ekspresi

Kayuhan malam Ramadan

Oleh Nurul Husna Mahmud

Destinasi tarikan pelancong seperti Menara Berkembar Petronas, Dataran Merdeka dan Istana Negara sering menjadi lokasi pilihan buat Pengasas Komuniti Basikal JW Cyclist, Kelvin Poon Poh Weng menganjurkan kayuhan malam.

Dia memulakan kayuhan itu sejak 2011 atas permintaan rakannya yang beragama Islam disebabkan tiada platform atau komuniti menganjurkan kayuhan pada malam Ramadan ketika itu.

“JW Cyclist ditubuhkan atas inisiatif saya bersama beberapa rakan membantu individu yang mahu menyertai aktiviti berbasikal tanpa pengalaman menyertai mana-mana kelab mahupun program kayuhan sebelum ini.

“Kebetulan pula ketika saya memulakan kayuhan itu pada Ramadan berkenaan, ada kenalan berkata mereka tidak dapat mengayuh pada waktu siang kerana berpuasa.

“Jadi kami bermula agak lewat iaitu selepas jam 10 malam sehinggalah ke awal pagi bergantung kepada lokasi dan tahap kemampuan peserta yang menyertai kami.

“Masa itu aktiviti kayuhan malam secara berkumpulan tidak begitu popular dan kalau adapun mereka dalam kumpulan kecil sekitar dua atau tiga orang saja.

“Jadi saya dan rakan mulakan inisiatif menganjurkan kayuhan malam setiap minggu.

“Selepas hampir lapan tahun, saya mendapati jumlah peserta aktiviti kayuhan malam ini bertambah ramai selain mendapat sokongan kelab basikal lain sudi menjadi ‘swiper’ atau pemandu arah,” katanya.

Tambah Kelvin, jarak ditempuh ahli komuniti berbeza setiap minggu mengikut kemampuan dan tahap peserta iaitu sekitar 10 kilometer hingga 15 kilometer.

“Biasanya kayuhan bermula pada jam 11 malam dan jarak sejauh 10 hingga 15 kilometer.

“Disebabkan mereka masih baru, pendedahan kami berikan biasanya lebih kepada perkongsian pengalaman dan aspek keselamatan basikal.

“Di sini mereka dapat belajar skil kayuhan betul membabitkan trek jalan raya.

“Biasanya jalan yang kami pilih membantu mereka memahami ciri teknikal termasuklah kayuhan ketika mendaki atau selekoh tajam.

“Apa yang penting ialah ciri keselamatan termasuk spesifikasi basikal seperti lampu serta sikap peserta sendiri yang perlu berdisiplin dan peka dengan persekitaran kerana mereka berkongsi laluan dengan pengguna jalan raya lain.

“Laluan awal biasanya bermula di Jalan Genting-Klang menuju ke Jalan Semarak kemudian ke ibu kota sehinggalah ke istana.

“Laluan ke istana iaitu di Jalan Damansara adalah mendaki dan di sini peserta mahir akan membantu peserta baru.

“Mereka akan berkayuh beriringan dan menolak peserta agar sama-sama dapat sampai ke puncak bukit,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 5:40am
d