ekspresi

Pesona menara tak siap

Oleh Afiq Hanif

Cuaca yang tidak terlalu sejuk dan bayu tepi laut yang ‘syok’ membelai jiwa. Begitulah dibawa kota Barcelona, Sepanyol yang jauhnya kira-kira 17 jam perjalanan menaiki kapal terbang.

Sengaja penulis memilih destinasi ini berikutan sejarahnya yang menarik di samping musykil dengan kesenian binaan di kota ini. Setiap kota terkemuka dunia ada tanda pengenalannya tersendiri tidak terkecuali dengan Barcelona, kota indah yang terhampar di pinggiran Laut Mediterranean.

Bukan saja menjadi kota Sepanyol yang terkenal dengan seni bina berkonsep ‘art nouveau’ kurun ke-19 sentuhan Antoni Gaudi semata-mata, malah Barcelona sinonim dengan kelab bola sepak popular, FC Barcelona (FCB).

Sentuhan Gaudi memang jelas kelihatan pada mana-mana bangunan di Barcelona dan ia ternyata indah. Lagipun, konsepnya hampir sama dengan zaman kegemilangan Islam yang pernah bertapak di sini suatu ketika dulu.

Secara peribadi, penulis lebih menggemari kota ini walaupun ia kota kedua terbesar di Sepanyol selepas ibu negaranya, Madrid.

Bagi pelawat dari Kuala Lumpur yang ingin terbang ke sana, banyak syarikat penerbangan menyediakan perkhidmatan hingga empat kali seminggu tapi perlu transit terlebih dulu bergantung pada syarikat penerbangan.

Bagi penulis, Emirates menjadi pilihan kerana ia lebih mudah dan harganya pun tidak terlalu tinggi. Biasanya Barcelona kerap dikunjungi sekitar Mei hingga Oktober kerana cuaca musim panas menjanjikan pemandangan indah.

Di sini ada banyak hotel bertaraf lima bintang, namun ada juga penginapan bajet dengan harga berpatutan. Anda juga boleh memilih untuk tinggal di pangsapuri bersama keluarga dan sahabat handai yang semua informasinya boleh disemak menerusi AirBnb.

Namun kalau mahu lebih menarik dan sesuai dengan perjalanan, anda boleh memilih lokasi La Ramblas kerana ia terletak di tengah-tengah kota dan memudahkan perjalanan ke sana ke mari dengan tarikan berdekatan pun tidak perlu menaiki pengangkutan awam.

Dari segi pergerakan, pelancong boleh menggunakan perkhidmatan tren TMB yang sistematik. Dengan membeli tiket berharga kira-kira RM150 untuk tiga hari, anda boleh bebas ke mana saja.

Cuma berdampinglah dengan Google Maps sebagai rujukan atau pindah turun aplikasi TMB. Anda juga boleh menaiki teksi bermeter tetapi tambangnya lebih.

Dari segi juadah, pelancong Muslim boleh menikmati hidangan halal yang kebanyakannya dari Asia Barat, Pakistan dan Afrika Utara. Penulis nampak ramai bertumpu pada deretan restoran dan kafe Muslim di Port Olimpic selain kedai juadah Arab di celahan blok kedai serta lorong tumpuan pelancong. Harga makanannya kira-kira RM50 satu kepala jika anda bukan seorang yang berjimat.

Kalau tidak, dengan RM10 pun sudah cukup untuk satu hidangan. Andai ingin bersolat, anda boleh pergi ke mana-mana masjid dan berdasarkan kiraan rambang, ada hampir 10 masjid di sekitar kota.

Jangan lupa mencuba makanan tempatan bernama churros yang rupanya seakan-akan kuih cakoi dicelup coklat. Kesedapannya memanglah melampau!

Bagi yang sukakan seni bina pasti terpegun melihat Sagrada Familia yang tersergam di tengah bandar raya ini. Ia sebenarnya gereja rekaan Gaudi yang tidak pernah siap sejak dibina pada 1882 dan ketika ini, ia sedang rancak dibaik pulih. Kerjanya memang rumit dan dijangka siap pada 2026.

Rekaan lain yang menjadi tumpuan pelawat termasuk Casa Mila dan Casa Batllo selain pelbagai monumen serta tugu di tengah-tengah kota.

Mendekati La Ramblas, iaitu lorong untuk pejalan kaki yang juga menjadi tanda pengenalan Barcelona, kita akan lihat pelbagai budaya Sepanyol ditonjolkan seperti kedai cenderahati dan teater.

Semestinya bagi yang kaki bola, kunjungan ke Barcelona tidak lengkap andai tidak menjejakkan kaki ke kompleks sukan FCB yang lebih dikenali sebagai Nou Camp atau Kem Nou.

Dengan bayaran masuk kira-kira RM100, anda dapat melihat stadium terbesar di Eropah itu, muzium sukan dan merasai pengalaman berada di bilik persalinan atau rehat barisan pemain bola sepak handalan seperti Lionel Messi.

Bagaimanapun, harus diingatkan, ketika melancong ke setiap sudut Barcelona, anda dinasihatkan berhati-hati kerana kes kecurian sangat tinggi. Begitupun, seandainya ditanya adakah penulis mahu kembali ke Barcelona, sudah pasti ya! Gracias.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 3:58am
d