ekspresi

Ayam Golek Baling

Oleh Aniza Zainudin

Adunan rempah dan herba tradisional seperti ketumbar, jintan manis, lada hitam, serai, halia, lengkuas dan kunyit yang dikisar halus menjadi pati utama perapan Ayam Golek Baling, hidangan istimewa warung Abang Black Corner.

Menyajikan sekurang-kurangnya 100 hingga 150 ekor ayam setiap hari, pemilik warung, Shaharin Ahmad, berkata proses perapan ayam dilakukan selama dua jam bagi memastikan kombinasi rempah menyerap ke dalam isi daging.

“Rempah istimewa itu dihasilkan segar dengan kekerapan dua hari sekali kerana kita ingin menjaga kualiti rasa dan aroma Ayam Golek Baling ini sebaik ia dihidangkan kepada pelanggan.

“Sebelum membuka warung di Kepong, terlebih dulu saya menjual ayam golek di sekitar Jinjang berkonsepkan bawa pulang.

“Oleh kerana saya menerima permintaan pelanggan dan berhasrat melakukan sesuatu yang baru, justeru saya membuka warung ini sejak enam bulan lalu.

“Selera pelanggan mahu menikmati menu ini tidak terhad, sama ada ketika sarapan, makan tengah hari, minum petang hingga lewat malam. Jadi, Ayam Golek Baling sentiasa dimasak panas seawal jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.

“Jika dulu, kita hanya menyajikan hidangan ayam golek semata-mata, kini kita turut memperkenalkan menu tambahan yang boleh digabungkan bersama sajian istimewa ini.

“Antaranya, nasi ayam bajet sesuai untuk pelajar dan pekerja yang ingin berjimat, nasi Ayam Golek Baling, nasi lemak dan sebagainya.

“Harga juga berpatutan dan kita juga mempelbagaikan jenis potongan dan bahagian ayam golek,” katanya ketika ditemui.

Menjadi pelopor menu Ayam Golek Baling di Kepong, Shaharin berkata idea memperkenalkan hidangan ini kerana ingin membawa jenama Ayam Golek Baling ke ibu kota.

Jelasnya, ayam golek adalah makanan popular dalam kalangan penduduk di Baling, malah wujudnya industri desa yang menjual menu ini di pekan berkenaan.

Dipanggang selama 45 minit menggunakan arang, ayam golek itu boleh dinikmati begitu saja kerana tekstur daging lembut dan rasa sempurna terhasil daripada kombinasi rempah serta herba yang lengkap.

Sos cili bercita rasa Thai yang dibuat sendiri oleh Shaharin menjadi perisa tambahan.

Beroperasi setiap hari selama 24 jam, warung Abang Black Corner bakal memperkenalkan hidangan tengah hari set kenduri seperti ayam golek, gulai kawah daging umbut pisang, ikan masin goreng, ulaman dan sambal belacan, dijangka bulan depan.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 12:33pm
d