ekspresi

Carian internet bawa ke Malaysia

Oleh Aniza Zainudin

Jika diikutkan hati, pemuda Jepun ini berhasrat melanjutkan pengajian ke Australia bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris. Namun, faktor ekonomi yang menelan perbelanjaan besar membuatkan Takumi Tanaka mencari alternatif lain sama ada di Malaysia atau Filipina.

Justeru, Tanaka memilih Malaysia sebagai pilihan pertama.

1. Kali pertama anda berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Saya berada di Malaysia sudah hampir dua tahun kerana melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah Sarjana Muda Perniagaan. Tujuan utama adalah mengasah kemahiran saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Sebelum ini saya merancang untuk ke Australia tetapi kosnya agak tinggi, jadi, saya perlu mengambil kira faktor itu.

Pencarian mengguna Internet menemukan saya dengan Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris secara meluas, selain Filipina.

2. Penerimaan keluarga mengenai penghijrahan anda ke Malaysia?

Ibu bapa menentang keputusan saya untuk ke Malaysia kerana saya boleh belajar di dalam negara saja. Namun, sudah menjadi impian saya untuk keluar dari Jepun menimba pengalaman baru, menambah nilai kemahiran dan meneroka tempat baru seterusnya mengajar saya erti berdikari.

Pujukan abang berjaya melembutkan hati mereka, seterusnya membenarkan saya ke sini.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Saya paling tidak sukakan serangga terutama lipas, itu satu daripada cabaran yang perlu saya tangani. Selain itu, Malaysia juga sangat panas.

4. Pengalaman menarik yang ingin anda kongsikan?

Saya tidak pernah tahu bahawa di Malaysia wujud komuniti Jepun yang pelbagai latar belakang. Saya dipertemukan dengan ramai rakan Jepun di Malaysia dan kebanyakan mereka berkerjaya profesional termasuk ahli perniagaan.

Menerusi jaringan sosial baru ini, memberi peluang dan pengetahuan baru kepada saya.

5. Lokasi pilihan?

Saya belajar dan menetap di pinggir ibu kota, Nilai. Di sana, saya belajar untuk bergaul, bercakap dan mendengar orang tempatan bersosial jauh dari kesibukan kota.

Saya juga menyenangi Pulau Pinang kerana keunikan latar belakang sejarahnya.

6. Sajian tempatan kegemaran?

Nasi goreng Pattaya, roti canai dan minuman coklat kegemaran rakyat Malaysia.

7. Malaysia pada mata anda?

Berada di Malaysia bukanlah pilihan utama, namun di sinilah peluang untuk saya mengenali ramai orang Jepun yang berkedudukan dengan lebih rapat.

Peluang ini sukar diperoleh sekiranya saya berada di tanah air sendiri kerana ruang pergaulan agak terhad.

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 5:43am
d