ekspresi

Tekan aspek keselamatan

Oleh Nurul Husna Mahmud

Setengah juta kematian di jalan raya serata dunia membabitkan golongan paling kurang perlindungan seperti penunggang motosikal, pejalan kaki dan pengayuh basikal.

Sehubungan itu, program Kayuhan Santai Taman Melawati dijalankan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersama Kelab Rekreasi Melawati sebagai inisiatif menyokong kempen keselamatan membabitkan penunggang basikal di jalanan.

Menurut Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain, kayuhan berkenaan disertai hampir 100 peserta membabitkan komuniti dan kakitangan MPAJ langkah terbaik memberi penekanan mengenai aspek keselamatan sepanjang kayuhan berlangsung.

Ketika peserta dapat melakukan aktiviti sihat bersama kenalan dan keluarga, kata Hamid, mereka juga menikmati keindahan alam sekitar Bukit Melawati yang sangat dikenali kalangan peminat sukan lasak.

“Kayuhan ini membawa mesej ‘Berkongsilah Laluan’ merujuk pada realiti situasi penunggang basikal di Malaysia yang terpaksa menggunakan laluan sama dengan kenderaan lain. Justeru, dalam konvoi seperti ini, kami menekankan aspek keselamatan yang boleh mereka praktikkan sepanjang kayuhan.

“Selaku pihak pentadbiran yang terbabit dengan penyediaan laluan basikal antaranya Taman Melawati sejauh 5.7 kilometer (km) selain dua laluan lain iaitu Bukit Indah (3.3km) dan Pandan Indah (3.7km), kami berharap lokasi ini dikenali sebagai laluan selamat buat peminat aktiviti berkenaan.

“Pada masa sama, kami melihat kesan baik aktiviti itu terhadap sosio komuniti tempatan antaranya membina daya ketahanan fizikal dan mental mereka, ia juga merapatkan hubungan penduduk setempat dengan MPAJ,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Rekreasi Melawati, Zulkifli Mohamed berkata laluan ini bagus dan pernah melahirkan jagoan basikal negara seperti Rosman Alwi.

“Saya membesar di kawasan ini dan mengenali Rosman dan bapanya Datuk Alwi yang sering menjadikan laluan ini sebagai tempat latihan berbasikal.

“Laluan ini mempunyai kelebihan tersendiri. Ia ada selekoh dan laluan berbukit yang mencabar dan tidak hairan jika ia menjadi trek pilihan peminat aktiviti berbasikal tempatan. Saya gembira kerana aktiviti ini mendapat sambutan baik, ada peserta kecil berumur lapan tahun dan ada pula yang sudah melewati 64 tahun. Ia menandakan aktiviti kayuhan ini mendapat tempat dalam hati masyarakat.

“Kami mahu mewujudkan trek baru bagi acara basikal lasak pula di kawasan berhampiran bagi membolehkan pelbagai kumpulan penggiat sukan melakukan aktiviti mereka di sini,” katanya.

Beliau juga mengharapkan sokongan pihak korporat dan kerajaan tempatan dalam merealisasikan Taman Melawati antara hab lokasi membabitkan aktiviti basikal.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 3:27am
d