromi dengan kualiti dan menggunakan bahan segar selain tampil dengan resipi sendiri. Sebagai contoh untuk burger, ‘patty’ kami hasilkan sendiri untuk memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Selain itu kuantiti untuk setiap sajian kami tampilkan juga besar dan ada kala saiz hidangan untuk empat orang makan boleh dinikmati sehingga enam orang,” katanya.

Selain makanan, pelanggan juga teruja dengan pilihan minuman serta pencuci mulut iaitu ABC Special cukup unik di Bistro Cafe 137.

“Air batu campur (ABC) kami menggunakan tembikai dan boleh dikongsi sehingga empat orang. Boleh dikatakan bagi hidangan ini kami sudah ada pelanggan tetap yang datang hanya untuk menikmati juadah sejuk itu,” katanya.

Sementara itu, Manjit berkongsi mengenai rahsia di sebalik nama bistro terbabit 137 mempunyai interpretasi cukup dalam serta dekat dengan dirinya.

“Saya ini mualaf dan berbanding menggunakan nama untuk restoran ini, saya lebih suka memilih 137 kerana nombor ini dekat dengan saya selain minat saya terhadap ilmu berkaitan nombor,” katanya.

Selain restoran, mereka mengadakan perkhidmatan penyediaan makanan khusus penganjuran majlis tahlil dan doa selamat buat rumah kebajikan terpilih setiap bulan.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 10:16am
d