ekspresi

'Mengecas' adrenalin

Oleh Nurul Husna Mahmud

Disiplin ‘downhill’ dalam basikal gunung disifatkan antara yang paling mencabar kerana menguji tahap kecekapan peserta mengendalikan kayuhan tatkala menuruni bukit curam.

Boleh dilihat ketika perlumbaan Bukit Dinding Downhill Race 2.0 anjuran kelab Scarfox Mountain Enduro di Setiawangsa baru-baru ini, peserta ‘mengecas’ adrenalin masing-masing menerusi halangan cerun curam.

Biarpun halangan dilalui peserta tidak sampai dua kilometer, dalam acara elit terutamanya, trek berkenaan mampu memberi kepuasan dengan adanya halangan berupa batu besar yang memerlukan mereka membuat lonjakan sebelum sampai ke garisan penamat.

Menurut pengarah program merangkap setiausaha kelab berkenaan Ahmad Fitri Zakaria, trek Bukit Dinding memang terkenal sebagai antara trek terbaik bagi penggiat sukan ‘downhill’ sekitar Lembah Klang dan Selangor.

“Bagi acara ini, kategori elit menyaksikan cabaran menarik apabila menyediakan lebih lima halangan teknikal seperti ‘gap jump’, ‘drop-off’, ‘high speed’, ‘rock garden’ dan sebagainya. Inilah antara trek terbaik yang sesuai untuk acara turun bukit bagi penggiat basikal gunung.

“Perlumbaan kali ini boleh dikatakan bertaraf profesional dengan adanya penyertaan asing dari Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan juga peserta Eropah yang tinggal di sini.

“Acara kali ini membabitkan disiplin turun bukit berjaya meraih 208 penyertaan dan bertujuan mempopularkan genre sukan basikal ini dalam kalangan peminat sukan basikal lasak tempatan,” katanya.

Tambah Fitri, keunikan trek terbabit ialah adanya laluan yang boleh dilalui kenderaan untuk sampai ke lokasi trek.

“Berbanding kebanyakan trek basikal gunung di Malaysia, peserta terpaksa mengayuh basikal terlebih dulu untuk tiba ke lokasi pertandingan tetapi di sini kenderaan boleh sampai ke trek permulaan.

“Selain itu ia mempunyai trek curam yang panjang iaitu sehingga 321 meter sesuai untuk kejohanan perlumbaan ‘downhill’,” katanya.

Fitri berkata, pihaknya menekankan peralatan keselamatan selain melakukan pemeriksaan bagi memastikan keadaan basikal peserta dalam keadaan terbaik sebelum acara bermula.

“Kami mewajibkan peralatan seperti topi keledar keselamatan dan kasut sesuai selain menggalakkan peserta mengenakan alas dada dan belakang bagi mengurangkan risiko kecederaan.

“Selain itu kami juga memastikan peserta melakukan pemeriksaan terhadap basikal terutama brek untuk mengurangkan risiko kemalangan ketika menuruni bukit,” katanya.

Penilaian peserta dilakukan berdasarkan catatan masa terpantas dan perlumbaan itu turut disertai wanita.

Disiarkan pada: April 1, 2018 @ 8:14am
d