ekspresi

Seperti negara sendiri

Oleh Zaitie Satibi

Percutian ke negara ini ketika usia kanak-kanak bukan sekadar melawat tempat menarik, sebaliknya tertanam azam di hati wanita berusia 34 tahun dari Indonesia ini untuk kembali semula.

Tetapi, kunjungan seterusnya tidak lagi sebagai pelancong, malah belajar dan bekerja di sini.

1. Kali pertama menjejakkan kaki di Malaysia dan tujuannya?

Kali pertama saya datang pada 1995 ketika berusia 11 tahun untuk satu percutian bersama ibu bapa. Kemudian, saya kembali lagi untuk melanjutkan pengajian ijazah di Kolej Taylor selama tiga tahun.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum datang ke sini?

Malaysia dan Indonesia berjiran. Jadi, sejak kecil lagi sudah terdedah banyak perkara mengenai negara ini. Tambah lagi, kedua-dua negara berkongsi ciri dan nilai serumpun.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang menetap di Malaysia?

Setakat ini saya tidak berdepan banyak kesukaran kerana kedua-dua negara mempunyai bahasa dan budaya yang berkait rapat. Namun, beberapa nama objek yang mengundang kekeliruan, contohnya sudu, di Indonesia kami memanggilnya senduk.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Saya bukan seorang yang aktif bersukan, tetapi saya menempuh pengalaman menakjubkan ketika mengunjungi Taman Negara Pahang.

Masih tidak boleh lupa aktiviti berjalan di laluan kanopi terpanjang di dunia, memancing dan meneroka gua.

5. Destinasi kegemaran anda?

Genting Highlands kerana cuacanya yang nyaman.

6. Sajian tempatan pilihan anda?

Saya menggemari bak kut teh, yong taufu, roti tisu, nasi beriani.

7. Malaysia pada mata anda?

Persekitaran yang selesa seakan-akan berada di kampung halaman sendiri dan menganggap negara ini sebagai rumah kedua.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 5:39am
d