ekspresi

Umai pembuka selera

Oleh Aniza Zainudin

Rasa masam, masin dan pedas hidangan umai udang berjaya menghidupkan selera selepas hampir 14 jam berpuasa.

Umai, satu daripada menu istimewa sepanjang Ramadan menjadi tarikan di Restoran Dapur Sarawak, yang menampilkan hidangan tradisional dari Bumi Kenyalang.

Seperti kerabu mangga, makanan tradisi etnik Melanau terutama dalam kalangan nelayan ini menggabungkan rasa masam terhasil daripada perahan jus limau dan penggunaan cili padi sebagai pelengkap selera.

Selalunya umai dihasilkan daripada udang, ikan laut terpilih seperti empirang, tenggiri dan bawal kerana tidak berbau hanyir serta obor-obor yang menjadi kebiasaan masyarakat tempatan.

Pengurusnya, Muhammad Shafiq Sharifuddin berkata, kombinasi tiga rasa masam, pedas dan masin hidangan umai membangkitkan selera sama ada ketika berbuka puasa mahupun bersahur.

“Umai boleh dikatakan sebagai sushi Sarawak kerana ia dihidangkan mentah.

“Mengikuti tradisi masyarakat Sarawak, kita menggunakan ikan empirang atau obor-obor untuk menghasilkan umai, namun ia mungkin tidak kena dengan selera orang di Semenanjung.

“Penyediaan umai sangat mudah kerana ramuan digunakan juga tidak terlalu rumit malah ia juga tidak perlu dimasak.

“Terlebih dulu, udang segar dibuang kulitnya dan dibasuh, kemudian ia diperap bersama cili api, perahan jus limau nipis, bawang merah serta garam selama dua hingga tiga jam di dalam peti sejuk.

“Selepas itu, umai boleh dimakan begitu saja atau dijamu bersama nasi panas. Ia sungguh menyelerakan,” katanya ketika ditemui.

Terkenal dengan juadah dari Sarawak, restoran yang beroperasi setiap hari ini turut membawakan menu popular dan hanya muncul sepanjang Ramadan, bubur pedas.

Bahan utama bubur pedas adalah campuran sayuran seperti pucuk paku, pucuk bebuas atau singkil, pucuk mengkudu, kacang panjang, anak jagung, suhun serta bumbu istimewa dari Sarawak.

Meskipun ia dipanggil bubur pedas, rasa hidangan berkuahkan santan ini tidaklah sepedas yang disangka dengan penggunaan lada hitam yang minimum.

Tidak sempurna seandainya tiada laksa Sarawak dan mi kolok, pengunjung juga boleh menikmati hidangan tipikal ini di Restoran Dapur Sarawak.

Setiap negeri berbeza laksa, laksa Sarawak menggunakan mi nipis kenyal seakan-akan bihun yang dihidangkan bersama kuah lemak santan dihasilkan dengan pes buatan sendiri.

Kata Muhammad Shafiq, laksa Sarawak dan mi kolok adalah menu sarapan pilihan dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Selain itu, restoran ini turut menyajikan menu mi Jawa, mi belacan, nasi goreng dabai, nasi manok (ayam) panggang, nasi ayam pansoh dan kuih tradisional, penyaram.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 3:57am
d